Barcelona Umun Tiga Lagi Pemain Yang Akan Dijual Pada Musim Panas Ini

Barcelona sedang mencuba untuk mengukuhkan kedudukan ekonomi kelab dalam usaha mereka untuk menawarkan lanjutan kontrak baru kepada Lionel Messi.

Terbaru, gergasi Catalan itu dilaporkan akan melepaskan tiga orang pemain pertahanan pada minggu ini dengan tujuan untuk mendapatkan dana tambahan.

Messi dilaporkan sudah bersetuju dengan tawaran kontrak baru selama lima tahun bersama Barcelona. Namun begitu, masih belum ada pengumuman rasmi yang dibuat oleh pihak kelab.

Apa yang pasti, Messi dilaporkan bersetuju untuk menerima pemotongan gaji sehingga 50% dalam tawaran lanjutan kontraknya itu berbanding gaji yang lama.

Walau bagaimanapun, pihak kelab dilaporkan sangat terdesak untuk mengurangkan kadar pembayaran gaji para pemainnya untuk mendaftarkan nama Messi dan penandatanganan baru kelab.

Barca dilaporkan perlu mengurangkan kadar pembayaran gaji para pemainnya untuk mendaftarkan nama pemain seperti Sergio Aguero, Memphis Depay dan Eric Garcia.

Antoine Griezmann dilihat sebagai calon kegemaran yang bakal dikorbankan. Pihak kelab sedang berunding dengan bekas kelabnya, tentang kebarang kalian untuk beliau kembali ke Atletico Madrid.

Menurut laporan SPORT, Clement Lenglet, Sergio Dest dan Samuel Umtiti antara nama yang sudah disenaraikan untuk dijual/ dilepaskan dari Nou Camp pada minggu ini.

Pemain centre-back, Clement Lenglet telah turun beraksi sebanyak 29 perlawanan untuk Barcelona dalam saingan La Liga musim lalu.

Beliau juga turut tersenarai dalam skuad 26 pemain Perancis yang menyertai saingan Euro 2020 baru-baru ini.

Walau bagaimanapun juga, beliau gagal untuk meyakinkan pengurusan kelab dek kerana hanya membuat satu penampilan sahaja bersama skuad kebangsaan dan telah mempamerkan aksi permainan yang teruk dalam perlawanan tersebut.

Lenglet turun beraksi ketika skuad kebangsaan Perancis dikejutkan dengan kekalahan menerusi penentuan sepakan penalti bertemu Switzerland di pusingan 16 terbaik.

Penandatanganan baru dari Manchester City, Eric Garcia akan diturunkan dalam skuad utama dan akan digandingkan dengan Gerard Pique pada musim hadapan.

Namun begitu, untuk memastikan hal tersebut berlaku, Barcelona harus terlebih dahulu mendaftarkan Garcia sebelum jendela perpindahan ditutup.

Dua pemain yang mahu dilepaskan oleh Barcelona pada musim panas ini.

Arsenal walaupun baru sahaja menandatangani Ben White dari Brighton, mereka dilaporkan turut berminat untuk mendapatkan khidmat pemain berusia 26 tahun itu.

Selain Arsenal, seteru utama mereka, Tottenham Hotspur turut berminat untuk menandatangani Clement Lenglet walau pemain itu sendiri tidak mahu meninggalkan Barca.

Dest baru sahaja menyertai Barcelona dari Ajax pada musim panas lalu, namun laporan sama menyatakan yang pihak kelab tidak berpuas hati dengan prestasi yang beliau tunjukkan dalam musim pertamanya.

Skuad kendalian Ronald Koeman juga sudah menandatangani Emerson dari Real Betis, maka mereka jelas sudah mempunyai calon pemain untuk mengisi kekosongan di posisi right back.

Bayern Munich yang telah dikaitkan dengan bakal menandatangani Dest sebelum beliau ditandatangani oleh Barca, turut berminat untuk mendapatkan beliau dari Barcelona.

Inter Milan juga dilaporkan sangat berminat untuk menandatangani Dest dalam usaha mereka untuk mendapatkan pengganti kepada Achraf Hakimi yang sudah melengkapkan perpindahannya menyertai Paris Saint Germain.

Sementara Umtiti pula beliau memilih untuk tidak mahu dijual dan dalam masa yang sama tidak mahu menerima pemotongan gaji di Nou Camp, dan ia jelas memberi masalah kepada Barca untuk menghalau bekas pemain centre-back Lyon itu.

Skuad dari Ligue 1 itu turut menyatakan minat mereka untuk mendapatkan semula Umtiti, namun mereka hanya mahu meminjam sahaja dan tidak mahu mengeluarkan dana yang besar untuk mendapatkan khidmatnya.

Umtiti telah diberitahu oleh pihak kelab yang beliau tidak akan diturunkan beraksi pada musim hadapan dan kelab telah memutuskan untuk melepaskannya walau tanpa kerelaan beliau.

Sumber: SB

BACA:  Lima Pemain Yang Tak Sepatutnya Barcelona Jual