Aksi Larian Pelik Pengadil AFCON Ini Mencuri Perhatian Peminat Seluruh Dunia

Pengadil yang mengadili aksi kemenangan Nigeria menewaskan Guinea-Bissau 2-0 kemarin tular di media sosial kerana beliau telah mempamerkan aksi larian paling pelik yang pernah dilihat oleh peminat.

Selain mempamerkan aksi larian pelik, beliau juga dilihat sangat dramatik ketika meniup wisel dengan aksi beliau membunyikan wisel penamat turut mencuri perhatian peminat.

Umar Sadiq dan William Troost-Ekong berjaya menjaringkan gol untuk skuad kebangsaan Nigeria pada aksi babak kedua dalam perlawanan tersebut.

Kemenangan itu turut membantu The Super Eagles untuk mengekalkan rekod 100% dalam saingan AFCON pada tahun ini.

Walau bagaimanapun, insiden yang paling menarik dalam perlawanan ini sebenarnya adalah datang dari pengadil perlawanan, Peter Waweru yang telah menunjukkan teknik larian yang dianggap unik dan aneh.

Waweru berlari dengan tangan beliau dihayun tinggi ke udara bersama langkah yang luar biasa panjang dek kerana beliau turut mengangkat tinggi kakinya ketika melangkah.

Beliau berlari sepanjang perlawanan dengan menggunakan teknik yang sama dan ia telah mencuri perhatian para peminat di media sosial.

Klip rakaman beliau berlari itu mendapat perhatian peminat dan ketika artikel ini ditulis, ia sudah memperolehi 58 ribu like.

“Saya rasa pengadil ini sempat berfikir yang dia salah seorang dari jentera serangan dalam pasukan yang beraksi.”

“Bawa dia ke saingan Premier League, saya rasa ramai peminat akan lebih semangat ke stadium untuk menyaksikan aksi dia.”

“Saya rasa dia memang sangat-sangat dramatik, saya tak tahu orang lain perasan atau tidak tapi dia memang betul-betul dramatik.”

“Cara dia berlari saya rasa macam seseorang yang tertinggal bas, dan kemudian dia kejar semula bas itu dalam keadaan tergesa-gesa.”

“Dia boleh jadi pengganti Mike Dean, saya lebih tertarik tengok aksi dia sepanjang perlawanan itu berbanding aksi para pemain kedua-dua pasukan.”

Tidak cukup Peter Waweru menghiburkan para peminat dengan teknik larian pelik itu, aksi beliau meniup wisel penamat juga turut mencuri perhatian peminat seluruh dunia.

Sungguh dramatik cara beliau membunyikan wisel penamat. Penuh berhati-hati dan cukup teliti cara beliau membunyikan wisel penamat.

Bayangkan kalau Mike Dean berlari seperti itu sepanjang perlawanan ketika mengadili aksi dalam saingan Premier League. Sudah tentu ia sangat menarik dan menghiburkan.

Waweru sebenarnya merupakan salah seorang professor dalam matematik dan beliau pada ketika ini merupakan pensyarah di sebuah Universiti di Jomo Kenyatta University of Agriculture and Technology (JKUAT).

Nigeria berjaya mengakhiri aksi saingan kumpulan D di kedudukan pertama dan mereka nampak sangat selesa sepanjang kejohanan ini.

Egypt menamatkan saingan peringkat kumpulan di kedudukan kedua selepas mereka berjaya menewaskan Sudan dalam aksi terakhir peringkat kumpulan.

Kejohanan pada kali ini sepertinya terlalu banyak kejutan dengan Juara bertahan, Algeria juga sudah tersingkir dari pertandingan pada tahun ini.

Skuad kendalian Djamel Belmadi itu mencatatkan kekalahan 3-1 bertemu Ivory Coast dalam aksi terakhir peringkat kumpulan, dengan Franck Kessie, Ibrahim Sangare dan Nicolas Pepe muncul sebagai penjaring gol untuk Ivory Coast.

Algeria turun bertanding dalam pertandingan tahun ini dengan rekod 34 perlawanan tanpa kalah, namun dari tiga perlawanan dalam saingan AFCON tahun ini, mereka hanya mampu mencatatkan satu keputusan seri sahaja.

Satu mata dari tiga perlawanan bukanlah satu pencapaian yang boleh dibanggakan dan ia jelas sekali merupakan rekod terburuk mereka sejak beberapa musim kebelakangan ini.

Sumber: SPORTbible

BACA:  Onana Berat Hati Sertai Cameroon Di AFCON Kerana Man Utd