Arsene Wenger Menyesal Kerana Bersama Arsenal Terlalu Lama

Bekas pengurus Arsenal, Arsene Wenger mengakui menguruskan Arsenal selama 22 tahun mungkin adalah satu kesilapan kerana beliau seperti ‘dipenjara’ dalam cabaran yang beliau cipta sendiri.

Pengurus berasal dari Perancis itu dianggap sebagai pengurus paling berjaya sepanjang sejarah Arsenal, tetapi Wenger mengakui beliau sepatutnya mencari cabaran baru di tempat lain lebih awal.

Terlalu lama di Arsenal menyebabkan Wenger terlepas peluang untuk mencuba benda baru di tempat lain

Sejak mengambil alih Arsenal pada tahun 1996, Wenger merupakan individu yang bertanggungjawab menaikkan imej kelab tersebut dari sebuah kelab pertengahan di Liga Perdana Inggeris menjadi salah satu pasukan bola sepak terbesar di dunia.

Wenger juga memainkan peranan utama dalam merealisasikan impian Arsenal untuk membina stadium yang lebih besar, dan hasilnya Stadium Emirates siap dibina pada tahun 2006 dengan kapasiti yang lebih besar dan moden dari Stadium Highbury.

Sepanjang 22 tahun menguruskan Arsenal, Wenger kerap menerima tawaran lumayan daripada luar untuk meninggalkan Arsenal. Antara kelab terkemuka dunia yang berminat untuk mendapatkan Wenger tidak lain dan tidak bukan adalah Real Madrid yang gagal beberapa kali dalam percubaan mereka untuk memujuk Wenger.

Imej terbaru Wenger selepas tidak lagi bergelar pengurus Arsenal. Masih lagi sihat dan bersemangat

Selain itu, Manchester United turut membuat tawaran kepada Wenger untuk menggantikan kekosongan yang ditinggalkan Sir Alex Ferguson di Old Trafford. Semua tawaran yang tiba ditolak mentah-mentah kerana cinta dan setianya hanya pada Arsenal yang satu.

Bagaimanapun kacang lupakan kulit, Wenger sering dicaci dan dihina peminat Arsenal sendiri setiap kali mereka tewas. 2-3 tahun terakhir Wenger bersama Arsenal dipenuhi dengan protes dari peminat Arsenal yang mahu melihat beliau meninggalkan Arsenal.

Akhirnya pada hujung musim 2017/2018, Wenger mengumumkan beliau akan mengundurkan diri dari Arsenal walaupun kontraknya masih lagi berbaki setahun. Kini, tempatnya sudah diisi oleh bekas pengendali Paris Saint-Germain, Unai Emery dan Wenger masih lagi berteka-teki mengenai hala tuju beliau selepas ini.

Dalam satu temuramah bersama RTL, Wenger telah ditanya mengenai penyesalan terbesar sepanjang kariernya dan berikut adalah jawapan beliau.

“Mungkin berada di sebuah kelab selama 22 tahun. Saya sebenarnya seorang yang suka berpindah randah tetapi saya juga sukakan cabaran. Saya telah menjadi ‘banduan’ kepada cabaran yang dicipta saya sendiri.”

Unai Emery diharap mampu membawa Arsenal kembali ke saingan Eropah musim hadapan

Detik terbaik Wenger sepanjang bergelar pengurus Arsenal adalah ketika beliau mengemudi pasukan tersebut memenangi Liga Perdana Inggeris tanpa mengalami sebarang kekalahan. Skuad Arsenal pada musim 2003/2004 menerima jolokan ‘Invincibles’ atas pencapaian luar biasa tersebut dan tiada kelab Inggeris lain yang mampu menyamai pencapaian itu sehingga ke hari ini.

Di peringkat Eropah pula, Wenger tidak pernah memenangi sebarang trofi. Pencapaian terbaik Arsenal hadir pada tahun 2006 ketika mereka tumpas dalam perlawanan akhir Liga Juara-Juara Eropah di tangan Barcelona.

Wenger meninggalkan Arsenal selaku pakar dalam memenangi Piala FA dimana beliau berjaya memenangi kejohanan tersebut sebanyak 7 kali sepanjang 22 tahun bergelar pengurus Arsenal.

BACA:  "Kami Seperti Real Madrid"- Penyokong Arsenal Kagum Rekaan Jersi Serba Putih