Aubameyang Dianggap Tak Cukup Bagus Untuk Jadi Kapten Arsenal

Pemain penyerang Arsenal, Pierre Emerick Aubameyang mungkin sudah mula mendapatkan rentak persembahan terbaiknya dalam saingan Premier League ketika ini.

Namun cara beliau membawa peranan sebagai ketua pasukan sepertinya tidak memuaskan dan turut menyebabkan beliau teruk dihentam.

Aubameyang berjaya menjaringkan empat gol dan turut mencatatkan satu assists sepanjang musim ini, dan ia jauh lebih baik dari apa yang beliau catatkan sepanjang musim lalu.

Pada kempen musim lalu, Pierre Emerick Aubameyang hanya mampu untuk menjaringkan 10 gol sahaja secara keseluruhannya sepanjang musim.

Walau bagaimanapun, bekas pemain pertahanan Manchester United, Paul Parker menegaskan yang Aubameyang sebenarnya langsung tidak mempunyai ciri kepimpinan yang bagus.

Parker menganggap Emile Smith Rowe jauh lebih bagus berbanding Aubameyang, walaupun usianya masih sangat muda.

Smith Rowe mungkin tidak disenaraikan dalam senarai skuad kebangsaan England pilihan Gareth Southgate baru-baru ini, namun aksi hebat dan sumbangan pemain muda ini untuk Arsenal tidak boleh diragukan.

Di usia yang masih muda, Smith Rowe memimpin Arsenal walau tiada lilitan kapten di lengan beliau seperti Aubameyang.

Dan Parker turut menekankan bagaimana teruk sumbangan Aubameyang sebagai ketua pasukan Arsenal pada ketika ini.

Bercakap kepada BonusCodeBets, beliau menyatakan bahawa:

“Pierre-Emerick Aubameyang berdepan dengan kesukaran ketika 18 bulan terakhir beliau bersama Borussia Dortmund dengan sikap bad boy yang ditunjukkan.”

“Dan dia sekarang membawa sikap yang hampir sama seperti itu di Emirates.”

“Sejak Arsenal menandatangani dia, dia langsung tak pernah konsisten. Mereka beri dia armband untuk hargai dia. Tapi perbezaannya, dia bukan ketua untuk pemain dan dia dapat armband itu mungkin kerana kos yang kelab tanggung untuk dia, berapa kelab bayar dia dan cuba untuk berlembut dengan dia, tapi dia jelas sekali bukan ketua.”

“Dia tak ada ciri ketua, tapi ketika kamu menjaringkan gol, orang akan raikannya. Emile Smith Rowe menjadi kunci utama dan Bukayo Saka telah pamer aksi yang bagus, cuma belum di tahap seperti Smith Rowe.”

“Ia sebenarnya sangat memalukan untuk melihat mereka bergantung kepada pemain muda untuk mengawal bola dari bawah dan mengatur bagaimana mereka bergerak di atas padang.”

“Dia (Smith-Rowe) merupakan seorang pemain midfield, dia tak akan berpuas hati kalau dianggap dia holding midfielder atau central attacking midfielder atau apa-apa seperti itu. Dia mahu berad di mana-mana sahaja dan merata padang dengan bola di kaki dia.”

“Dia mampu membuat larian tanpa bola dan menjaringkan gol atau kembali membantu barisan pertahanan kalau khidmat dia diperlukan.”

Smith Rowe tidak dinafikan lagi sememangnya antara pemain terbaik Arsenal pada ketika ini, dan beliau juga antara pemain paling berprestasi dalam saingan Premier League.

Pemain berusia 21 tahun itu pada musim ini telah berjaya menjaringkan tiga gol dan turut mencatatkan dua assists dalam saingan Premier League.

Beliau merupakan nadi utama dalam menghidupkan jentera serangan Arsenal dan turut sering mempamerkan aksi persembahan yang melayakkan beliau untuk dianugerahkan dengan anugerah pemain terbaik dalam perlawanan tersebut.

Apa yang dikatakan oleh Parker sepertinya agak masuk akal dengan Aubameyang jelas sekali tidak menunjukkan ciri-ciri seorang ketua pasukan.

Mungkin Arteta sudah boleh memikirkan untuk melantik calon ketua pasukan yang lain yang boleh memimpin skuad dengan lebih baik berbanding Aubameyang.

Arsenal pada hujung minggu ini akan bertemu dengan Watford di Emirates dan pada 21 November nanti mereka akan berkunjung ke Anfield untuk bertemu Liverpool dalam saingan Premier League.

Walau mereka memulakan saingan musim ini dengan sangat teruk dan turut sempat berada di kedudukan tercorot dalam carta liga, Arsenal kini merupakan antara pasukan paling berprestasi dan masih belum mencatatkan sebarang kekalahan.

Mereka pada ketika ini berada di kedudukan keenam dengan mengumpul 17 mata, lapan mata di belakang pendahulu saingan Premier League, Chelsea.

Arsenal sepertinya sedang berada di landasan terbaik untuk menempatkan diri mereka di kelompok empat teratas, dan tentunya Gunners menyasarkan untuk setidak-tidaknya layak ke saingan Europa League musim hadapan.

Sumber: talkSPORT

BACA:  Aubameyang Diejek Peminat Dortmund Ketika Perlawanan