De Paula Sedih Tindakannya Disalah Erti Penyokong

Baru-baru ini, pemain naturalisasi  negara, Guilherme De Paula, sekali lagi menjadi sasaran para penyokong Malaysia apabila dia didakwa telah melakukan satu tindakan yang tidak bijak – melempar botol air selepas dikeluarkan oleh ketua jurulatih, Tan Cheng Hoe, sebalik sahaja dikeluarkan dan digantikan oleh Luqman Hakim, dalam perlawanan pembukaan Piala AFF Harimau Malaya menentang Kemboja.

Dalam perlawanan tersebut, Malaysia berjaya mencatatkan keputusan tiga mata penuh, hasil jaringan daripada Safawi Rasid, Akhyar Rashid dan juga R. Kogileswaran.

Meskipun gembira dengan kemenangan pembuka tirai tersebut, para penyokong mengecam De Paula dek prestasinya di atas padang yang dilihat sangat lemah dan tidak membantu pasukan negara.

Malah dia juga turut dimarahi para penyokong kerana tidak meraikan jaringan kedua Malaysia yang dihasilkan oleh Akhyar Rashid.

Sebaik gol dijaringkan, De Paula dilihat langsung tidak mengangkat tangan bersorak, dan selepas Akhyar berlari ke penjuru padang, pemain berasal dari Brazil ini dilihat sekadar berjalan kaki tanpa rasa teruja langsung.

Tidak terhenti di situ, nama De Paula menjadi trending di laman sosial apabila satu ciapan daripada editor ESPN, Gabe Tan, yang mengatakan bahawa pemain ini bertindak membaling botol air selepas merenung tajam penyokong Malaysia yang berada di stadium.

Ketika sidang media selepas perlawanan, Tan Cheng Hoe telah menjawab tentang pekara ini;

“Saya akan uruskan masalah ini. Dia sudah berikan yang terbaik ketika sesi latihan + dia juga sangat komited. Kadang kala ini hanyalah kekecewaan kerana dia gagal untuk jaringkan gol.

“Saya sangat yakin yang De Paula sudah cukup matang, semoga dia boleh jadi contoh yang baik kepada pasukan.”

Selepas teruk menjadi sasaran, De Paula akhirnya membuka mulut meminta maaf di laman Instagramnya, kepada seluruh penyokong bola sepak Malaysia dan menyatakan bahawa tindakannya itu disalah ertikan oleh kebanyakan pihak.

“Sejak hari pertama saya bermain bersama skuad kebangsaan, saya amat menghargai dan menghormati setiap harapan anda terhadap saya. Penghormatan itu amat menggalakkan, terima kasih.

“Namun insiden semalam disalah ertikan segelintir pihak dan ia sekali gus menjadikan perkara itu lebih buruk.

“Saya sentiasa menghormati jurulatih dan rakan sepasukan. Sejujurnya saya kecewa sedangkan saya sudah memberikan 100 peratus yang terbaik di atas padang. Cuma kadang kala saya merasakan saya boleh buat lebih baik daripada itu,” katanya, seperti yang diterbitkan oleh Harian Metro.

Selain itu, De Paula tetap yakin bahawa dia dan rakan sepasukan yang lain akan terus memberikan yang terbaik dan berusaha untuk memperbaiki permainannya dalam perlawanan berikutnya nanti.

“Terus maju ke hadapan. Saya akan bekerja keras dan perbaiki diri sendiri dalam pasukan. Kita dahagakan kemenangan dan kita akan berjuang bersama untuk Malaysia,” ujarnya.

Walaubagaimanapun, ketika admin The Sukan cuba melihat hantaran tersebut di akaun Instagram De Paula, didapati bahawa dia telah menyahaktifkan akaunnya lantas membuatkan admin terus menekan like di gambar-gambar lain yang boleh dikategorikan sebagai menarik.

Berkenaan Piala AFF juga, penyerang negara, Syafiq Ahmad, mengatakan bahawa para pemain kini sedang dan sedia untuk berkorban demi negara, seperti mana yang dilaporkan oleh Stadium Astro.

Pemain JDT itu mempertahankan keupayaan skuad Harimau Malaya meskipun dikecam segelintir peminat yang menganggap pasukan negara beraksi dengan longlai dalam kemenangan ke atas Kemboja.

“Bagi saya, kebanyakan pemain yang datang ke sini, boleh dikatakan mereka semua adalah pemain yang berkorban,” katanya dalam sidang media secara maya seperti yang dipetik Nadi Arena.

“Kami datang ke sini dengan serba kekurangan tetapi setiap pemain yang berada di sini telah berjanji untuk memberikan yang terbaik dan membuktikan bahawa kekurangan itu tidak akan kelihatan di mata orang lain.”

Pada masa yang sama, Syafiq juga berharap De Paula tidak dikritik secara keterlaluan dan percaya bahawa penyerang tersebut mempunyai kualiti yang mencukupi bagi membawa cabaran negara.

“Bagi saya, dia (De Paula) sudah mencuba untuk melakukan yang terbaik tetapi mungkin waktunya belum tiba untuk dia menjaringkan gol.

“Sebagai seorang penyerang, sudah pasti dia akan kecewa apabila dua atau tiga percubaannya tidak dapat menghasilkan gol.

“Saya dapat lihat bahawa dia cuba membuktikan sesuatu untuk membantu pasukan,” katanya lagi.

BACA:  Netizen Indonesia Tibai De Paula Kerana Pamer Aksi Keji Ke Atas Rachmat Irianto