Sikap Terpuji Penyokong Negara Yang Tak Henti-henti Jerit Nama De Paula

Walau ramai yang mempertikaikan keputusan Kim Pan-gon menyenaraikan nama De Paula dalam senarai skuad Harimau Malaya kali ini, namun harus diakui yang ramai juga sebenarnya yang telah memberikan sokongan padu kepada pemain naturalisasi negara itu.

Tiada siapa sangka dan menduga yang De Paula akan mendapat sokongan luar biasa dari para peminat bola sepak tempatan ketika aksi bertemu Brunei malam semalam.

Skuad Harimau Malaya turun bertemu Brunei dalam aksi perlawanan persahabatan Tier 1 di Stadium Nasional Bukit Jalil malam semalam, dengan skuad kendalian Kim Pan-gon itu berjaya mencatatkan kemenangan selesa 4-0 menewaskan lawan.

Syafiq Ahmad, Syamer Kutty Abba, Faisal Halim dan pemain kesayangan ramai, Guilherme De Paula Lucrecio berjaya mencatat nama sebagai penjaring gol dalam perlawanan ini.

Sikap terpuji penyokong Malaysia beri sokongan padu kepada De Paula

Untuk peminat yang hadir ke stadium semalam, sudah tentu mereka sedar tentang bagaimana padunya sokongan dari para penyokong untuk pemain penyerang handalan negara kita, De Paula.

Cukup sekadar De Paula bergerak sahaja, seluruh stadium bersorak riang seolah-olah meraikan gol ketika aksi dalam perlawanan terbesar negara.

De Paula tidak diturunkan dalam kesebelasan utama negara, dengan beliau hanya mula dimasukkan pada aksi babak kedua permainan sahaja.

Ketika Syafiq Ahmad dikasari pada aksi babak pertama, Kim Pan-gon sepertinya telah mengarahkan De Paula untuk pergi memanaskan badan.

Ketika De Paula baru sahaja bangun, seluruh stadium bersorak kegembiraan seolah-olah melihat seorang perwira yang baru pulang dari medan perjuangan untuk mempertahankan negara.

Tidak terhenti di situ, ketika De Paula baru masuk pada aksi babak kedua, sentuhan pertama bintang kelahiran Brazil itu disambut dengan penuh meriah oleh para penyokong.

Setiap kali De Paula menyentuh bola, para peminat akan bersorak tanpa henti dan ultras Malaya juga turut memainkan peranan penting dengan mereka turut bersorak untuk penyerang sensasi negara itu.

Belum ada mana-mana pemain yang dapat sokongan sebegini padu dari penyokong dan De Paula jelas sekali sangat beruntung kerana seluruh negara menyayangi beliau.

Nama beliau juga turut disebut beberapa kali dek kerana para peminat mahu melihat beliau menjaringkan gol.

De Paula turut memiliki beberapa kesempatan emas mahu menjaringkan gol dalam perlawanan ini namun sayangnya beliau gagal untuk memanfaatkan kesempatan tersebut.

Ketika Akhyar Rashid dijatuhkan di dalam kotak penalti, para penyokong tidak henti-henti menjerit nama De Paula dengan harapan agar beliau akan tampil menyempurnakan sepakan penalti itu.

Safawi Rasid turut menunjukkan sikap terpuji dengan beliau memberikan peluang kepada De Paula untuk tampil menyempurnakan sepakan penalti itu.

De Paula tenang mengambil sepakan penalti yang sungguh dasyat untuk menewaskan penjaga gol Brunei, seterusnya meledak gol keempat negara dalam perlawanan ini.

Beliau turut tidak berlebih-lebihan ketika meraikan gol itu dengan De Paula hanya berdiri di tepi gol lawan sambil meraikan golnya dengan sungguh merendah diri.

Sikap para penyokong yang tak henti-henti memberi sokongan kepada De Paula berhak untuk dipuji kerana cara mereka jelas sekali boleh menaikkan semangat pemain.

Walau apa pun kritikan yang dilemparkan kepada De Paula, ternyata masih ramai yang menyayangi beliau dan mahukan beliau untuk terus berikan yang terbaik.

Semoga saja beliau akan jaringkan lebih banyak gol untuk skuad negara selepas ini, kerana para penyokong benar-benar berharap pada kehebatan beliau.

Sumber gambar: FAM

BACA:Β  Bengang Akhyar Tak Passing Punca De Paula Merajuk Tak Nak Raikan Gol?