Barcelona Mahu Melelong Ousmane Dembele Pada Jendela Perpindahan Musim Panas Nanti

Barcelona dilaporkan sanggup untuk menanggung kerugian yang besar asalkan mereka dapat menjual Ousmane Dembele pada jendela perpindahan musim panas nanti.

Pada tahun 2017, Barcelona telah menjual Neymar kepada Paris Saint Germain dan kemudiannya mereka telah membeli Ousmane Dembele sebagai pengganti kepada bintang Brazil itu.

Barcelona menandatangani Dembele dengan nilai perpindahan £130 juta. Tetapi sepertinya pelaburan mereka untuk mendapatkan bekas pemain Dortmund itu sia-sia.

Hal ini terjadi kerana Dembele telah dihantui dengan beberapa siri kecederaan dan mempunyai masalah kecergasan dari mula beliau tiba di Now Camp.

Dari 74 perlawanan yang beliau mainkan untuk Barcelona, Dembele hanya lima kali sahaja diturunkan sebagai kesebelasan utama bagi perlawanan dalam saingan La Liga musim ini.

Kini, selepas saingan bola sepak digantung ekoran dari penularan wabak yang sedang melanda dunia itu, hampir kesemua pasukan mengalami masalah terutama dari segi ekonomi.

Barcelona juga tidak terlepas dari menghadapi masalah yang sama dan ini membawa kepada kerugian yang besar untuk pasukan.

Menurut laporan dari SPORT, gergasi Catalan itu tidak kisah untuk menjual pemainnya yang menerima gaji bernilai £200,000 seminggu itu pada harga serendah £37 juta sahaja.

Nilai yang sangat rendah jika dibandingkan dengan jumlah yang dilaburkan oleh Barcelona untuk mendapatkan pemain tersebut sebelum ini.

Paris Saint Germain sebelum ini pernah dikaitkan dengan bintang tidak menjadi Barcelona ini, dan terdapat juga pasukan dari China dan Itali yang turut berminat untuk mendapatkan khidmat dari Dembele.

Kesemua pasukan yang menunjukkan minat untuk menandatangani sudah mula memantau keadaan pemain tersebut tetapi masih belum ada rundingan yang dilakukan.

Sebelum ini, Barcelona telah memasukkan nilai €400 juta kedalam klausa pelepasan Dembele setibanya pemain itu di Nou Camp.

Namun buat masa ini perkara itu bukanlah lagi menjadi halangan untuk mana-mana pasukan yang berminat untuk mendapatkan khidmat beliau.

Barcelona hanya mahu melepaskan pemain itu kerana tidak mahu untuk terus menanggung membayar gaji pemain yang jarang memberi sumbangan untuk pasukan.

Jadi Barcelona sebenarnya tidak kisah untuk menanggung kerugian dari segi nilai pemain itu asalkan mereka dapat menjual Dembele pada jendela perpindahan pemain nanti.

Sepanjang kariernya bersama Barcelona, Dembele telah berjaya untuk menjulang gelaran saingan La Liga sebanyak dua kali dan telah menjaringkan 19 gol untuk pasukan sepanjang kariernya di Nou Camp.

BACA:  Griezmann Dan Dembele Meminta Maaf Kerana Menghina Pekerja Asia