Ajax Sahkan Pemain Sensasi Morocco, Hakim Ziyech Bakal Berhijrah Ke Pasukan Lain

Pemain antarabangsa Morocco, Hakim Zyiech telah menarik perhatian banyak pihak berikutan aksi cemerlang yang dipamerkannya bersama Morocco di Piala Dunia 2018.

Walaupun Morocco tersingkir seawal peringkat kumpulan di Russia, mereka berjaya membuktikan yang mereka mampu bersaing dengan pasukan besar seperti Portugal dan Sepanyol. Morocco tewas tipis di tangan Portugal sebelum mencatatkan keputusan seri menentang Sepanyol dalam aksi terakhir peringkat kumpulan.

Ziyech menarik perhatian banyak pihak di Russia tetapi menurut Ajax, beliau telah bersetuju untuk menyertai sebuah kelab musim panas ini, besar kemungkinan kelab tersebut adalah Roma

Ziyech merupakan salah seorang pemain Morocco yang berjaya mencuri perhatian ramai berikutan skill tinggi yang dimilikinya. Jadi tidak terkejut untuk melihat beberapa kelab ternama Eropah mula memasang niat untuk cuba memancing Ziyech.

Perkara tersebut telah disahkan sendiri oleh kelab beliau, Ajax Amsterdam menerusi pengurus mereka, Erik ten Heg. Erik mengesahkan Ziyech bakal meninggalkan Ajax dengan kadar segera selepas sebuah kelab yang masih tidak diketahui identiti bersetuju untuk membayar harga yang dipinta Ajax.

Sebelum ini sebaik sahaja kempen Liga Eredivisie musim 2017/2018, Ziyech mengumumkan niatnya untuk meninggalkan Ajax bagi mencari cabaran baru di tempat lain. Pemain berusia 25 tahun ini menamatkan musim lepas dengan 9 gol disamping mencatatkan 15 bantuan gol.

Ziyech yang lincah dan pantas macam lipas kudung ketika menentang Sepanyol tempoh hari

AS Roma, Liverpool dan Everton dilaporkan berminat untuk menandatangani pemain yang selesa beraksi sebagai perancang tengah tersebut. Akan tetapi berdasarkan laporan dari Itali, Roma merupakan kelab yang paling hampir untuk dapatkan khidmat Ziyech.

Pengurus Ajax, Erik ten Hag jugaturut mengucapkan selamat tinggal kepada pemain yang banyak berjasa kepada Ajax musim lepas.

“Saya tahu beliau sudah mempunyai perjanjian untuk beraksi di kelab lain musim depan. Sudah tentu saya mahu menyimpan beliau, tetapi perjanjian telah dipersetujui antara Ajax dan kelab yang membeli. Satu-satunya perkara yang mampu saya lakukan sekarang adalah mengucapkan selamat maju jaya bersama kelab barunya.”

“Saya akan merindui personaliti Ziyech kerana beliau seorang pemuda yang senang untuk bekerjasama. Dan sudah tentu juga saya akan merindui kelibat beliau sebagai seorang pemain.”

Morocco mengucapkan selamat tinggal kepada Piala Dunia selepas hanya mampu mengutip satu mata dari 3 perlawanan.

“Jika anda sukakan bola sepak, anda akan menyukai Hakim Ziyech. Selain kualiti teknikal yang dimiliki beliau, Ziyech juga mempunyai kepintaran bola sepak yang agak tinggi.”

“Saya mungkin perlu berhati-hati untuk tidak terlalu memuji beliau, tetapi pemain yang memiliki kualiti seperti Hakim Ziyech tidak akan terus bermain di Netherlands.”

“Adakah beliau mampu mengekalkan tahap permainan yang sama di luar negara ? Jika anda merupakan yang terbaik di Netherlands, sudah tentu Ziyech tidak akan mempunyai sebarang masalah.”

Ziyech dianugerahkan pemain terbaik Ajax untuk musim 2017/2018 dan bermain untuk Morocco dalam kesemua 3 perlawanan peringkat kumpulan dalam Piala Dunia 2018.

BACA:  Bintang Muda Ajax, Noah Gesser Meninggal Dunia Selepas Terlibat Dalam Kemalangan Jalan Raya