“Ada Kelab Dah Hubungi Saya” – Aguero Mahu Kembali Bangkit Dari Persaraan

Sergio Aguero tak menyerah kalah dalam usahanya untuk menghidupkan semula karier bola sepaknya dengan beliau tampil mendedahkan sudah ada kelab yang cuba menghubungi beliau andai beliau mahu kembali beraksi.

Bintang Argentina itu sudah memberi bayangan yang beliau berkemungkinan akan kembali dari persaraan dan beraksi semula sebagai pemain bola sepak profesional.

Aguero sebelum ini dipaksa untuk bersara dari dunia bola sepak profesional pada Disember lalu di usia 33 tahun dek kerana masalah kesihatan.

Bekas penyerang Manchester City itu melengkapkan perpindahannya menyertai Barcelona sebagai pemain bebas ejen pada musim panas lalu.

Ketika kariernya bersama Barca, beliau pernah berdepan masalah sakit dada dan sukar untuk bernafas ketika beraksi bertemu Alaves pada Oktober lalu.

Aguero kemudiannya dikejarkan ke hospital untuk jalani ujian cardiac dan kemudian beliau didiagnos mengalami masalah degupan jantung yang tidak teratur.

Selepas mengambil masa tiga bulan berehat, Aguero akhirnya memutuskan untuk bersara terus dari dunia bola sepak.

Beliau mengadakan satu sidang media di Nou Camp dengan Aguero benar-benar beremosi ketika mengumumkan persaraannya itu.

Walau bagaimanapun, kurang empat bulan sahaja selepas itu, Aguero sepertinya sedang mengintai kesempatan untuk kembali beraksi.

Bercakap kepada TYC Sports, beliau mendedahkan bahawa:

“Semalam, terlintas di fikiran saya yang saya boleh bermain semula. Inter Miami hubungi saya tapi saya tolak. Dalam dua tahun? Mari kita tunggu dan lihat.”

“Doktor beritahu saya yang saya perlu menghabiskan masa selama lima ke enam bulan tanpa melakukan apa-apa, tapi sekarang saya dah mula rasa nak berlatih semula.”

Kelab dari MLS, Inter Miami merupakan sebuah kelab yang turut dimiliki oleh David Beckham dan mereka sebenarnya telah dikaitkan dengan ramai bintang besar sejak kebelakangan ini.

Menurut sumber laporan dari Mundo Deportivo, Beckham berhasrat mahu membawa Lionel Messi ke kelab beliau dalam tempoh dua tahun dari sekarang.

Sasaran utama Beckham adalah untuk menggabungkan semula bintang Paris Saint Germain itu dengan bekas rakan sepasukannya di Barcelona, Luis Suarez, Jordi Alba dan Sergio Busquets.

Laporan sama turut mendakwa yang Suarez bakal menjadi pemain sasaran Beckham yang pertama akan sertai Inter Miami selepas beliau dijangka akan meninggalkan Atletico Madrid pada penghujung musim ini.

Alba dan Busquets juga akan menyertai Suarez selepas kontrak mereka bersama Barcelona tamat nanti.

Kontrak Alba dijangka akan tamat pada 2023 nanti, sementara Busquets masih mempunyai kontrak bersama Barcelona hingga 2024.

Sementara Lionel Messi pula, masa depan beliau bersama Paris Saint Germain agak samar-samar terutama selepas melihat kegagalan beliau membiasakan diri bersama kelab barunya itu.

Pemenang tujuh kali gelaran Ballon D’or itu hanya mampu menjaringkan dua gol sahaja dalam saingan liga musim ini dan ada laporan dari Sepanyol yang menyatakan bahawa bintang berusia 34 tahun itu tak gembira berada di Parc des Princes.

Pada awal tahun baru-baru ini, Aguero mempertahankan Lionel Messi yang dikritik atas persembahan beliau bersama PSG, terutama ketika aksi kekalahan bertemu Real Madrid dalam saingan Champions League.

“Leo bermain dengan baik, dia melepasi tahap sebenar dia. Saya bukan kata ini sebab dia kawan saya, tapi kerana dia bermain bersungguh. Dia sangat bagus dan sangat aktif.”

Jelas Aguero.

“Di Perancis, majalah dan akhbar membunuh dia. Mereka semua sampah. Saya dijadualkan ada temu bual dengan majalah Perancis, tapi saya tolak, saya kata, ‘Tidak, kerana saya sokong Leo Messi. Titik. Jadi selamat tinggal, jumpa lagi. Saya betul-betul marah.”

Sumber: SPORTbible

BACA:  Aguero Salahkan Pengurusan Sebagai Punca Kegagalan Argentina