Anelka: Messi Dan Ronaldo Tidak Bijak, Karier Mereka Sudah Musnah

Nicolas Anelka telah membuat satu kenyataan agak sensasi apabila melabel Lionel Messi dan Cristiano Ronaldo tidak bijak apabila kedua-dua pemain terbaik sepanjang zaman itu memilih untuk ke PSG dan Manchester United.

Ekoran tindakan tidak bijak dari Lionel Messi dan Cristiano Ronaldo ini, Nicolas Anelka telah menganggap karier mereka berdua sebagai pemain bola sepak kini sudah tamat. Atau mereka boleh memilih untuk bersara.

Bekas pemain penyerang Perancis mempunyai karier bola sepak yang agak berwarna-warni apabila telah bermain untuk 11 kelab berbeza sepanjang kariernya dan dua kali bermain untuk pasukan PSG.

Anelka memulakan karier profesionalnya bersama PSG pada tahun 1996 dari pemain remaja diserapkan ke pasukan utama kemudian Anelka berpindah ke Arsenal dan Real Madrid.

Pada tahun 2000, Anelka kembali ke PSG dan sempat dipinjamkan ke Liverpool sebelum berpindah randah ke Manchester City, Fenerbahche, Bolton Wanderers, Chelsea, Shenghai Shenhua dan Wes Bromwich Albion.

Pada tahun 2014, Anelka beraksi di Liga Bola Sepak India bersama pasukan Mumbai City FC dan bersara sebagai pemain bola sepak. Anelka bersama skuad kebangsaan Perancis dari tahun 1998 sehingga 2010 dan melakukan 69 penampilan.

Tindakan Lionel Messi meninggalkan kelabnya sejak kecil, Barcelona dan kepulangan semula yang amat sensasi Cristiano Ronaldo ke Manchester United dari Juventus dianggap tidak bijak oleh Anelka yang mempunyai pengalaman luas dalam perpindahan.

Bagi Anelka yang mungkin berdasarkan pengalaman kariernya telah mencadangkan sepatutnya Lionel Messi dan Cristiano Ronaldo memilih liga yang menawarkan saingan yang lebih mudah untuk membolehkan karier mereka di usia veteran terus menyinar.

Bagi Anelka apa yang dilalui oleh Ronaldo dan Messi adalah lumrah bola sepak apabila memasuki usia veteran dan mula mengalami kemerosotan.

Becakap kepada RMC Sport, Anelka telah berkata:

“Inilah yang terjadi kepada pemain di mana mereka mahu bermain untuk tempoh yang lebih panjang.”

“Karier mereka telah berakhir dan aku fikir mereka pasti gemira dengan apa mereka capai dalam tempoh 15 tahun lalu.”

“Mereka berada ditahap jauh lebih tinggi berbanding pemain lain dan sekarang adalah normal untuk mengalami penurunan.”

Namun Anelka lebih terkejut dengan apa yang dialami oleh Messi kini di kota Perancis berbanding dengan apa yang dilalui oleh Ronaldo di Teater Impian di bandar Manchester.

“Aku lebih terkejut dengan Messi berbanding Ronaldo. Aku fikir Messi akan terus bermaharajalela di Perancis.”

“Dan Ronaldo sudah pasti akan menghadapi lebih kesukaran di England kerana, bagi aku, Premier League merupakan kejuaraan paling mencabar di dunia ini.”

Bagi Anelka untuk terus berada di atas Messi dan Ronaldo perlu bijak membuat keputusan atau terus bersara ketika dipuncak jika tidak mahu dikritik.

“Mereka tidak bijak, mereka sepatutnya berfikir untuk mencari cabaran yang lebih senang dan tidak sukar kerana mereka perlu membuat keputusan yang tepat untuk terus berada di atas.”

“Terdapat pemain yang tidak teragak-agak untuk menamatkan karier pada usia 32, 33, 34 tahun agar tidak dikritik. Aku berhenti bermain pada umur 36 tahun, ​​tetapi pada usia 32 tahun aku pergi ke China.”

Liga China sekarang tidak seperti ketika zaman Anelka masih bermain, di mana Liga China ketika itu dilimpahi wang ringgit yang tidak terbatas, berapa sahaja gaji yang dipinta boleh dibayar.

Kini banyak kelab di China sudah mula gulung tikar mengkuang. Jika Messi dan Ronaldo ke China atau liga yang lebih rendah sukar mereka untuk mengekalkan status mereka di tahap elit.

Jika diambil pendapat Anelka, lebih mudah buat Ronaldo bermain di Liga Malaysia dan menjaringkan sebanyak mungkin gol untuk melebarkan rekod penjaring gol terbanyak sepanjang zaman.

Secara rasmi rekod itu masih dikira tapi kurang berprestij dan tidak padu.

BACA:  Calon Pengurus United Dinasihatkan Untuk Jual Ronaldo Terlebih Dahulu