Kritik De Paula Tiada Masalah, Tapi Perlu Ke Sampai Menghina?

Tindakan para penyokong Malaysia terlalu menghentam De Paula sepertinya sudah agak keterlaluan dan melebihi batas yang sepatutnya.

Mengkritik itu sudah lumrah dalam bola sepak, seandainya pemain itu tidak memberikan impak seperti yang diharapkan, beliau sudah tentu akan menerima kritikan pedas dari para peminat.

Namun mengkritik dan menghina ia adalah dua perkara yang berbeza dan tak patut disamakan atas pelbagai hal dan tindakan menghina wakil negara adalah satu sikap yang sangat tidak bermoral.

Bagaimana seorang pemain itu mahu mendapatkan rentak persembahan terbaiknya kalau beliau terus berdepan dengan tekanan?

Bagaimana beliau mahu buktikan sesuatu kalau setiap kali beliau beraksi, jutaan penonton memaki hamun sebelum beliau mula sepak bola lagi?

Penurunan dalam prestasi itu sudah lumrah, lihat saja Timo Werner yang sebelum ini merupakan mesin pencetak gol berkualiti tinggi, apa jadi kepada beliau selepas menyertai Chelsea?

Ada peminat atau pundit yang menegaskan De Paula sepatutnya gunakan kritikan yang beliau terima untuk buktikan sesuatu, buktikan beliau layak mewakili Harimau Malaya, bukan makin murung atau terus pamer aksi hambar.

Bagaimana beliau boleh tahan dengan komen-komen netizen yang sampai tahap menghina? Yang mendoakan perkara tidak baik? Itu bukan kritikan, jadi jangan anggap De Paula tak boleh terima kritikan.

De Paula sepatutnya diberikan sokongan moral agar beliau kembali menemui rentak persembahan terbaiknya dan bakal membantu skuad kebangsaan Malaysia untuk menjuarai saingan AFF kali ini.

Di usia 35 tahun beliau masih mahu bermain untuk Malaysia, masih turut serta menjalani latihan, jadi sebenarnya berbaloi untuk beri kerakyatan kepada pemain seperti ini berbanding kepada mereka yang langsung tak mahu menyumbang kepada negara.

Seperti kata legenda bola sepak Malaysia, Shukor Adan yang mahu semua peminat anggap saja ini peluang terakhir untuk De Paula, sokong beliau hingga habis kempen ini.

Seandainya beliau gagal, mungkin Tan Cheng Hoe perlu beri peluang kepada orang lain dan De Paula akan tetap dianggap sebagai penyerang naturalisasi yang gagal.

Namun untuk bersikap adil kepadanya, para peminat perlu memberi sokongan penuh kepada beliau agar beliau dapat membina semula keyakinan untuk harungi kempen AFF kali ini.

Bukan mahu menjilat apa lagi mahu mempertahankan aksi hambar beliau di atas padang, namun tindakan menghina sama sekali tidak membantu.

De Paula memang patut dikritik atas aksi hambar yang beliau persembahkan namun itu bukan tiket untuk para peminat mengecam atau memaki hamun beliau hingga tak menjaga sensitiviti tertentu.

Selepas tamat aksi perlawanan pertama peringkat kumpulan bertemu Kemboja, De Paula teruk dihentam oleh para peminat kerana ada khabar angin yang mengatakan beliau mengamuk menjeling penyokong dan menghempas botol.

Dalam perlawanan tersebut, Malaysia berjaya mencatatkan keputusan 3-1, hasil jaringan daripada Safawi Rasid, Akhyar Rashid dan juga R. Kogileswaran.

Meskipun gembira dengan kemenangan pembuka tirai tersebut, para penyokong mengecam De Paula dek prestasinya di atas padang yang dilihat sangat lemah dan tidak membantu pasukan negara.

Malah dia juga turut dimarahi para penyokong kerana tidak meraikan jaringan kedua Malaysia yang dihasilkan oleh Akhyar Rashid.

Sebaik gol dijaringkan, De Paula dilihat langsung tidak mengangkat tangan bersorak, dan selepas Akhyar berlari ke penjuru padang, pemain berasal dari Brazil ini dilihat sekadar berjalan kaki tanpa rasa teruja langsung.

Tidak terhenti di situ, nama De Paula menjadi trending di laman sosial apabila satu ciapan daripada editor ESPN, Gabe Tan, yang mengatakan bahawa pemain ini bertindak membaling botol air selepas merenung tajam penyokong Malaysia yang berada di stadium.

Ketika sidang media selepas perlawanan, Tan Cheng Hoe telah menjawab tentang pekara ini;

“Saya akan uruskan masalah ini. Dia sudah berikan yang terbaik ketika sesi latihan + dia juga sangat komited. Kadang kala ini hanyalah kekecewaan kerana dia gagal untuk jaringkan gol.

“Saya sangat yakin yang De Paula sudah cukup matang, semoga dia boleh jadi contoh yang baik kepada pasukan.”

Selepas teruk menjadi sasaran, De Paula akhirnya membuka mulut meminta maaf di laman Instagramnya, kepada seluruh penyokong bola sepak Malaysia dan menyatakan bahawa tindakannya itu disalah ertikan oleh kebanyakan pihak.

“Sejak hari pertama saya bermain bersama skuad kebangsaan, saya amat menghargai dan menghormati setiap harapan anda terhadap saya. Penghormatan itu amat menggalakkan, terima kasih.

“Namun insiden semalam disalah ertikan segelintir pihak dan ia sekali gus menjadikan perkara itu lebih buruk.

“Saya sentiasa menghormati jurulatih dan rakan sepasukan. Sejujurnya saya kecewa sedangkan saya sudah memberikan 100 peratus yang terbaik di atas padang. Cuma kadang kala saya merasakan saya boleh buat lebih baik daripada itu,”

Katanya, seperti yang diterbitkan oleh Harian Metro.

Selain itu, De Paula tetap yakin bahawa dia dan rakan sepasukan yang lain akan terus memberikan yang terbaik dan berusaha untuk memperbaiki permainannya dalam perlawanan berikutnya nanti.

“Terus maju ke hadapan. Saya akan bekerja keras dan perbaiki diri sendiri dalam pasukan. Kita dahagakan kemenangan dan kita akan berjuang bersama untuk Malaysia,”

Ujarnya.

Walaubagaimanapun, ketika admin The Sukan cuba melihat hantaran tersebut di akaun Instagram De Paula, didapati bahawa dia telah menyahaktifkan akaunnya lantas membuatkan admin terus menekan like di gambar-gambar lain yang boleh dikategorikan sebagai menarik.

BACA:  De Paula Menjadi Sasaran Warganet, Trending di Laman Sosial