5 Calon Pengurus Paling Sesuai Jika Zidane Dipecat Real Madrid

Berikutan prestasi hambar yang dipamerkan Real Madrid ketika ini, sudah ada cakap-cakap yang mengatakan Real Madrid sedang mencari calon pengganti untuk menggantikan tempat Zinedine Zidane selaku pengurus yang baru.

Dalam perlawanan terakhir mereka, Madrid hanya mampu menang tipis 1-0 ke atas Leganes dalam saingan Copa Del Rey. Manakala sebelum perlawanan tersebut, mereka dikejutkan Villareal di gelanggang sendiri selepas tewas 0-1 hasil jaringan lewat perlawanan oleh Pablo Fornals.

Sama seperti Melayu, warga Madrid juga mudah lupa.

Kedudukan Real Madrid dalam La Liga sangatlah menyedihkan memandangkan mereka adalah juara bertahan. Mereka kini menduduki tangga ke-4 liga, 19 mata ditinggalkan oleh pendahulu, Barcelona dan kini hanya dipisahkan 1 mata sahaja dengan penghuni tempat ke-5, Villareal.

Walaupun Zidane telah menghadirkan pelbagai kejayaan sejak mengambil alih tampuk pengurusan Real Madrid, beliau tidak terlepas dari menerima kritikan dan risiko untuk dipecat. Tambahan pula, Real Madrid bukanlah kelab yang mempunyai tahap kesabaran yang tinggi terhadap pengurus mereka.

Disini disenaraikan 5 pengurus yang berpotensi untuk menggantikan posisi Zidane selaku pengurus Real Madrid yang baru.

1. Joachim Low (Jerman)

Sedapnya

Real Madrid telah lama berminat untuk menjadikan Low sebagai pengurus mereka tetapi Low lebih selesa menguruskan pasukan kebangsaan. Komitmen Low terhadap pasukan kebangsaan Jerman telah beberapa kali mengecewakan beberapa kelab ternama untuk mendapatkan khidmat beliau.

Kontrak beliau bersama Jerman hanya akan tamat pada 2020, tetapi jika Jerman berjaya mempertahankan Piala Dunia di Russia nanti, Low mungkin berhenti lebih awal bagi mencari cabaran yang baru.

2. Antonio Conte (Chelsea)

La Liga maybe ?

Masa depan Conte bersama Chelsea sering menjadi perhatian umum walaupun jurulatih berasal dari Itali ini berjaya membawa The Blues memenangi Liga Perdana Inggeris pada percubaan pertamanya.

Conte pada awal minggu ini telah dipetik berkata segalanya mungkin berlaku apabila ditanya mengenai masa depannya selaku ketua jurulatih Chelsea. Selepas merasai kejuaraan liga di England dan Itali, mungkin sudah tiba masanya Conte beralih angin ke Sepanyol untuk cuba mendakap trofi La Liga pula bersama Real Madrid jika diberikan peluang.

3. Mauricio Pochettino (Tottenham Hotspurs)

Tiada kaitan dengan Aiman Tino

Pochettino merupakan antara pengurus yang mempunyai ‘saham’ tertinggi ketika ini. Presiden Real Madrid, Florentino Perez sendiri adalah peminat Pochettino sejak beliau menjadi pengurus di Espanyol lagi.

Hasil kerja Pochettino di Tottenham yang cemerlang juga tidak terlepas dari pandangan Perez dan bekas pengurus Southampton ini hampir pasti akan disenarai pendek untuk mengisi tempat Zidane jika jawatan tersebut dikosongkan.

4. Leonardo Jardim (Monaco)

Sek kito jange pecoh, ujar Ronaldo kepada Jardim

Pengurus berasal dari Portugal ini dianggap antara pengurus yang mempunyai gaya permainan paling mengujakan di Eropah ketika ini. Tambahan pula, Jardim adalah calon yang popular untuk dipertimbangkan bagi posisi pengurus Madrid memandangkan beliau berkongsi tempat kelahiran yang sama dengan bintang Los Blancos, Cristiano Ronaldo.

Jardim juga berjaya mengemudi Monaco menjuarai Ligue 1 musim lepas disamping mara sehingga ke peringkat separuh akhir Liga Juara-Juara. Beliua berjaya mengetengahkan beberapa bakat muda yang kini mencipta nama di Eropah seperti Kylian Mbappe, Tiemoue Bakayoko, dan Benjamin Mendy.

5. Maurizio Sarri (Napoli)

Sapkok lu

Napoli adalah pasukan yang paling mengujakan di Itali ketika ini dan sedang mendahului carta Serie A dihadapan pasukan ternama seperti Juventus dan AS Roma. Pengurus Napoli, Maurizio Sarri adalah individu yang bertanggungjawab membentuk Napoli menjadi pasukan yang lebih konsisten dan meraih keputusan yang bagus di atas padang.

Pengurus berusai 59 tahun ini menerapkan permainan yang menarik di Naples, dan Pep Guardiola sendiri memuji corak permainan yang ditampilkan Napoli. Walaupun belum pernah memenangi sebarang trofi, beliau telah dinamakan sebagai pengurus terbaik Serie A untuk musim 2016-17.

BACA:  Senarai 10 Kereta Mewah Pemain Bola Sepak Dunia