Bengang Akhyar Tak Passing Punca De Paula Merajuk Tak Nak Raikan Gol?

Dari awal sepak mula perlawanan antara Malaysia bertemu Kemboja, sehingga ke hari ini, nama De Paula masih lagi menjadi bualan mulut para peminat bola sepak.

Pemain naturialisasi itu telah mempamerkan aksi persembahan yang sangat mengecewakan ketika aksi kemenangan 3-1 Malaysia tewaskan Kemboja malam semalam.

Sepanjang 65 minit beraksi, beliau sama sekali gagal untuk berikan impak seperti yang diharapkan oleh para peminat, sebaliknya pemain-pemain tempatan lebih menonjol.

De Paula sebenarnya sangat diharapkan untuk memberikan impak yang lebih positif, memandangkan beliau mempunyai kelebihan fizikal yang boleh dimanfaatkan.

Selain gagal menjaringkan gol, beliau juga gagal mencipta gerakan-gerakan yang merbahaya ke kubu lawan, dan tidak keterlaluan untuk katakan beliau seolah-olah sekadar ada sahaja di atas padang.

Tular di media sosial pada ketika ini, aksi De Paula yang menunjukkan reaksi tidak gembira melihat Akhyar Rashid meledak gol kedua untuk negara pada aksi babak kedua permainan.

Syafiq Ahmad berjaya melakukan hantaran membelah padang ketika Malaysia melakukan serangan pantas, dan bola hantaran beliau cantik menemui Akhyar Rashid.

Mat Yat membawa bola masuk ke kotak penalti lawan, dan turut berjaya memperdaya dua pemain pertahanan Kemboja sebelum melepaskan rembatan leret yang menakjubkan untuk gol kedua Malaysia.

Ketika Akhyar membawa bola masuk ke kotak penalti lawan, bintang yang difitnah sebagai pemain pilihan netizen itu sekadar melihat sahaja rakan sepasukannya cuba melepasi pemain lawan sambil beliau sendiri langsung tidak berusaha meminta bola.

Ketika Akhyar sudah ada ruang untuk melepaskan rembatan, beliau masih berdiri tegak umpama mahu menyanyikan lagu kebangsaan.

Selepas bola berada dalam gawang gol lawan, beliau langsung tidak menunjukkan reaksi gembira atas kejayaan pasukan memperoleh gol kedua dalam perlawanan ini.

Beliau sekadar berjalan dengan muka kerek sambil pemain lain bersemangat meraikan gol jaringan dari Akhyar Rashid itu.

Jadi sekarang kenapa reaksi dia begitu? Dia kecewa Akhyar tak passing bola? Atau dia kecewa dia gagal jaringkan gol?

Dek kerana langsung tak menyumbang apa-apa, De Paula telah dikeluarkan pada minit ke-65 permainan, dengan TCH memasukkan Luqman Hakim sebagai pengganti.

Ketika berjalan keluar meninggalkan padang, De Paula telah mendapat tepukan gemuruh dari para penyokong yang ada dalam stadium.

Menurut wakil ESPN Asia, Gabe Tan, De Paula telah menjeling para penyokong negara yang ada dalam stadium sebelum melepaskan kemarahannya dengan mencari gaduh dengan botol di tempat duduk pemain simpanan.

Beliau berkemungkinan tak puas hati dengan sorakan dari para penyokong, yang beliau rasakan sekadar menganjing dirinya dan bukanlah tepukan penghargaan atas aksinya yang tidak seberapa di atas padang itu.

Pengurus pasukan, Tan Cheng Hoe ketika temu bual selepas tamat perlawanan telah bercakap tentang hal tersebut, dengan beliau menyatakan bahawa:

“Saya akan uruskan masalah ini. Dia sudah berikan yang terbaik ketika sesi latihan + dia juga sangat komited. Kadang kala ini hanyalah kekecewaan kerana dia gagal untuk jaringkan gol.”

“Saya sangat yakin yang De Paula sudah cukup matang, semoga dia boleh jadi contoh yang baik kepada pasukan.”

Ketika nama beliau sedang teruk dihentam oleh para peminat atas aksi hambar yang beliau persembahkan, tindakan mencari gaduh dengan penyokong sebenarnya satu keputusan yang kurang pandai.

Beliau tak sepatutnya menunjukkan reaksi seperti itu dihadapan para penyokong, apa lagi menjeling lalu melempar botol untuk meluahkan rasa tak puas hatinya beliau dengan aksi dalam perlawanan ini.

Bukan kerana beliau pemain naturialisasi maka beliau menjadi kambing hitam atau punching bag untuk para peminat, namun aksi yang beliau persembahkan jelas sekali menunjukkan beliau layak untuk dihentam.

Seandainya beliau benar-benar kecewa kerana gagal untuk menjaringkan gol, tindakan paling tepat yang boleh beliau lakukan adalah meminta maaf kepada para penyokong.

Atau setidak-tidaknya diam dan terus duduk di tempat duduk pemain simpanan dan bukanlah dengan mencari gaduh semula dengan penyokong.

Kemenangan 3-1 menewaskan Cambodia bukan satu tiket untuk para pemain skuad Harimau Malaya menarik nafas lega.

Dengan aksi hambar yang mereka pamerkan sepanjang aksi babak pertama, Malaysia berpotensi untuk kena lunyai dengan pasukan yang ada kualiti seperti Vietnam atau Indonesia.

Tan Cheng Hoe perlu lakukan sesuatu, dalam usaha beliau untuk mengelak skuad kebangsaan diaibkan dalam mana-mana perlawanan sepanjang kejohanan ini.

Walau Malaysia dianggap bukanlah sebagai pasukan pilihan, namun barisan pemain yang kita miliki sebenarnya sudah cukup untuk melayakan Harimau Malaya menjuarai saingan AFF Suzuki Cup tahun ini.

Di usia 35 tahun, edisi AFF kali ini merupakan yang terakhir untuk De Paula buktikan sesuatu, agar beliau tidak terus dikenang sebagai pemain naturialisasi paling sia-sia dalam sejarah bola sepak Malaysia.

Seandainya De Paula masih pamerkan aksi yang sama sahaja selepas ini, maka lebih baiklah kalau Tan Cheng Hoe meletakkan saja beliau dibangku simpanan, atau kirim semula ke Malaysia.

Sumber: AFF Suzuki Cup

BACA:  Sikap Terpuji Penyokong Negara Yang Tak Henti-henti Jerit Nama De Paula