Arsenal Terlebih Bayar Sekitar £50 Juta Untuk Yuran Perpindahan Musim Panas Ini

Arsenal terlebih berbelanja sekitar £50 juta secara keseluruhannya pada jendela perpindahan musim panas ini selepas mereka mengeluarkan dana yang besar untuk mendapatkan beberapa pemain.

Nilai yang The Gunners bayar untuk mendapatkan kesemua penandatanganan mereka pada musim panas ini terlebih £50 juta dari nilai yang sepatutnya.

Mikel Arteta merupakan antara pengurus paling sibuk pada musim panas ini, dengan beliau sedang merancang untuk membentuk skuad terbaiknya, dan melayakan diri ke kejohanan Eropah.

Dalam usaha beliau untuk membentuk skuadnya, Arteta telah meminta kelab untuk meluluskan dana yang besar bagi persediaan menghadapi jendela perpindahan pemain.

Ben White merupakan penandatanganan termahal Arsenal pada musim panas ini, dengan Gunners membayar £50 juta kepada Brighton untuk menandatangani pemain centre-back itu.

Arteta turut menandatangani Aaron Ramsdale dari pasukan yang baru tersingkir ke saingan Championship dan mereka turut berjaya melengkapkan perpindahan Martin Odegaard dari Real Madrid.

Walaupun mengharungi jendela perpindahan yang agak sibuk, sporting director kelab, Edu terpaksa tampil dalam mempertahankan keputusan beliau menandatangani pemain yang diragui oleh peminat.

Beliau menjelaskan tentang dasar yang mahu beliau bawa dan turut menegaskan pemain yang beliau tandatangani sebenarnya berbaloi untuk kelab.

Walau bagaimanapun, ia sepertinya bakal mengubah keadaan menjadi lebih teruk pada ketika ini, selepas TicketGum.com mendedahkan nilai pasaran sebenar pemain-pemain yang ditandatangani oleh Arsenal.

Mengikut kajian yang dilakukan oleh TicketGum.com, Arsenal membayar secara keseluruhannya £156.8 juta untuk menandatangani pemain pada musim panas ini.

Walau bagaimanapun, mengikut data dari Transfermarkt, nilai kesemua pemain yang mereka tandatangani hanyalah sekitar £107.1 juta sahaja.

Musim pertama White dalam kancah saingan Premier League tidak dinafikan sememangnya sungguh luar biasa menakjubkan dan berbaloi untuk Brighton.

Namun Gunners sebenarnya membayar nilai berganda berbanding harga pasaran sebenar Ben White pada ketika ini.

White dianggap punca Arsenal terlebih berbelanja

Transfermarkt mendakwa yang pemain kebangsaan England yang kini berusia 23 tahun itu sebenarnya hanyalah bernilai sekitar £28.8 juta sahaja dan bukannya £50 juta seperti yang dibayar oleh Arsenal.

Ramsdale yang sudah dua kali berturut-turut tersingkir dari saingan Premier League bersama The Blades dan Bournemouth pula dilaporkan bernilai hanya sekitar £19.2 juta sahaja.

Namun Arsenal membayar nilai sekitar £30 juta untuk menandatangani penjaga gol yang baru sahaja tersingkir dari saingan Premier League musim lalu itu.

Untuk menjadikannya lebih teruk, musim baru ini berjalan dengan langsung tidak memihak kepada skuad kendalian Mikel Arteta itu.

Mereka ketika ini berada di kedudukan tercorot liga selepas tewas dalam kesemua tiga perlawanan awal liga, dengan mencatatkan sembilan bolos dan lebih teruk lagi, Arsenal masih belum menjaringkan sebarang gol.

Dek kerana kemarau kemenangan dalam saingan liga, Roy Keane bahkan sempat menganjing Bukayo Saka selepas tamat kemenangan bersama skuad kebangsaan England, dengan menganggap beliau perlu menikmati kemenangan itu, kerana sukar untuk merasai kemenangan bersama Arsenal.

The Gunners bukanlah satu-satunya pasukan yang terlebih berbelanja pada musim panas ini, dengan kajian sama turut mendapati yang Manchester City juga turut terlebih berbelanja sekitar £40 juta untuk Grealish.

Klausa yang ada dalam kontrak Grealish menjadikan beliau sukar untuk ditandatangani dengan nilai yang lebih rendah dan Man City juga sepertinya tiada masalah untuk menawarkan nilai tinggi untuk mendapatkan khidmatnya.

Jika Arsenal dengan City sebenarnya terlebih berbelanja, Manchester United pula berjaya jimat sekitar £60 juta pada jendela perpindahan musim panas ini.

Mereka berjaya mendapatkan Raphael Varane, Jadon Sancho dan Cristiano Ronaldo pada jendela perpindahan musim panas ini, dengan United jimat £60 juta berbanding nilai yang telah mereka keluarkan.

Walau bagaimanapun, nilai-nilai tersebut sebenarnya nilai yang diletakkan oleh transfermarkt berdasarkan pengiraan mereka, namun jika kelab sanggup membayar lebih, ia sama sekali tidak menjadi masalah.

Namun begitu, andai Edu lebih bijak dalam melakukan rundingan dan membayar yuran perpindahan mengikut harga pasaran semasa pemain, beliau sebenarnya boleh membantu menjimatkan perbelanjaan kelab.

Sumber: SB

BACA:  Arsenal Lancar Bidaan Berjumlah £40 Juta Untuk Dapatkan Zaha