Alba Tempelak Ballon d’Or Kerana Letak Messi Di Kedudukan Ke-5

Pemain pertahanan Barcelona, Jordi Alba melabel anugerah Ballon d’Or sebagai satu penipuan kerana meletakkan Lionel Messi pada kedudukan ke-5.

Anugerah Ballon d’Or tahun ini menyaksikan Messi tidak berada dalam kedudukan dua terbaik. Kali terakhir ia berlaku adalah pada tahun 2007 ketika Messi masih lagi belum mumayyiz.

Dalam majlis yang berlangsung di Paris minggu lalu, Luka Modric diumumkan sebagai pemenang anugerah Ballon d’Or bagi tahun 2018, menewaskan pencabar terdekat, Cristiano Ronaldo dan Antoine Griezmann yang masing-masing berada di tempat ke-2 dan ke-3.

Modric menepati ramalan dengan merangkul anugerah Ballon d’Or selepas berjaya memenangi anugerah FIFA Best Men’s Player sebelum ini.

Antara pencapaian Modric bagi tahun 2018 adalah beliau berjaya membantu Croatia mara sehingga ke perlawanan akhir Piala Dunia 2018 dan menjulang trofi Liga Juara-Juara Eropah musim lepas.

Ballon d’Or patut dapat dekat Messi, dakwa Alba.

Walaupun berjaya membantu Barcelona memenangi ‘Double’ musim lalu, Messi gagal menambat hati para pengundi anugerah Ballon d’Or dan akibatnya, nama beliau tercicir sehingga ke tangga ke-5.

Pemain muda Perancis, Kylian Mbappe berada di tangga ke-4 selepas membantu Perancis memenangi Piala Dunia 2018.

https://twitter.com/thoyakkatboy/status/1071630275442966530

Namun begitu, Messi seperti sudah melupakan kekecewaan dipinggirkan dari anugerah Ballon d’Or apabila beliau beraksi cemerlang untuk membantu Barcelona membelasah musuh setempat, Espanyol 4-0 dalam aksi La Liga semalam.

Selepas melihat Messi menjaringkan dua gol menerusi sepakan percuma dan mencipta satu assist, Alba percaya anugerah Ballon d’Or kadang kala tidak diberikan kepada pemain yang betul-betul berhak menerimanya.

https://twitter.com/thoyakkatboy/status/1071631403949842432

“Ballon d’Or adalah satu penipuan, terdapat banyak kelab dan pihak media yang melobi untuk anugerah tersebut. Semua orang tahu Lionel Messi adalah pemain terbaik di dunia, jauh meninggalkan pemain-pemain lain.”

Terbaru, Messi juga menjadi mangsa kecaman legenda bola sepak dunia, Pele yang mendakwa Messi hanya mempunyai ‘satu skill’ sahaja.

Alba menempelak Pele kerana mengeluarkan kenyataan tidak masuk akal sambil berkata Messi mempunyai segala-galanya sebagai seorang pemain.

“Pele mungkin tidak dapat melihat dengan baik, jika beliau berkata macam tu terhadap Messi. Messi mempunyai segala-galanya.”

Messi sudah menjaringkan 11 gol dari 13 perlawanan La Liga musim ini dan beliau juga telah mencipta sejarah baru apabila menjadi pemain pertama dalam sejarah mencatatkan jaringan dua angka selama 13 tahun berturut-turut.

Barcelona kini mendahului carta La Liga dengan mengutip 31 mata dari 15 perlawanan, 3 mata di hadapan pencabar terdekat, Sevilla dan Atletico Madrid.

BACA:  Kakak Ronaldo Setuju Pencapaian CR7 Lebih Ori Dan Ballon d'Or Dimenangi Messi Adalah Pemberian