Penyerang Atletico Madrid, Antoine Griezmann mendedahkan rancangannya untuk menamatkan karier bola sepak beliau di Major League Soccer, tetapi ia tidak akan berlaku selagi beliau belum memenangi Piala Dunia.
Griezmann berkata pelan idealnya adalah untuk berhijrah ke Amerika Syarikat ketika memasuki umur awal 30-an kerana beliau tidak mahu sekadar bermain disana untuk mencari gaji yang lebih tinggi sebelum bersara.
Ramai mengetahui pemain berusia 27 tahun ini merupakan peminat tegar NBA dan sering melakukan kunjungan ke Amerika Syarikat untuk menonton aksi NBA dengan lebih dekat ketika musim bola sepak Eropah sedang berehat.
Beliau mungkin akan melakukan lawatan tersebut lagi selepas kempen Piala Dunia 2018 berakhir seperti dilaporkan oleh Le Figaro. Griezmann turut memberitahu beliau bercadang untuk menjadikan Amerika Syarikat sebagai rumahnya apabila memasuki fasa terakhir dalam karier bola sepaknya.
“Muncul juara dunia, memenangi Liga Juara-Juara Eropah dan selepas itu saya boleh pergi bermain di United States dengan tenang. Itu rancangan ideal saya. Ia tidak lah buruk mana kan ?”
“Jika pelan tersebut berjalan dengan lancar, saya akan terus menerimanya. Saya tidak tahu umur berapa saya akan bermain di MLS, ia bergantung kepada jumlah trofi yang saya menangi sebelum itu. Apabila umur saya mendekati 32 atau 33, saya mahu berada di sana. Saya masih lagi mahu menyumbang sesuatu di atas padang.”
Walau bagaimanapun, bekas pemain Real Sociedad ini masih lagi fokus dengan tugasannya bersama skuad kebangsaan dan berharap mampu membawa Perancis memenangi Piala Dunia selepas gagal di tempat sendiri dua tahun lepas.
“Sejujurnya, memenangi kejohanan bola sepak di tempat sendiri merupakan perkara yang terbaik. Saya mahu menamatkan karier bola sepak saya dengan trofi Piala Dunia dalam kabinet rumah saya.”
“Ia mungkin berlaku dalam Piala Dunia kali ini atau edisi selepas ini di Qatar. Tetapi saya tidak mahu menamatkan karier saya dengan tidak memenangi pertandingan ini. Saya selalu berfikir mengenai perkara ini, ia seperti satu obsesi.”
Griezmann dianggap sebagai salah seorang pemain utama Perancis di Piala Dunia 2018. Setakat ini beliau masih lagi gagal untuk mempamerkan prestasi sebenar dan hanya mampu menyumbang dua gol dengan kedua-duanya diperolehi menerusi sepakan penalti.
Perancis berjaya mengenepikan cabaran Argentina dalam pusingan 16 pasukan terakhir untuk melangkah ke peringkat suku akhir. Perlawanan yang sarat dengan aksi itu berakhir dengan kemenangan tipis 4-3 berpihak kepada Perancis.