Ansu Fati Meraikan Gol Dengan Berlari Mencari Doktor Yang Merawatnya

Ansu Fati meraikan penampilan pertamanya sejak November 2020 dengan menjaringkan gol hanya selepas 10 minit dimasukkan untuk beraksi.

Beliau dimasukkan pada minit ke-81 untuk menggantikan Luuk de Jong dan berjaya untuk menjaringkan gol pada minit ke-91 untuk mengesahkan kemenangan 3-0 Barca menewaskan Levante.

Pemain berusia 18 tahun itu terpaksa diketepikan selama 323 hari selepas menderita kecederaan lutut yang agak parah.

Beliau membuat penampilan pertamanya untuk kelab ketika aksi bertemu Levante malam semalam dan turut muncul sebagai penjaring gol dalam perlawanan tersebut.

Beliau dimasukkan pada aksi babak kedua permainan dan dengan segera menunjukkan impak yang sangat positif, seterusnya membuktikan mengapa beliau paling layak menyarung jersi nombor 10 Barca.

Barcelona ketika itu sudah mendahului perlawanan dengan keputusan 2-0 selepas Memphis Depay dan Luuk de Jong menjaringkan gol pada aksi babak pertama permainan.

Pengurus pasukan, Ronald Koeman kemudiannya memutuskan untuk membawa masuk pemain mudanya itu yang baru pulih dari kecederaan.

Selepas beberapa kali memperoleh kesempatan, pemain bernombor 10 Barca itu mencipta detika yang indah ketika beliau berjaya menewaskan penjaga gol Levante, Aitor Fernandez pada masa kecederaan permainan.

Sebaik berjaya menjaringkan gol, beliau berlari pantas mencari doktor dan petugas kesihatan yang membantunya menjalani fasa penyembuhan.

Ia merupakan budaya yang sangat mengagumkan yang ditunjukkan oleh pemain muda itu, tanda terima kasihnya kepada mereka yang membantu beliau kembali cergas dan sembuh.

Beliau turut memberi penghargaan kepada petugas kesihatan selepas tamat perlawanan tersebut dengan menyatakan:

“Saya tidak pernah membayangkan untuk kembali seperti ini.”

Jelas beliau kepada Movistar.

“Di sini kamu perlu sentiasa untuk menang. Saya sangat gembira atas kejayaan ini, perjalanan kita masih jauh. Saya ucapkan terima kasih kepada doktor dan pegawai fisio yang membantu saya. Juga kepada para penyokong.”

“Saya berfikir untuk membantu rakan sepasukan saya. Saya juga berfikir tentang keluarga saya yang berdepan kesukaran sejak kebelakangan ini. Juga untuk semua orang di sini. Mereka memberi sokongan yang menakjubkan sepanjang tempoh sukar ini.”

Fati kemudiannya menyambung lagi dengan menyatakan:

“Saya sudah jaringkan satu gol. Saya akan berusaha tambah lagi. Saya akan cuba bantu jurulatih dan sentiasa bersedia untuk diturunkan.”

“Ia bergantung tentang bagaimana saya mencari diri saya sendiri. Saya perlu berjuang untuk mendapatkan minit permainan. Perjalanan ini masih panjang dan ia hanya baru bermula. Kita adalah Barca dan kita perlu berjuang untuk segalanya.”

“Bagi saya, No.10 bukanlah sumber tekanan, tapi ia adalah penghargaan. Saya berterima kasih kepada kelab dan ketua pasukan kerana beri saya kesempatan untuk menyarung jersi ini. Ia bukan tekanan ia penghargaan.”

“Kita akan berjuang untuk memenangi gelaran La Liga, Champions League dan untuk semuanya. Kita akan berjuang dan berusaha ke arah itu.”

Sumber: SPORTbible

BACA:  Barcelona Jual Hak Penyiaran dan Cenderahti Untuk Dapatkan RM3.23 Bilion