Ada Udang Di Sebalik Mi Goreng, Messi Sertai Inter Miami Untuk Elak Pemotongan Cukai

Lionel Messi dianggap tidak jujur apabila memilih perpindahan ke Inter Miami selepas kontrak beliau bersama Paris Saint-Germain (PSG) tamat pada penghujung bulan ini.

Laporan oleh Forbes mengatakan pilihan Messi untuk beraksi di Major League Soccer (MLS) sebenarnya bermotifkan kewangan kerana stuktur pemotongan cukai di Florida.

Laporan tersebut juga bercanggah dengan kenyataan Messi sebelum ini yang mengatakan pilihan beliau untuk ke Amerika Syarikat bukan kerana wang semata-mata apabila menolak perpindahan lumayan beraksi di Arab Saudi.

Dengan kata lain, Messi memilih untuk menyertai Inter Miami kerana mengelak pendapatannya dipotong oleh cukai – masalah besar yang dihadapinya sehingga didakwa di mahkamah ketika bersama Barcelona.

Peraturan cukai di US

Masalah berkaitan cukai dihadapi di Sepanyol dan janji daripada pemilik Inter Miami menjadi sebab utama Messi memilih untuk meneruskan karier di Amerika Syarikat.

Dengan reputasi dan prestasi kurang memberangsangkan sebenarnya ia tidak logik Inter Miami mampu menarik nama besar seperti Messi.

Namun sekiranya Messi memilih untuk pergi ke Miami, ia bukan sahaja menjanjikan syurga di dalam bentuk pantai yang cantik. Lebih daripada itu, Messi akan berada sebaris dengan atlet utama dunia lain seperti Tiger Woods atau Tom Brady yang turut menetap di sana dengan satu tujuan. Kerana hal kewangan!

Di US cukai pendapatan peribadi dikenakan kepada atlet asing yang menetap dan bekerja di sana. Malah atlet asing dengan pendapatan tinggi akan dipantau oleh pihak berkuasa. Tetapi ia datang dengan jumlah potongan berbeza mengikut wilayah.

California yang menjadi pengkalan kepada dua kelab terkemuka, Los Angeles FC dan LA Galaxy misalnya pernah menjadi tumpuan bintang-bintang bola sepak seperti David Beckham, Gareth Bale dan Zlatan Ibrahimovic.

Dan bagi pemain yang yang berpengkalan di California, pemain berhadapan pemotongan cukai pada kadar 13.3%. Pada tahun lalu New York pula mengenakan pemotongan cukai sebanyak 15.9%.

Miami pula berada di dalam wilayah Florida. Dan Florida pula dianggap sebagai syurga untuk orang asing yang memiliki pendapatan tinggi kerana kadar cukai serendah 9.1%

Malah pada 6 Mei 2022 badan perundangan Florida turut meluluskan bil pengecualian pelbagai jenis cukai.

Bil tersebut turut memudahkan pemindahan hak milik hartanah selain hanya mengenakan cukai serendah 5.5% untuk usahawan.

Kelebihan untuk Messi

Pendirian Florida mengenai prihal cukai memberikan kelebihan kepada Messi yang kini berada di penghujung karier – sekiranya Messi merancang untuk memulakan perniagaan dan memindahkan asetnya ke Florida.

Isu hak imej pernah memberikan masalah kepada Messi dengan pihak perundangan cukai di Sepanyol.

Insentif cukai di Florida pula akan memberikan kelebihan kepada Messi untuk membayar cukai yang jauh lebih rendah. Pemain itu kini hanya perlu menubuhkan sebuah syarikat berdaftar di Florida untuk menikmati keistimewaan tersebut.

Pada 2022 pendapatan Messi mencecah USD 130 juta (RM604 juta) sebelum cukai. Di kalangan bintang bola sepak dunia jumlah tersebut hanya di belakang Cristiano Ronaldo di dalam senarai Forbes.

Pendapatan tersebut bukan semuanya datang di dalam bentuk gaji yang dibayar kelab, tetapi turut dikaut daripada bayaran royalti dan tajaan daripada pelbagai jenama dan syarikat besar dan hak imej.

Kerana itulah sebelum ini Messi sentiasa berhadapan masalah dengan badan perundangan cukai di Sepanyol.

Nampaknya perpindahan ke Miami akan menyelesaikan masalah itu, dan Messi boleh bersara dengan aman tanpa memikirkan masalah cukai selepas ini.

BACA:  Terkedu Fans Australia Lihat Messi Jaring Gol Selepas Enak Menganjing