Analisis : Satu-Satunya Cara Yang Perlu Dilakukan Sepanyol Untuk Menewaskan Switzerland

Sepanyol – satu pasukan yang sentiasa digeruni di arena bola sepak antarabangsa sejak mereka mula memenangi Euro 2008. Ketibaan pasukan Lo Roja ini di dalam mana-mana kejohanan akan sentiasa menjadi perhatian para peminat dan pemerhati bola sepak.

Begitu juga tahun ini, dalam edisi Euro 2020.

Walaupun pada awalnya pasukan ini dilihat agak lemau dan tandus untuk mencari idea dalam menghasilkan gol, mereka tiba-tiba meggegar dunia selepas menjaringkan 10 gol dalam dua perlawanan yang lalu.

Dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan E, Sepanyol menewaskan Slovakia lima gol tanpa balas, sekaligus meletakkan pasukan mereka di tangga kedua kumpulan, dan layak ke pusingan 16-pasukan untuk bertemu Croatia.

Selesa mendahului 3-1 dengan tidak sampai 10 minit baki perlawanan, tiba-tiba Sepanyol terkejut dengan dua gol daripada Croatia dan mengheret perlawanan ke masa tambahan. Mujurlah dalam baki 30 minit terakhir tersebut, Alavaro Morata tiba-tiba menemukan cara untuk menjaringkan gol, sebelum Mikel Oyarzabal mengesahkan kelayakan pasukan ini ke suku akhir.

Pada pusingan suku akhir, Sepanyol akan melayan kudrat pasukan Switzerland yang telah menendang keluar juara dunia, Perancis daripada baki saingan Euro 2020, menerusi sepakan penalti.

Seperti Croatia, Switzerland juga ketinggalan 1-3 menjelang 10 minit terakhir 90 minit perlawanan, sebelum berjaya menjaringkan dua gol untuk membawa perlawanan ke masa tambahan.

Tidak seperti Croatia yang gagal mempertahankan gol daripada dibolosi lawan, Switzerland menampilkan kekerasan dan disiplin serta semangat tinggi ketika mempertahankan gol sekaligus mengecewakan rangkaian penyerang seperti Kylian Mbappe, Karim Benzema, Olivier Giroud dan juga Antoine Griezmann.

Ketika penentuan sepakan penalti, penjaga gol Switzerland, Yann Sommer hampir menyelamatkan beberapa sepakan, sebelum berjaya melakukannya ke atas sepakan lemah Mbappe, sekaligus mencipta kejutan terbesar kejohanan setakat ini.

Menjelang pertemuan kedua-dua pasukan hari ini, Sepanyol masih dianggap sebagai pasukan pilihan, di mana mereka mempunyai rangkaian pemain yang lebih dikenali berbanding Switzerland.

Tetapi berdasarkan perlawanan pusingan 16-pasukan kedua-dua pasukan ini, kemungkinan besar perlawanan suku akhir ini juga akan ditentukan melalui sepakan penalti dan jika ini berlaku, Switzerland akan mencipta sejarah layak ke perlawanan separuh akhir kerana secara psikologinya, pemain mereka sudah tahu apa yang mereka rasai dan hadapi nanti.

Mario Gavranovic, Fabian Schar, Manuel Akanji, Ruben Vargas dan Admir Mehmedi – kesemua pemain ini telah berjaya mengecewakan Hugo Lloris tempoh hari.

Ya, mungkin Switzerland akan sedikit tempang tanpa ketua pasukan yang muncul sebagai pemain terbaik perlawanan ketika menentang Perancis, Granit Xhaka, selepas dia menerima kad kuning keduanya dalam kejohanan ini sekaligus menyebabkannya digantung satu perlawanan.

Akan tetapi dari segi gaya permainan La Suisse yang kerap memberi tekanan kepada pihak lawan tempoh hari tidak boleh dinafikan bakal memusnahkan Sepanyol.

Dari pihak Sepanyol pula, mereka mencatatkan keputusan seri sebanyak lima dalam lapan perlawanan dalam tempoh biasa 90 minit – satu rekod yang melambangkan kesukaran anak buah Luis Enrique untuk menyelesaikan perlawanan dengan lebih awal.

Kalau tengok rekod empat perlawanan sesama kedua-dua pasukan ini, mereka seri dua kali dan setiap pasukan mencatatkan kemenangan 1-0 sekali.

Walaupun agak pelik untuk katakan ni, tapi kemungkinan besar perlawanan suku akhir hari ini akan dibawa ke penentuan sepakan penalti – satu perkara yang cukup perlu dielakkan oleh Sepanyol dek rekod penalti mereka yang buruk.

Dalam lima sepakan penalti terakhir mereka, Sepanyol gagal menghasilkan gol.

Sergio Ramos dinafikan dua kali oleh Sommer dalam tempoh 23 minit ketika kedua-dua pasukan bertemu awal tahun ini. Kemudian Abel Ruiz juga gagal menyudahkannya ketika menentang Lithuania, diikuti dengan kegagalan Gerard Moreno ketika menentang Sweden dan mutakhir, kegagalan Morata ketika menentang Slovakia.

Jadi kesimpulannya, Sepanyol perlu menamatkan perlawanan ini dalam masa 90 minit dan elakkan daripada penentuan sepakan penalti.

Dengan rangkaian pemain tengah yang ada seperti Sergio Busquets, Thiago, Marcos Llorente, Dani Olmo dan Pablo Sarabia – Sepanyol sepatutnya mampu layak ke separuh akhir tanpa perlu bermain di masa tambahan.

Sumber : ESPN

BACA:  Piala Dunia 2022: Sepanyol 7-0 Costa Rica