Alisson: Tinggalkan Roma Buatkan Saya Menangis

Penjaga gol Liverpool, Alisson Becker mendedahkan beliau mengalirkan air mata kesedihan ketika membuat keputusan untuk meninggalkan AS Roma pada pintu perpindahan musim panas lalu.

Alisson berpindah ke Anfield dalam perjanjian rekod dunia bagi penjaga gol dengan Liverpool dilaporkan membayar £67 juta untuk mendapatkan khidmat penjaga gol antarabangsa Brazil tersebut.

Alisson sebak tinggalkan Roma. Atau adakah Alisson sebak kerana terpaksa menyertai kelab yang sekian lama mandul ?

Gelaran penjaga gol termahal dunia hanya dipegang Alisson buat seketika sahaja kerana Chelsea membayar Athletic Bilbao  £71.9 juta untuk mengaktifkan klausa pelepasan pemain tersebut selepas kehilangan khidmat Thibout Courtois yang berpindah ke Real Madrid.

Walaupun baru beberapa bulan bermain untuk Liverpool, Alisson telah mempamerkan aksi yang konsisten menjaga gawang Liverpool dari dibolosi dan turut memberi sumbangan besar dalam permulaan cemerlang yang dipamerkan Liverpool musim ini.

Klopp terpaksa berbelanja besar untuk mendapatkan penjaga gol baru kerana kesilapan berprofil tinggi yang dilakukan Lloris Karius musim lepas menjadi punca utama Liverpool gagal membawa pulang trofi Liga Juara-Juara Eropah ke Anfield.

Ketika memberikan temuramah kepada akhbar yang berpengkalan di Itali, Gazzetta dello Sport, Alisson mengakui hatinya seperti ditusuk sembilu ketika mengambil keputusan untuk meninggalkan Roma. Alisson bermain untuk Roma selama dua musim dan melakukan 37 penampilan bersama kelab tersebut.

37 penampilan bersama Roma sepanjang dua musim

“Meninggalkan AS Roma merupakan satu perkara yang sukar. Saya menangis agak lama sambil ditemani isteri saya.”

“Sejujurnya, ia merupakan keputusan yang tepat. Saya membuat pilihan yang profesional, langkah ke hadapan dalam karier saya. Dan Roma juga menerima yuran perpindahan yang tinggi hasil penjualan saya.”

“Minda saya berkata saya perlu menyertai Liverpool, tetapi hati saya masih lagi dipenuhi dengan tangisan kesedihan.”

“Saya meluangkan dua tahun yang istimewa di Rome. Anak perempuan saya dilahirkan di sana dan saya juga mempunyai ramai kawan di sana yang datang dari pelbagai latar belakang.”

“Saya kerap berjalan mengelilingi bandar tersebut. ‘The Trevi Fountain’ ketika dalam kegelapan sangatlah cantik sehingga ia mampu menyentuh sanubari anda. Tetapi tempat kegemaran saya adalah Colosseum kerana di situ anda dapat menghidu sejarah tempat tersebut.”

Kecuali kesilapan beliau ketika menentang Leicester, Alisson menerima pujian dari pelbagai pihak atas persembahan cemerlangnya bersama Liverpool setakat musim ini.

Alisson kini sedang bersama skuad Liverpool mempersiapkan diri bagi menghadapi Napoli di tempat lawan dalam aksi peringkat kumpulan Liga Juara-Juara Eropah. Alisson turut ditanya adakah beliau mempunyai sebarang niat untuk kekal di Roma sebaik sahaja Piala Dunia 2018 berakhir.

Alisson meminta maaf kepada peminat Liverpool selepas bertukar menjadi Karius ketika menentang Leicester tempoh hari.

“Perkara tersebut sering berlegar-legar di fikiran saya kerana saya sangat gembira berada di Rome.”

“Tetapi apabila seorang pemain memilih tempat untuk beraksi, perbincangan menjadi lebih luas. Saya mempunyai cita-cita yang besar, dan Liverpool juga sama. Sekarang saya sedang bermain di liga paling utama di dunia.”

“Serie A tidak jauh ketinggalan tetapi masih lagi berbeza dengan Liga Perdana Inggeris. Serie A tidak terlalu tegang seperti di England.”

BACA:  Jerman FA Akui Tidak Mampu Tandingi Gaji Klopp Di Anfield