Barcelona Bakal Didenda Kerana Keraian Gol Messi Untuk Maradona

Barcelona berdepan kemungkinan bakal didenda kerana keraian gol oleh pemain kesayangan mereka, Lionel Messi yang ditujukan kepada Diego Maradona dalam perlawanan menentang Osasuna.

Dalam perlawanan itu, Barcelona berjaya menundukkan Osasuna dengan jaringan empat gol tanpa balas dan Messi merupakan penjaring gol keempat perlawanan.

Martin Braithwaite menjaringkan gol pembukaan sebelum Antoine Griezmann menggandakan kedudukan sebelum tamat separuh masa pertama.

Philippe Coutinho terus menjarakkan kedudukan dengan gol ketiga sebelum Lionel Messi menjaringkan gol keempat perlawanan yang mirip kepada gol Maradona ketika bersama Newell’s.

Usai menjaringkan gol, Lionel Messi telah memberi penghormatan kepada mendiang Diego Maradona dengan cara yang sungguh mengagumkan lagi meruntun jiwa.

Messi telah membuka jersinya untuk mempamerkan jersi Newell’s Old Boys bernombor 10 yang pernah dipakai oleh legenda bola sepak dunia itu.

Ketika mempamerkan jersi tersebut, Messi turut melayangkan ciuman ke langit tanda penghormatan kepada mendiang idolanya itu.

Tindakan Messi memberi penghormatan kepada Maradona itu menyebabkan pengadil berbelah bahagi untuk melayangkan kad kuning.

Namun peraturan tetap peraturan dan layangan kad amaran tetap diberikan kerana perlanggaran kod etika bola sepak.

Tindakan Messi itu tidak tamat disitu apabila Barcelona turut berdepan dengan dengan sebanyak €3000 kerana melanggar artikel 91 seperti mana yang termaktub dalam Kod Disiplin RFEF.

FIFA telah melarang para pemain meraikan jaringan gol dengan membuka baju dalam semua kejohanan dan tiada pengecualian untuk apa-apa tujuan.

Denda yang dikenakan kepada Barcelona ini tidaklah berat dan hanya mengikut peraturan yang ditetapkan.

Messi juga hampir saja melakukan kembali gol ikonik dan epik yang menjadi cap dagang Maradona dalam perlawanan ini iaitu ‘Hand of god’.

Lionel Messi hampir saja meniru gol terkenal Maradona itu ketika gol pembukaan dari Martin Braithwaite hampir saja melepasi garisan gol.

Namun Messi mungkin tersedar beliau kini berada di tahun 2020 di mana teknologi telah membantu dalam pengadilan dan dengan mudah beliau akan kantoi dan dihukum.

Hampir sahaja Messi menepuk bola itu seperti apa yang dilakukan Maradona yang menyingkirkan England daripada saingan Piala Dunia 1986 dan menjadi antara gol kontroversi dalam dunia bola sepak.

Jika Messi menyentuh bola itu sudah pasti kad merah dalam tangan dan akan menjalani penggantungan dan jaringan itu juga tidak akan dikira malah memberi impak kepada pasukan.

Kalaulah Messi betul-betul tiru memang jadi satu tribute yang ikonik.

Diego Maradona dianggap sebagai salah seorang pemain bola sepak terhebat sepanjang zaman telah meninggal dunia dan menjadi satu kehilangan besar buat dunia bola sepak.

Legenda bola sepak Argentina yang kini berusia 60 tahun itu telah di sahkan meninggal dunia akibat serangan jantung di Buenos Aires.

Bekas kapten Argentina itu baru-baru ini telah menjalani pembedahan otak dan telah menamatkan rawatannya di hospital.

Namun pada hari ini, beliau sekali lagi telah dikejarkan ke hospital kerana mengalami masalah jantung sebelum disahkan meninggal dunia.

Bekas bintang Barcelona dan Napoli itu dianggap sebagai salah seorang pemain terhebat sepanjang zaman dan menjadi pemain paling disegani sehingga ke hari ini.

Perjalanan Ringkas Karier Maradona

Diego Armando Maradona dilahirkan pada 30 Oktober 1960 merupakan bekas pemain bola sepak Argentina dan juga merupakan seorang pengurus selepas menamatkan karier sebagai pemain.

Semasa kariernya sebagai pemain, Maradona telah memakai jersi ikonik bernombor 10 yang memberi satu perlambangan bagi pemain bola sepak yang hebat.

Pemain nombor 10 dianggap bahaya dan ancaman kepada pasukan lawan. Mereka seringkali menjadi mangsa kekasaran pertahanan pasukan lawan berikutan kelincahan dan kehebatan yang dimiliki oleh pemain bernombor 10.

Karier Diego Maradona pula bermula bersama Argentinos Juniors tetapi meraih kejuaraan pertama Primera Division pada musim ke-5 bersama kelab tersebut sebelum berhijrah ke Boca Juniors.

Semusim bersama Boca Juniors, Maradona kemudiannya dipancing ke Barcelona untuk rekod perpindahan dunia pada ketika itu.

Musim pertama di Nou Camp, Maradona dan Barcelona memperoleh kejuaraan ‘treble’ dengan gelaran La Liga, Copa Del Rey dan kemudiannya Espanyol Super Cup.

Namun begitu, nama Maradona sangat disanjung di Napoli. Maradona diibaratkan dewa penyelamat bandar Napoli. Prestasi terbaik pemain Argentina ini juga adalah ketika bersama Napoli.

Maradona dan Napoli bersama-sama memenangi kejuaraan Serie A sebanyak 2 kali pada 1987 dan 1990 serta juga bergelar juara Piala UEFA pada 1988/89

Maradona cemerlang bersama negara dan merupakan penjaring terbanyak sepanjang zaman ketika bersama kelab Itali di Serie A, Napoli dengan 115 gol dalam semua pertandingan.

Kegemilangan Maradona bersama Argentina sudah pasti pada Piala Dunia 1986 yang berlangsung di Mexico apabila berjaya memberi inspiras untuk Argentina menjadi juara dunia.

Maradona bersara pada tahun 1997 dan telah terlibat dalam dunia kejurulatihan dan telah menjadi pengurus Argentina pada 2008 sehingga 2010.

Kelab Gimnasia de La Plata merupakan pasukan terakhir yang diuruskan oleh Maradona sebelum meninggalkan dunia yang fana ini.

BACA:  Ronaldo Diejek Dengan Laungan Messi! Messi!