7 Kelab Premier League Berpotensi Beraksi Di Champions League Musim Hadapan

Perubahan besar dalam format pertandingan UEFA Champions League bermula musim hadapan bermakna pertandingan elit bola sepak Eropah itu berpotensi menyaksikan tujuh kelab Premier League layak ke pertandingan tersebut musim hadapan.

UEFA sudah pun mengesahkan fotmat baharu akan digunapakai untuk pertandingan tersebut bermula 2024-25 dengan saingan peringkat kumpulan akan menyaksikan 36 pasukan mengambil bahagian dalam satu kumpulan secara liga.

Setiap pasukan akan beraksi sekurang-kurangnya lapan perlawanan di peringkat kumpulan – empat perlawanan di tempat sendiri dan empat perlawanan di tempat lawan.

Format sebegini mungkin agak asing bagi peminat bola sepak Eropah di Malaysia, dan ia digelar ‘format Model Swiss’.

Selepas saingan peringkat kumpulan, lapan pasukan terbaik akan layak ke pusingan 16 pasukan terbaik. Pasukan yang berada di kedudukan ke-9 sehingga ke-24 akan bersaing sesama sendiri untuk memburu slot ke pusingan seterusnya.

Perubahan format ini berpotensi untuk melayakkan sehingga 7 pasukan daripada Premier League beraksi di Champions League musim hadapan – dengan maksimum 11 pasukan Inggeris beraksi di semua pertandingan di Eropah.

Berdasarkan penjelasan ESPN, empat pasukan terbaik dari England akan layak secara automatik ke saingan peringkat kumpulan, bersama-sama empat pasukan terbaik La Liga, Bundesliga, dan Serie A.

Dua liga terbaik di pertandingan Eropah pada musim ini akan mendapat dua slot tambahan di peringkat kumpulan pada musim hadapan.

Berdasarkan kiraan mata oleh UEFA sebelum ini, Premier League berada di kedudukan teratas.

Sistem lama hanya menyaksikan lima kelab dari sesebuah negara layak ke Champions League, dengan salah satu daripadanya adalah juara bertahan.

Ini bermakna jika kelab dari England menjuarai Champions League dan Europa League pada musim ini, namun kemudiannya menamatkan saingan di kelompok bawahan di pertandingan domestik, kedua-duanya layak ke Champions League dan pasukan yang menduduki tempat keempat di pertandingan domestik akan beraksi di Europa League.

Perubahan baharu pula berkemungkinan akan membenarkan lima kelab terbaik Inggeris layak ke Champions League secara automatik, dan akan disertai oleh dua pasukan yang muncul juara Champions League dan Europa League (jika sang juara eropah gagal menduduki lima tempat teratas pertandingan domestik).

BACA:  Premier League 2020/21: Southampton 1-0 Liverpool