Bale, Marcelo Dan Hazard Antara 6 Pemain Yang Real Mahu Lepaskan Januari Ini

Real Madrid telah menyenaraikan enam pemain yang bakal mereka lepaskan menjelang jendela perpindahan Januari tidak lama lagi.

Gareth Bale merupakan antara nama besar yang Real Madrid sedia untuk lepaskan seandainya ada kelab yang berminat untuk mendapatkan khidmatnya.

Bale kembali menyertai Los Blancos selepas menghabiskan musim 2020/21 bersama Tottenham Hotspur sebagai pemain pinjaman.

Walau bagaimanapun, sejak dari Ogos lalu, beliau langsung tidak pernah diturunkan untuk beraksi dalam saingan La Liga.

Beliau kini diberikan jersi bernombor 18 dengan nombor 11 miliknya diserahkan kepada Marco Asensio dan kontrak ketua pasukan kebangsaan Wales itu juga bakal tamat pada musim panas ini.

Pendahulu saingan La Liga itu juga sepertinya tidak berminat untuk terus menggunakan khidmat Bale dan memutuskan untuk melepaskan beliau pada pertengahan musim ini.

Sepanjang kariernya bersama Real Madrid, Gareth Bale berjaya membantu Los Blancos memenangi empat gelaran Champions League dan dua gelaran La Liga.

Beliau juga berjaya menjaringkan lebih 100 gol untuk Real Madrid dan tidak dinafikan yang Bale juga sering menjaringkan gol-gol penting dalam perlawanan besar.

Walau bagaimanapun, hubungan beliau dengan kelab dan penyokong sendiri tidak begitu baik sejak kebelakangan ini dan tidak keterlaluan untuk menganggap beliau sebagai tokoh paling dibenci di Santiago Bernabeu pada ketika ini.

Menurut sumber laporan dari MARCA, Real Madrid gembira dan sangat terbuka untuk melepaskan Bale pada jendela perpindahan Januari ini nanti.

Antara faktor terpenting yang menyebabkan Real Madrid membuat keputusan itu adalah kerana Bale merupakan beban terbesar kelab dari segi pembayaran gajinya.

Selain Bale, Isco juga sepertinya berada dalam situasi yang sama dengan beliau pada musim ini sering diketepikan dari turun beraksi.

Isco juga berada dalam senarai pemain yang mahu Real Madrid lepaskan pada jendela perpindahan Januari ini seandainya ada kelab yang berminat.

Ketua pasukan, Marcelo merupakan seorang lagi pemain yang ada dalam senarai pemain yang mahu dilepaskan oleh kelab pada jendela perpindahan Januari ini.

Beliau kini bukan lagi pilihan utama untuk diturunkan dalam kesebelasan utama, dan bintang kebangsaan Brazil itu hanya membuat lima penampilan sahaja dari semua pertandingan musim ini.

Dengan kontrak beliau yang akan tamat pada musim panas akan datang, Real Madrid sanggup melepaskan beliau untuk pergi pada bulan hadapan, selepas 16 tahun berkhidmat dengan sangat cemerlang untuk kelab.

Selain itu, Mariano Diaz, Luka Jovic dan penandatanganan termahal kelab, Eden Hazard turut sama bakal dilepaskan oleh pihak kelab bulan hadapan.

Walau bagaimanapun, Diaz, Jovic dan Hazard sebenarnya masih berada di bawah pemantauan pengurus kelab, Carlo Ancelotti dan mereka bukanlah keutamaan untuk dijual.

Juara saingan Champions League sebanyak 13 kali itu walau bagaimanapun akan tetap mahu mendengar tawaran dari mana-mana kelab seandainya berminat untuk mendapatkan khidmat trio tersebut.

Real kebiasaannya tidak begitu aktif pada jendela perpindahan Januari dan mereka lebih selesa untuk menjual pemain-pemain pada jendela perpindahan musim panas.

Walau bagaimanapun, hal itu mungkin akan berubah selepas ini dengan Real kini lebih selesa untuk melepaskan semua pemain yang mereka tidak gunakan ini secepat mungkin.

Hal ini kerana Real Madrid sangat yakin yang mereka bakal mendapatkan khidmat kedua-dua Kylian Mbappe dan Antonio Rudiger secara percuma pada jendela perpindahan musim panas akan datang.

Kontrak kedua-dua pemain itu bakal tamat pada penghujung musim nanti, dan Real Madrid yakin mereka bakal memilih Santiago Bernabeu sebagai destinasi pilihan mereka selepas ini.

Sumber: SPORTbible

BACA:  Eden Hazard Jadi Poster Boy McDonald's Di Belgium