Acara UFC 268 Terjejas Kerana Petarung Utama Tolak Untuk Terima Vaksin

Bintang UFC, Michael Chandler tidak mahu menerima suntikan vaksin C0V-19 dan ia bakal sedikit merencatkan perjalanan pertarungan antara beliau bertemu Justin Gaethje.

Food and Drug Administration (FDA) telah memberi kelulusan penuh kepada vaksin keluaran Pfizer-BioNTech pada awal minggu ini, dan UFC sendiri mencadangkan kepada para petarung mereka untuk mendapatkan vaksin tersebut.

Chandler ketika ini sedang dalam persiapannya untuk bertarung dengan Justin Gaethje di acara UFC 268 pada November nanti, yang mana ia akan dilangsungkan di Madison Square Garden di New York.

Datuk bandar New York, Bill De Blasio baru-baru ini mengumumkan rancangan beliau untuk mengarahkan semua yang terlibat dengan aktiviti dalaman perlu mendapatkan suntikan vaksin, dan ia termasuklah UFC.

Walau bagaimanapun, Chandler telah memuat naik status di laman twitter miliknya dan memberitahu semua pengikutnya bahawa:

“Saya tak mahu itu. FDA luluskan atau tidak. Sudah cukup untuk kamu? Saya tak ada masalah dengan orang yang mendapatkannya. Kita semua ada pilihan. Ini pilihan saya.”

Petarung berusia 35 tahun itu sebelum ini menyatakan yang beliau mahu menunggu sehingga vaksin tersebut diberi kelulusan penuh oleh FDA terlebih dahulu dan menegaskan yang beliau bukanlah geng anti-vaksin.

Beliau menjelaskan hal tersebut ketika bersiaran langsung di laman instagram dengan menyatakan:

“Ia bukan kerana saya anti-vaksin. Ia bukan kerana saya tak percaya pada vaksin, bukan sama sekali. Saya cuma tak akan dapatkan vaksin selagi ia tidak 100 peratus diluluskan oleh FDA.”

“Kita ada ratusan percubaan klinikal, sama seperti vaksin yang anak saya pernah terima. Campak dan chickenpox dan semua vaksin yang dah 100 tahun terbukti berkesan.”

“Kita perlu lihat. Saya tak tahu apa akan berlaku.”

UFC 268 ketika ini menggunakan pertarungan melibatkan kejuaraan welterweight yang akan menemukan Kamaru Usman bertemu Colby Covington sebagai headline mereka.

Chandler tidak yakin yang acara tersebut boleh dilangsungkan di MSG andai peraturan terkini itu wajib untuk dipatuhi.

Beliau kemudiannya menyambung ucapannya dengan menyatakan:

“Lebih dari segalanya, peluang untuk UFC dapat sambutan hangat di Madison Square Garden akan terbatas kerana mereka hanya membenarkan mereka yang sudah menerima vaksin sepenuhnya sahaja untuk masuk. Jadi saya betul-betul tak tahu.”

“Jujur saya katakan kepada kamu semua, saya rasa ia akan timbulkan persoalan andai Madison Square Garden tetap menjadi venue nanti. UFC sangat bijak dan pintar dalam merencana semua ini. Tapi seperti saya kata, saya bukan anti-vaksin.”

“Saya rasa vaksin berkesan. Saya rasa ia pilihan untuk setiap orang sama ada mereka mahu ambil atau tidak. Saya tak akan divaksin sehingga 6 November, jadi saya tak mungkin boleh beraksi di Madison Square Garden. Jadi kita saksikan saja nanti.”

Presiden UFC, Dana White baru-baru ini menjelaskan yang tidak ada sesiapa petarungnya yang akan dipaksa untuk mendapatkan suntikan vaksin.

“Saya rasa ramai juga yang melakukan hal itu, mereka memberitahu kamu di New York, kamu tak boleh masuk ke restaurant atau gym melainkan kamu sudah diberikan suntikan vaksin dan boleh membuktikannya.”

Jelas White.

“Sesetengah orang dipecat dari kerja mereka jika mereka tak mahu terima vaksin.”

“Hal seperti itu tidak akan berlaku di sini (di UFC). Jika kamu mahu dapatkan vaksin, pergi dapatkan. Jika kamu tak mahu, itu pilihan kamu, tubuh kamu.”

Ekoran dari keputusan Chandler yang memang tidak mahu menerima suntikan vaksin, masih belum diketahui apa keputusan Dana White, sama ada beliau mahu teruskan acara dengan mengatur perlawanan lain, atau mungkin mengadakan pertarungan tersebut di lokasi lain.

Sumber: SPORTbible

BACA:  UFC 232 Terpaksa Dipindahkan Ke California Selepas Jon Jones Positif Dadah Sekali Lagi