Azpilicueta Berang Dan Bertekak Dengan Penyokong

Ketua pasukan Chelsea, Cesar Azpilicueta nyata kecewa dengan kekalahan kepada Arsenal dan jelas kelihatan marah serta berang lalu telah bertekak dengan sekumpulan penyokong selepas perlawanan.

Dalam perlawanan North West London Derby menyaksikan Arsenal berjaya melakarkan kemenangan yang selesa dengan jaringan 4-2 di Stamford Bridge hasil jaringan sekumpulan kanak-kanak.

Seminit dua selepas wisel penamat, Cesar Azpilicueta dirakam berjalan ke arah West Stand Stamford Bridge dan dilihat dalam keadaan beremosi seperti bertekak dengan sekumpulan penyokong.

Pemain pertahanan Sepanyol itu kelihatan berang dan terus menuju ke arah penyokong itu dengan lebih dekat seperti melempiaskan amarahnya sebelum berlalu pergi.

Penyokong Chelsea yang tidak berambut mengangkat 10 jari. Tapi sudah pasti tidak bermaksud meletakkan KPI Chelsea tidak boleh bolos 10 gol musim ini.

Jelas Cesar Azpilicueta seperti menjelaskan sesuatu dalam keadaan tidak puas hati dengan apa yang diperkatakan oleh sekumpulan penyokong Chelsea tersebut.

Arsenal dan Chelsea telah mempamerkan antara aksi terbaik serta menarik musim ini di Premier League, memang kena dengan namanya North West London Derby yang bermain demi lencana di dada kecuali Romelu Lukaku.

Kedua-dua pasukan London ini saling kejar mengejar dan mengikat tetapi sehingga angka dua sahaja sebelum Arsenal memecut untuk menang 4-2.

Perlawanan ini juga boleh dikatakan antara perlawanan terbaik Arsenal musim ini.

Chelsea 2-4 Arsenal (Agg. 4-4)

North West London derby antara Chelsea dan Arsenal menjadi tumpuan selepas North-West Derby antara Liverpool dan Manchester United tidak menyajikan keenakan bola sepak sebenar.

Bermain di Stamford Bridge membuatkan Chelsea lebih dominan sejak awal permainan dan memperoleh 3 sepakan penjuru selepas 5 minit perlawanan bermula.

Arsenal agak cepat mendapatkan rentak dan mula membalas kembali apa yang dilakukan Chelsea untuk menjadikan perlawanan menarik.

Pada minit ke-13, Arsenal membuka tirai jaringan melalui Eddie Nketiah yang langsung tidak membazirkan peluang dengan kesilapan daripada Andreas Christensen.

Satu hantaran ke belakang yang buruk dari Andreas Christensen kepada Edouard Mendy yang pantas disambar Nketiah seperti lipas kudung dengan penyudah penuh bergaya.

Tetapi gol Nketiah itu hanya bertahan 4 minit sahaja apabila Timo Werner yang kembali ke jalan yang benar menyamakan kedudukan.

Rembatan Timo Werner telah terbias Granit Xhaka dan cukup untuk menewaskan Aaron Ramsdale dan penjaring masih kekal menjadi milik Werner bukan Xhaka.

Arsenal tidak panik apatah lagi lemah dan lembik yang sinonim dengan mereka apabila kelihatan jelas mengancam lagi menggiurkan.

Emile Smith Rowe kembali meletakkan Arsenal dihadapan pada minit ke-27 dengan satu serangan balas yang sangat manis.

Granit Xhaka telah menutmeg Marcos Alonso, Martin Odegaard telah membuat satu hantaran pendek kepada Smith Rowe yang membawa bola ke kotak Chelsea.

Satu rembatan cantik dilakukan Smith Rowe mecari tiang jauh untuk menewaskan Edouard Mendy buat kali kedua kuran 30 minit perlawanan.

Seperti Arsenal, Chelsea juga tidak panik dan kembali mengikat kedudukan 5 minit berselang melalui Cesar Azpilicueta.

Bermula dari lontaran ke dalam di sebelah kiri, Mason Mount dan Timo Werner berjaya memenangi bola dari Ben White yang menyangka beliau dikasari.

Mason Mount terus melencongkan bola ke near post, Azpilicueta berada di depan Tavares berjaya membuat tolakan yang cukup untuk menewaskan Ramsdale.

Video Assistant Referee (VAR) cuba memberi keadilan mutlak dengan memeriksa insiden kekasaran ke atas White dan tiada kecurangan. Gol dikira.

Eddie Nketiah hampir menjaringkan gol kelima perlawanan namun rembatannya tersasar dan Nketiah cuba mendapatkan penalti selepas dikasari Thiago Silva tidak berhasil.

Ternyata Eddie Nketiah terus menjadi duri di dalam daging buat Chelsea apabila meletakkan Arsenal di depan buat kali ketiga pada minit ke-57.

Kawalan bola yang sangat cantik dari Nketiah membolehkan gol ketiga terhasil.

Romelu Lukaku yang langsung tidak berfungsi membuatkan Chelsea seperti bermain 10 orang telah dikeluarkan untuk Kai Havertz masuk menjadikan Chelsea bermain 11 orang kembali.

Marcos Alonso hampir mengimbangi perlawanan dua kali lagi namun rembatan jarak dekat berjaya dihadang untuk memberi kekecewaan kepada beliau.

Arsenal berpeluang untuk membunuh perlawanan lebih awal dari masa permainan apabila Bukayo Saka berjaya mendapatkan sepakan penalti apabila Cesar Azpilicueta memeluk dengan erat hingga ke tanah.

Cesar Azpilicueta tidak berpuas hati dengan keputusan pengadil dan cuba mengejar Bukayo Saka lalu telah mencetuskan huru-hara namun pengadil berjaya mengawal keadaan.

Bukayo Saka mudah menyempurnakan penalti dengan menghantar bola ke kanak tatkala Eduoard Mendy terbang ke kiri. Salah tekaan dan bacaan.

Dengan masa kecederaan tersisa tiada apa yang mampu dilakukan Chelsea untuk merapatkan apatah lagi menyamakan kedudukan.

Peminat Setan Merah terus kecewa kerana pasti mahu melihat Arsenal yang mempunyai kelebihan satu perlawanan tewas tetapi sebaliknya berlaku.

Kesebelasan Utama Chelsea (3-4-1-2) Mendy; James, Christensen, Sarr; Azpilicueta, Loftus-Cheek, Kante, Alonso; Mount; Lukaku, Werner.

Pemain Simpanan: Arrizabalaga, Chalobah, Thiago Silva, Barkley, Jorginho, Saul, Pulisic, Ziyech, Havertz.

Kesebelasan Utama Arsenal (possible 3-4-2-1) Ramsdale; White, Holding, Gabriel; Saka, Elneny, Xhaka, Tavares; Odegaard, Smith Rowe; Nketiah.

Pemain Simpanan: Leno, Cedric, Swanson, Azeez, Lokonga, Hutchinson, Pepe, Martinelli, Lacazette.

Pengadil Perlawanan: Jon Moss.

BACA:  FIFA Club World Cup: Chelsea 2-1 Palmeiras