Analisis Aras Tinggi: 7 Sebab Manchester United Kalah Bermaruah Di Tangan Real Sociedad

Manchester United turun menentang Real Sociedad untuk perlawanan pertama mereka di saingan Europa League selepas hanya semusim merasa nikmat keagungan Champions League.

Harry Maguire, Fred, Casemiro, Anthony Elanga dan Cristiano Ronaldo bermula dari kesebelasan utama di samping Antony yang memegang tanda harga yang tinggi. Rugi tak pakai.

Real Sociedad diperkuatkan dengan Takefusa Kubo dan bahagian tengah mereka oleh pemain yang tidak asing lagi iaitu David Silva.

Real Sociedad telah kehilangan ayam tambatan mereka, Alexander Isak kepada Newcastle United di penghujung jendela musim panas apabila tidak mampu menolak tawaran lumayan.

Selain Real Sociedad, Manchester United telah diundi berada di kumpulan E bersama FC Sheriff dan juga Omonia Nicosia.

Cristiano Ronaldo mempunyai rekod gemilang ketika bertemu Real Sociedad ketika bersama Real Madrid, di mana meraih semua kemenangan dalam 9 perlawanan.

Dalam 9 perlawanan menentang Real Sociedad, Ronaldo telah menjaringkan 15 gol dan mencipta 4 bantuan gol. Masa tu Ronaldo masih lagi di puncak.

Pada minit ke-35 Cristiano Ronaldo berjaya memecahkan kebuntuan dengan satu sundulan tajam selepas menerima hantaran daripada Diogo Dalot.

Tapi sayang gol itu dibatalkan kerana Cristiano Ronaldo jelas berada dalam kedudukan offside.

Awal separuh masa kedua, Erik Ten Hag telah membuat dua pertukaran dengan mengeluarkan Cristian Eriksen dan Diogo Dalot untuk Bruno Fernandes dan Lisandro Martinez.

Manchester United masih lagi buntu walaupun Cristiano Ronaldo dilihat lebih mengancam permainannya berbanding separuh masa pertama.

Takefusa Kubo mempamerkan kelincahan apabila mudah melepasi Scot McTominay untuk satu hantaran silang namun gagal disambut rakan sepasukan.

Tidak lama berselang pada minit ke-56, Real Sociedad berjaya memperoleh sepakan penalti selepas rembatan David Silva yang cuba dihadang Lisandro Martinez telah terkena tangan.

Pengadil perlawanan merujuk Video Assistant Referee (VAR) dan sah itu adalah penalti dan Brais Mendez tidak berdepan masalah untuk menyempurnakan walaupun layangan badan David De Gea adalah tepat.

Pada minit ke-71 dua lagi pertukaran dilakukan Ten Hag dengan mengeluarkan dua Anthony yang mempunyai nama serta sebutan yang sama tetapi ejaan berbeza.

Antony Santos dan Anthony Elanga dikeluarkan lalu dimasukkan Jadon Sancho dan pemain muda berpotensi tinggi Alejandro Garnacho Ferreyra untuk memperkasakan serangan.

Berbaki 10 minit perlawanan, Manchester United masih gagal mencari gol penyamaan walaupun Casemiro hampir melakukannya.

Erik Ten Hag memberi peluang kepada seorang lagi pemain muda melakukan debut di pentas Eropah dengan memasukkan Charlie McNeill untuk Tyrell Malacia.

Ronaldo terus tumpul apabila sekali lagi terlepas peluang untuk menyamakan kedudukan apabila rembatannya berjaya diselamatkan.

Buntu dengan situasi itu, Ronaldo cuba pula helah merebahkan badan untuk mendapatkan sepakan penalti namun pengadil menyuruhnya terus bangun.

Ada sentuhan dari pemain Real Sociedad tetapi terlalu lembut dan Ronaldo pula terlalu mudah merebahkan badan. Nampak sangat.

Ronaldo terus mencuba kali ini menerusi sepakan percuma yang sekadar menghentam benteng dan langsung tiada bahaya dan Sociedad hampir menggandakan kedudukan dengan satu serangan balas pantas, mujur De Gea pantas menyelamat.

Manchester United gagal menjaringkan sebarang gol untuk membolehkan Real Sociedad mencipta sejarah mencatat kemenangan pertama ke atas kelab Inggeris di kejohanan Eropah.

Berikut adalah 7 Sebab kekalahan bermaruah Manchester United di tangan pasukan Real Btec ini.

1. Pengadil curang (menipu)

Pengadil ternyata membuat kesilapan ketika menghadiahkan sepakan penalti kepada Sociedad. Itu tak tepat. Lebih gila pengadil memberikan kad kuning kepada tukang sembelih daging aka The Butcher, Lisandro Martinez.

2. VAR silap

VAR pula buat bodoh je walaupun rakaman video jelas menunjukkan bola melantun dari kaki Martinez sebelum terkena tangan. Ada peraturan jelas menyatakan itu bukan handball.

Paling tak puas hati apabila VAR tak endahkan permintaan penalti daripada pemenang 5 Ballon D’Or, Cristiano Ronaldo.

3. Salah penjaga garisan

Akibat terleka dengan bantuan teknologi, penjaga garisan menjadi buta tuli. Langsung tidak membantu pengadil dalam insiden itu.

4. Pengadil tak berikan penalti kepada Manchester United

Cristiano Ronaldo dituduh diving walaupun jelas ada tarikan daripada pemain Sociedad. Tengok sendiri di sini.

5. Pengadil keempat pun bersalah

Masa tambahan diberikan terlalu sedikit. Sedangkan pasukan lain boleh dapat sampai 8 minit masa kecederaan.

6. Salah Maguire

Walaupun tidak melakukan sebarang defensive error namun suwey Maguire apabila beraksi di kesebelasan utama adalah nyata. Dia patut menolak untuk menjadi first XI.

3 kali dia di kesebelasan utama 3 kali Manchester United kalah bermaruah 2 kali dan kalah tanpa maruah sekali je.

4 kali Maguire duduk diam diam di bangku simpanan sambil rasa seronok tengok kawan kawan main bola, Man United menang berderet 4 kali. Tapi Ronaldo tu kita tutup mata je la, dia legenda.

7. Salah Real Sociedad

Mereka tidak jujur dan memberikan tekanan kepada pengadil untuk mendapatkan penalti.

Daripada analisis di atas jelaslah sekali bahawa Manchester United tidak patut kalah perlawanan ini. Walaupun Sociedad menang perlawanan ini, namun Manchester United menang di hati peminat selepas kekalahan penuh bermaruah itu. Lebih baik tak menang daripada menang menipu.

Bak kata seorang peminat Manchester United:

“Mcm ini min crtanya.. Game pertama bgi la chan budak2 gembira dulu pasal uel ni mu main mcm biasa ja ja pun.. Yg turun pun peti ais.. Bayangkan la relax2 sda game kedua nti tau la mu ajar diorg tu.. Relax gelabah sngt la min.. Bukan 4-1 pun kn.. K”

BACA:  Roy Keane Pecah Karakter Hanya Kerana Mahu Pertahankan Pemain United