Apa Sebenarnya Ronaldo Lakukan Di Bilik Persalinan Selepas United ‘Dibedal’ Brighton

Cristiano Ronaldo sebenarnya sangat terkesan dengan kekalahan memalukan Manchester United ketika bertemu Brighton and Hove Albion sebelum ini.

Beliau dikatakan murung dan duduk sendirian di dalam bilik persalinan selama hampir 20 minit selepas semua pemain serta staff pulang ke rumah masing-masing.

Kekalahan di tangan Brighton itu merupakan kekalahan paling teruk skuad setan merah di bawah kendalian pengurus interim mereka, Ralf Rangnick.

Moises Caicedo, Marc Cucurella, Pascal Gros dan Leandro Trossard merupakan penjaring gol untuk Brighton dalam perlawanan yang dilangsungkan di AMEX Stadium itu.

Kekalahan 4-0 bertemu Brighton jelas sekali bukanlah satu keputusan yang baik dan kerana itulah ia dianggap antara kekalahan terburuk Manchester United ketika di bawah kendalian Ralf Rangnick.

Mereka juga secara rasminya tidak layak untuk bersaing merebut slot ke saingan Champions League selepas tewas 4-0 dalam perlawanan tersebut.

Lebih teruk lagi, kerana kekalahan itu juga United pada ketika itu lagi sudah memecahkan rekod mengutip mata terendah dalam sejarah saingan Premier League.

Menurut sumber laporan dari Manchester Evening News, Ronaldo sebenarnya mengambil masa yang agak lama untuk terima dan percaya dengan apa yang berlaku pada hari itu.

Ronaldo juga sebenarnya sudah menunjukkan kekecewaan beliau sejak dari ketika perlawanan sedang berlangsung lagi.

Ketika Brighton berjaya menjaringkan gol keempat mereka, Ronaldo ketika itu sudah tidak mampu melakukan apa-apa melainkan hanya ketawa sahaja dengan keadaan pada ketika itu.

Laporan sama turut menyatakan yang kesemua pemain segera meninggalkan arena selepas tamat perlawanan tersebut dengan ada yang menaikki bas dan ada juga yang menaikki kereta sendiri.

Ronaldo awalnya sudah diiring untuk keluar meninggalkan kawasan stadium dengan pemandu beliau juga sudah bersedia mahu membawanya pulang ke rumah.

Walau bagaimanapun, bintang Portugal itu kemudiannya memutuskan untuk kembali ke bilik persalinan dan mahu menyendiri buat seketika.

Beliau hanya meninggalkan pesanan kepada pemandunya, yang beliau hanya mahu pulang seandainya bas United sudah bergerak meninggalkan kawasan tersebut.

Perlawanan terakhir Manchester United musim ini adalah bertemu Crystal Palace di Selhurst Park dan ia dilangsungkan dua minggu selepas kekalahan bertemu Brighton itu.

Dek kerana ada jarak antara kedua-dua perlawanan itu, maka Ralf Rangnick bersetuju untuk memberi cuti empat hari kepada anak-anak buahnya.

Para pemain dibenarkan untuk tetap turun menjalani sesi latihan seandainya mereka mahu.

Cristiano Ronaldo walau bagaimanapun tidak muncul ketika aksi bertemu Crystal Palace minggu lalu dan ia bermaksud aksi terakhir beliau pada musim ini adalah ketika kekalahan memalukan bertemu Brighton itu.

Beliau mengakhiri saingan musim ini dengan menjaringkan 24 gol dari semua pertandingan, termasuk 18 gol dalam saingan Premier League.

Manchester United akan memulakan saingan musim baru ini bersama pengurus terbaru mereka, Erik Ten Hag yang akan mula bertugas pada Jun nanti.

Ten Hag juga turut memberi bayangan yang Cristiano Ronaldo sememangnya ada dalam perancangan beliau untuk musim hadapan dan jelas sekali dakwaan ramai yang mengatakan bintang Portugal itu sudah tidak diperlukan lagi adalah salah.

Manchester United bakal mengharungi jendela perpindahan musim panas yang sangat sibuk selepas ini dengan mereka dikatakan mahu melakukan rombakan besar-besaran.

Beberapa pemain dilaporkan sudah sah akan meninggalkan kelab dan kebanyakan dari mereka bakal meninggalkan kelab sebagai pemain bebas ejen.

Setan merah juga turut mahu memburu pemain baru pada musim panas ini, dengan Ten Hag dilaporkan sudah menyenaraikan pemain-pemain yang beliau mahu kelab dapatkan.

Sumber: SPORTbible

BACA:  Pogba Tolak Untuk Sentuh Dan Turunkan Tandatangan Pada Jersi Man Utd