Alisson ‘Marah’ Dengan Diri Sendiri Selepas Bertukar Menjadi Karius

Penjaga gol kedua termahal dunia, Alisson Becker mengakui beliau berasa marah dengan diri sendiri selepas melakukan kesilapan bodoh yang menghasilkan gol kepada Leicester City.

Dalam aksi Liga Perdana Inggeris semalam, Liverpool melakukan kunjungan ke King Power Stadium dalam misi untuk mencatatkan kemenangan ke-4 berturut-turut.

Kebodohan Alisson meletakkan Liverpool dalam tekanan, mujurlah Leicester gagal mengambil kesempatan itu untuk menyamakan kedudukan.

Liverpool bermula garang apabila pemain ‘tengah panas’, Sadio Mane membuka jaringan pada minit ke-10 untuk memberikan pendahuluan awal kepada The Reds. Penyerang antarabangsa Brazil, Roberto Firmino menambah satu gol buat Liverpool pada lewat babak pertama untuk menjadikan kedudukan 2-0 sebelum rehat.

Detik Alisson bertukar menjadi Karius berlaku pada minit ke-63 selepas penjaga gol itu menerima hantaran ke belakang daripada Virgil van Dijk yang ditekan pemain Leicester. Walaupun berpeluang untuk menendang bola ke atas, Alisson mengambil keputusan untuk menjadi ‘lebih pandai’ dengan cuba menggelecek pemain Leicester, Kelechi Iheanacho yang menekannya.

Bola berjaya dirampas Iheanacho dan beliau menolak bola tersebut kepada Rachid Ghezzal untuk merapatkan jurang buat Leicester. Mereka yang melihat insiden tersebut tergamam kerana Alisson melakukan kesilapan yang sama bodohnya dengan Loris Karius dalam perlawanan akhir Liga Juara-Juara Eropah musim lalu.

Detik paling melucukan perlawanan. Juga detik dimana Alisson bertukar menjadi Loris Kelakarius

Bekas penjaga gol AS Roma berusia 25 tahun itu mengakui beliau tidak sepatutnya melakukan kesilapan tersebut dan tidak akan mengulangi kesilapan itu lagi pada masa hadapan.

“Saya berasa marah dengan diri sendiri kerana melakukan kesilapan yang meletakkan pasukan dalam situasi yang sukar.”

“Apabila seorang pemain melakukan satu kesilapan, ia akan menjejaskan seluruh pasukan. Mujurlah semua pemain berjuang bersama-sama untuk meraih kemenangan dalam perlawanan tadi. Kami tahu kami perlu bermain lebih baik tetapi apa yang lebih penting adalah keputusan perlawanan.”

“Ia merupakan tindakan yang salah dari saya. Saya melakukan kesilapan dalam membaca permainan. Saya tidak menerima hantaran yang baik  dari Virgil van Dijk dan kami ada bercakap mengenai perkara tersebut dalam bilik persalinan.”

“Memang ia bukan hantaran yang baik tapi saya mempunyai peluang untuk menendang bola itu ke atas.”

Jurgen Klopp mahu Alisson belajar dari kesilapan itu untuk menjadi pemain yang lebih baik

“Saya sebenarnya mahu mengekalkan penguasaan bola bagi Liverpool tetapi sekarang semua pihak akan menganalisa situasi tersebut. Saya tidak bodoh untuk melakukan perkara yang sama selepas ini. Saya perlu belajar dari kesilapan ini.”

“Bermain dari belakang merupakan sebahagian daripada permainan saya. Tetapi saya tidak akan ‘berlagak’ untuk berkata yang saya akan terus melakukan aksi tersebut. Saya perlu belajar dari kesilapan ini.”

BACA:  Fulham Beli Pemain 'Buangan' Liverpool Secara Percuma