Barcelona Yakin Mampu Manipulasi Klausa Kontrak Erling Haaland Di Man City

Barcelona kini menganggap diri mereka sebagai calon utama untuk bersaing mendapatkan khidmat Erling Haaland daripada Manchester City.

Real Madrid dianggap sebagai destinasi pilihan utama Erling Haaland pada masa hadapan. Namun 90 min melalui sumbernya mendedahkan Barcelona kini turut merancang plot mereka tersendiri untuk membawa penyerang prolifik Norway itu ke Nou Camp.

Pada masa ini jentera serangan kelab Catalan itu diketuai oleh Robert Lewandowski. Haaland pula dilihat sebagai pengganti jangka masa panjang penyerang veteran yang kini berusia 35 tahun itu.

Haaland sememangnya telah menampilkan prestasi luar biasa sejak menyertai Manchester City daripada Borussia Dortmund pada musim panas lalu.

Musim pertamanya di England berjaya membantu kelab Premier League itu meraih kejuaraan Champions League buat kali pertama, selain kejuaraan liga dan Piala FA.

Haaland turut dinobatkan sebagai pemenang kasut emas Premier League dan kasut emas Eropah. Secara keseluruhan penyerang berusia 23 tahun itu telah menjaringkan 52 di semua pertandingan, dan 36 daripadanya terhasil di Premier League – merupakan rekod baharu pertandingan.

Walaupun baru semusim berada di Etihad, Man City dikhabarkan sedang berusaha untuk melanjutkan kontrak penyerang mereka itu.

Haaland menandatangani kontrak selama lima tahun ketika tiba di Manchester, namun kontrak tersebut turut mengandungi beberapa klausa lain.

Salah satu daripadanya dibatalkan setelah Pep Guardiola menyambung kontrak untuk terus kekal di Etihad. Ini juga bermakna tiada klausa boleh digunakan pada 2024, namun Haaland dibenarkan meninggalkan Citu pada tahun berikutnya dengan nilai £172 juta.

Klausa pelepasan itu hanya akan aktif pada 2025. Tanpa menamakan kelab tertentu untuk disertai Haaland selepas ini, ini bermakna Haaland dibenarkan meninggalkan City sekiranya klausa tersebut diaktifkan.

Lebih menarik, nilai £172 Haaland akan terus turun tahun berganti tahun sepanjang kontrak asal lima tahun tersebut. Untuk tahun 2025, Haaland boleh didapatkan dengan nilai £150 juta.

Realiti tersebut menyebabkan Barcelona yakin mereka mampu meyakinkan Haaland untuk berhijrah ke Nou Camp menjelang 2025.

Kelab La Liga itu bergelut dengan masalah kewangan sejak beberapa musim lalu dan berbelanja secara minima sepanjang tempoh tersebut – kini mulai merancang kewangan dan perbelanjaan untuk tempoh dua tahun ke hadapan.

City kini bekerja keras meyakinkan Haaland dan ejennya membatalkan klausa tersebut dan sebagai ganti kelab itu bersedia untuk menjadikan pemain itu sebagai penerima gaji tertinggi di Premier League – gaji pokom melebihi £500,000 seminggu.

Walaupun demikian kem Haaland tidak melihat perkara itu sebagai satu keperluan buat masa ini.

Ejen Haaland, Rafaela Pimenta yang mengambil alih daripada mendiang Mino Raiola pernah menjelaskan situasi tersebut sebelum ini.

“Apabila seseorang pemain menyertai sesebuah kelab, tugas saya adalah untuk menjadikan keadaan memberi kelebihan kepada pemain,” kata Pimenta pada 2022.

“Jika esok pemain sudah tidak mahu berada di kelab itu lagi, atau kerana tidak menerima bayaran sepatutnya, atau kerana isterinya pula mahu menetap di Paris, maka pemain boleh pergi dengan mudah.

“Saya tidak suka melihat situasi pemain tidak mempunyai kebebasan membuat keputusan. Saya telah menyediakan semua kontrak di agensi ini selama 25 tahun. Semua kontrak pemain.

“Belum pernah lagi ada pemain berkata mereka mahu pergi dan gagal melakukannya.”

BACA:  Man Utd Batalkan Kontrak Baru De Gea Yang Sudah Ditandatangan