Anderson Daronco Dianggap Pengadil Terkuat Dalam Dunia Bola Sepak

Para peminat dunia sukan bola sepak terkejut melihat penampilan pengadil dari Brazil, Anderson Daronco yang bertubuh sasa dan nampak sangat gagah perkasa.

Anderson Daronco bahkan turut dianggap sebagai pengadil terkuat dalam dunia bola sepak hari ini oleh para peminat, selepas melihat fizikal beliau yang menakjubkan itu.

Gambar Daronco telah tersebar di media sosial sepanjang minggu ini, dengan menyebabkan para penyokong terkejut serta terkesima melihat potongan badan pengadil berusia 41 tahun dari Santa Maria di Selatan Brazil itu.

Saluran YouTube Oh My Goal mendakwa yang Daronco memiliki biceps yang berukuran 44cm dan dinegaranya beliau terkenal dengan gelaran ‘Juiz Fortao’ yang membawa maksud pengadil yang kuat.

“Jika dia beri kad kuning, kamu tidak akan berani mempersoalkan keputusan dia, kamu hanya akan bersetuju sahaja dengan dia.”

“Tak ada siapa yang berani nak menentang keputusan dia, mudah dia nak kendalikan satu-satu perlawanan tu.”

“Lepas ni kalau ada perlawanan panas, kita kena panggil dia untuk jadi pengadil, saya jamin pemain kedua-dua pasukan akan lebih dengar kata.”

“Dia patut diundang untuk mengadili perlawanan derby di liga luar, saya tak rasa akan ada pemain yang berani nak mempertikaikan keputusan dia.”

“Kalau macam ini, saya rasa pemain nak lakukan kekasaran pun tak berani sebab bimbang kena marah dan kena amaran dengan dia.”

Ada satu gambar yang tular di media sosial, yang memperlihatkan pemain kebangsaan Brazil Hulk, sedang berdiri penuh sopan di hadapan Daronco.

Hulk dikenali sebagai seorang pemain yang mempunyai kekuatan dan fizikal yang sungguh luar biasa menakjubkan, namun ketika berdiri di depan Daronco, beliau nampak kecil sahaja.

Pengadil tersebut yang juga merupakan bekas guru telah mencetuskan sensasi di internet pada minggu lalu, selepas melakukan keputusan kontroversi dengan beliau menolak untuk mengesahkan gol penyamaan Peru di minit akhir perlawanan dalam aksi perlawanan kelayakan Piala Dunia bertemu Uruguay.

Peru ketika itu ketinggalan 1-0 dalam perlawanan yang dilangsungkan di Montevideo itu dan bola rembatan dari Miguel Trauco ditangkap oleh penjaga gol Uruguay, Sergio Rochet sebelum beliau bergerak sedikit ke belekang masuk ke dalam gawang golnya.

Beliau masuk ke dalam gawang gol ketika bola masih lagi berada di tangan beliau dan kerana itulah para pemain Peru mendakwa yang Sergio Rochet menjaringkan gol sendiri.

Daronco kemudiannya menolak permintaan dari pemain Peru kerana beliau merasakan keseluruhan bola perlu melepas garisan untuk mengesahkan yang Sergio Rochet menjaringkan gol sendiri.

Beliau menegaskan yang rakaman VAR menunjukkan hanya separuh sahaja dari bola itu yang melepasi garisan gol dan kerana itulah beliau menolak untuk mengesahkan gol sendiri tersebut.

Penyerang Peru, Paolo Guerrero selepas tamat perlawanan telah mendakwa yang skuadnya dirompak dan Persatuan Bola Sepak Peru (FPF) mengesahkan pada Isnin lalu yang mereka telah membuat laporan rasmi terhadap Daronco.

“FPF menghargai sokongan luar biasa dari para penyokong Peru di Montevideo dan menjemput mereka untuk bersatu dengan keyakinan yang ada dalam usaha untuk capai sasaran di pusingan kelayakan ini.”

Tulis kenyataan dari FPF.

“Namun begitu, FPF mengesahkan yang aduan rasmi telah difailkan kepada FIFA Jumaat lalu berkait tindakan dari pengadil, Anderson Daronco seperti yang diketahui oleh umum.”

“Pakar FPF mengharapkan maklum balas segera dari pihak FIFA mengikut prosedur yang telah ditetapkan.”

Peru awal pagi tadi berjaya menewaskan Paraguay 2-0, seterusnya melayakkan mereka untuk beraksi di pusingan akhir inter-confederation play-off.

Sumber: SPORTbible

BACA:  Pengadil Ini Mengeluarkan Pistol Untuk Lindungi Diri Selepas Memutuskan Sepakan Penalti Yang Kontroversi