59,000 Tiket Malaysia vs Thailand Habis Dijual Kurang 24 Jam

Kehangatan separuh akhir pertama Piala AFF 2022 makin membara apabila 59,000 keping tiket perlawanan antara Malaysia menentang Thailand telah habis dijual dalam tempoh kurang 24 jam.

Pada 4 Januari, FAM telah mengumumkan bahawa tiket perlawanan Malaysia vs Thailand akan mula di jual bermula pada jam tiga petang dan hanya dijual secara dalam talian sahaja.

Tiket bagi aksi separuh akhir pertama itu akan dijual pada harga RM30 (dewasa) dan RM5 (kanak-kanak 6-12 tahun) bagi tempat duduk Terbuka, RM50 bagi tempat duduk Premium dan RM60 bagi tempat duduk Grandstand.

Harga tiket ini ditetapkan lebih rendah sebagai tanda penghargaan kepada penyokong Harimau Malaya yang telah memberikan sokongan padu kepada pasukan di sepanjang kempen Piala Mitsubishi Electric AFF 2022 setakat ini.

Kurang 24 jam dari masa penjualan Persatuan Bola Sepak Malaysia telah mengumumkan bahawa kesemua tiket telah habis dijual ketika masih ramai lagi mahu mendapatkan tiket.

“SOLD OUT! 59,000 Tiket Habis Terjual Terima kasih kepada penyokong Harimau Malaya yang telah membeli tiket bagi menyaksikan perlawanan Separuh Akhir 1, Malaysia lwn Thailand.”

“Jumpa di Bukit Jalil, Sabtu ini!”

Berita duka buat peminat bola sepak kerana hanya 59,000 keping tiket dan 21,000 lagi terpaksa dikorbankan bukan untuk penyokong pasukan pelawat tetapi kerana pembinaan pentas konsert yang menghalang pandangn.

FAM dalam kenyataannya telah menjelaskan situasi ini:

“Bagaimanapun, hanya sejumlah 59,000 keping tiket yang akan dijual bagi perlawanan separuh akhir pertama, Sabtu ini memandangkan sebanyak 21,000 tempat duduk terpaksa ‘dikosongkan’ kerana dihalang oleh struktur pentas konsert Jay Chou yang sedang dalam proses pemasangan.”

“Situasi ini tidak dapat dielakkan yang mana FAM dan Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) telah berusaha sedaya upaya mencari jalan penyelesaian terbaik dalam memastikan aksi skuad Harimau Malaya di sepanjang kempen Piala Mitsubishi Electric AFF 2022 ini tetap dapat dilangsungkan di Stadium Nasional, Bukit Jalil berbanding jika ia diadakan di stadium lain yang berkapasiti lebih kecil.”

Menteri Belia dan Sukan Malaysia, Hannah Yeoh tampil memberi penjelasan mengenai situasi itu dengan menyatakan bahawa konsert Jay Chou itu telah ditempah dari tahun 2019.

“Makluman”

“1)Booking stadium konsert Jay Chou World Tour dibuat 13 Mac 2019 manakala AFF 2022 oleh FAM dibuat 18 Ogos 2022.”

“2)Konsert perlu 14 hari pasang pentas oleh 500 krew+185 krew antarabangsa, 45 jentera berat, 200 speaker & 800 lampu. Mereka dah delay 2.5hari bagi ruang AFF”

Menurut Hannah Yeoh lagi kerja pemasangan pentas konsert Jay Chou itu telah tertangguh selama dua hari setengah kerana memberi laluan kepada Piala AFF sebelum ini.

BACA:  Dua Jaringan Padu Akhyar Letakkan Harimau Malaya Didepan