“Arsenal Terciduk Lagi” – Harapan Ke UCL Semakin Pudar

Arsenal mensia-siakan kesempatan untuk mengakhiri saingan Premier League di kedudukan empat teratas selepas mereka mencatatkan kekalahan bertemu Brighton malam semalam.

Selepas mencatatkan kekalahan 3-0 bertemu Crystal Palace di Selhurst Park minggu lalu, skuad kendalian Mikel Arteta minggu ini sekali lagi berdepan dengan kekalahan memalukan.

Mereka sebelum perlawanan terikat dengan Tottenham Hotspur selepas masing-masing mengumpul 54 mata di kedudukan keempat dan kelima dalam carta liga.

Gunners dilihat lebih berpotensi untuk mengakhiri saingan liga di kedudukan empat teratas dek kerana mereka memiliki kelebihan satu perlawanan yang masih belum dimainkan.

Kini nampaknya mereka sekadar menyukarkan diri sendiri untuk mendapatkan slot automatik ke saingan Champions League selepas berdepan kekalahan di tangan Brighton.

Brighton 2-1 Arsenal

Bermain di halaman sendiri, Arsenal dilihat sebagai pasukan kegemaran untuk memenangi perlawanan ini, seterusnya mengukuhkan kedudukan mereka sebagai pencabar utama untuk merebut slot akhir ke saingan Champions League.

Mereka walau bagaimanapun gagal untuk menewaskan Brighton, walaupun mereka dilihat lebih dominan dalam perlawanan ini.

Brighton terlebih dahulu membuka tirai jaringan dalam perlawanan ini pada minit ke-28 permainan menerusi Leandro Trossard.

Arsenal kemudiannya berjaya menyamakan kedudukan menerusi Gabriel Martinelli namun sayangnya gol tersebut dibatalkan oleh VAR kerana beliau berada di kedudukan offside.

Enock Mwepu kemudiannya berjaya menggandakan kedudukan untuk Brighton mendahului permainan 2-0 pada aksi babak kedua permainan.

Seminit sebelum masa sebenar tamat, Martin Odegaard berjaya meledak gol pertama untuk Arsenal, seterusnya memastikan Gunners mendapat gol saguhati.

Pengadil perlawanan membunyikan wisel penamat seterusnya mengesahkan kemenangan 2-1 Brighton menewaskan Arsenal.

Arsenal dominan tapi tak klinikal

Harus diakui yang Arsenal benar-benar dominan dalam perlawanan ini namun malangnya mereka tak cukup klinikal untuk memperoleh gol.

Gunners berjaya mencipta 20 percubaan dengan empat darinya merupakan percubaan tepat, lima percubaan tak tepat dan 11 percubaan yang dihadang.

Skuad kendalian Mikel Arteta itu mendominasi statistik dalam perlawanan ini namun ketumpulan jentera serangan mereka menyebabkan mereka gagal untuk mendapatkan gol.

Tidak dinafikan mereka kerap melancarkan serangan ke kubu pasukan pelawat, namun entah apa yang berlaku kesemua percubaan mereka berakhir dengan mengecewakan.

Penjaga gol Brighton hanya berjaya membuat tiga saves sahaja dalam perlawanan ini, namun harus diakui barisan pertahanan mereka beraksi dengan sangat mantap.

Antara sebab mengapa mereka menyerlah adalah kerana jentera serangan Arsenal tidak berfungsi dengan baik sepanjang perlawanan tersebut.

Harapan kekal di kedudukan empat teratas semakin pudar

Walau sebelum ini mereka dianggap sebagai pasukan kegemaran untuk mengakhiri saingan musim ini dikelompok empat teratas, namun sepertinya kini Tottenham Hotspur yang dilihat lebih berpotensi.

Arsenal sudah mencatatkan tiga kekalahan dari lima perlawanan terakhir mereka dan jelas sekali ia bukanlah satu hal yang dimahukan oleh mereka.

Laluan mereka selepas ini juga bukanlah mudah kerana Arsenal masih perlu berdepan Chelsea, Tottenham Hotspur, Manchester United dan West Ham United.

Mungkin tak ada masalah untuk mereka tewaskan Man Utd, namun itu bukan jaminan untuk Arsenal selesa memintas Tottenham Hotspur.

Hal ini kerana laluan untuk skuad kendalian Antonio Conte itu dilihat sedikit lebih mudah berbanding Arsenal dan kerana itulah mereka dianggap berpotensi untuk berada di kedudukan keempat dalam carta liga pada akhir musim nanti.

Penyokong Arsenal jelas sekali sangat kecewa dengan situasi ini kerana mereka sebelum ini sempat yakin Gunners boleh pintas Chelsea untuk berada di kedudukan ketiga.

Adakah Arsenal akan mampu mengakhiri saingan Premier League di kelompok empat teratas? Atau mereka akan kekal di kedudukan kelima? Bincangkan.

BACA:  Gabriel Magalhaes Dibuang Padang Kerana Kedunguan Sendiri