Kehilangan Darren Lok Punca Malaysia Hilang Penguasaan Bola

Kehilangan Darren Lok pada minit ke-60 permainan jelas sekali menjadi punca mengapa jentera serangan Malaysia mati kutu dan pemain Bahrain mula mendominasi permainan.

Skuad kebangsaan Malaysia turun bertemu Bahrain dalam aksi perlawanan kedua peringkat kumpulan E saingan kelayakan Piala Asia 2023.

Malaysia terpaksa akur tewas 2-1 di tangan Bahrain walau mereka sebenarnya sangat berpotensi untuk setidak-tidaknya pulang dengan bekalan satu mata dari perlawanan ini.

Dugaan untuk para pemain kedua-dua pasukan selepas mereka terpaksa beraksi di atas padang yang sangat teruk dan mendukacitakan.

Sepanjang aksi 45 minit pertama permainan, skuad Malaysia jelas sekali sangat dominan dalam perlawanan ini dan turut beberapa kali memiliki kesempatan untuk memperoleh gol awal.

Kim Pan-gon sebenarnya telah membuat lima pertukaran dari kesebelasan utamanya dalam perlawanan ini berbanding ketika aksi bertemu Turkmenistan sebelum ini.

Pan-gon, membuat pertukaran di bahagian tengah dengan menurunkan Akhyar Rasyid dan Mohamadou Sumareh sementara di posisi pertahanan tengah pula beliau mempertaruhkan Khuzaimi Piee dan Junior Eldstal.

Para pemain bermain dengan sangat cemerlang dan dominan pada aksi babak pertama dan satu hal yang pasti, ia berpunca dari corak permainan aggresif yang ditunjukkan oleh Darren Lok.

Darren Lok tidak henti-henti melakukan pressing dan beliau memainkan peranan sebagai defensive striker dengan sangat menakjubkan.

Walau bagaimanapun, semuanya berubah pada minit ke-60 permainan, selepas Kim Pan-gon membuat tiga pertukaran pemain yang menyebabkan Bahrain mula mendapat rentak.

Tiga pertukaran serentak dilakukan oleh Kim Pan-gon dengan mengeluarkan Mohamadou Sumareh, Nazmi Faiz Mansor dan Darren Lok, seterusnya memasukkan Arif Aiman, Safiq Rahim dan pemain kesayangan ramai, Guilherme De Paula.

Kemasukkan De Paula jelas sekali langsung tidak membantu dengan beliau sekadar berlari tanpa arah tuju di atas padang.

Pemain naturalisasi dari Brazil itu juga langsung tidak melakukan pressing dan beliau sekadar berlari-lari anak sambil mencari ruang untuk melancarkan serangan.

Barisan pertahanan dan midfield Bahrain jelas sekali mampu menarik nafas lega ketika melihat aksi De Paula seperti itu dengan mereka sebelum itu bergelut untuk berdepan Darren Lok.

Kerana itulah ramai peminat yang percaya, kehilangan khidmat Darren Lok di atas padang merupakan punca utama mengapa skuad Malaysia nampak longlai.

Tiada pemain lain di atas padang yang mampu melakukan pressing seperti mana yang dilakukan oleh Darren Lok sepanjang perlawanan ini.

Agak malang untuk kem Malaysia, selepas pemain terbaik mereka itu terpaksa dikeluarkan dan tempatnya pula digantikan oleh pemain seperti De Paula.

Impak yang ditinggalkan oleh De Paula dalam perlawanan ini jelas sekali sangat teruk dan tidak hairanlah mengapa beliau terlalu teruk dihentam oleh para peminat.

Umpama mengeluarkan kereta Ferrari dan digantikan dengan kereta sorong, itulah perumpamaan paling mudah untuk menggambarkan tentang keputusan Pan-gon memasukkan De Paula dan mengeluarkan Darren Lok.

Dek kerana tiada pemain yang akan berlari tak henti mengejar bola seperti Darren Lok, maka ia jelas sekali memudahkan tugas para pemain Bahrain untuk kuasai permainan.

Semoga saja Kim Pan-gon akan menilai dan menganalisis semula aksi perlawanan pada malam semalam dan mengelak dari melakukan kesilapan yang sama.

Tidak pasti apa yang beliau lihat ada pada De Paula, namun satu hal yang pasti, pemain naturalisasi itu langsung tidak memberikan impak ketika diturunkan semalam dan kehadiran beliau di atas padang sekadar membantu pasukan lawan menguasai bola.

BACA:Β  De Paula Sedih Tindakannya Disalah Erti Penyokong