De Paula Menjadi Sasaran Warganet, Trending di Laman Sosial

Malaysia membuka kempen Piala AFF 2020 dengan langkah kanan apabila berjaya menewaskan Kemboja 3-1, hasil jaringan Safawi Rasid, Akhyar Rashid dan juga R. Kogileswaran.

Cabaran pasukan Kemboja sememangnya tidak boleh dipandang enteng oleh pasukan Malaysia, dengan pasukan tersebut dikendalikan oleh legenda bola sepak Jepun, Keisuke Honda, selain pemain utama mereka, Chan Vatanaka pernah beraksi dalam Liga Malaysia.

Dari segi kesebelasan utama, ketua jurulatih, Tan Cheng Hoe, telah menurunkan penjaga gol yang menjulang Piala AFF 2010, Khairul Fahmi Che Mat, yang dibantu oleh lima pertahanan, Aidil Zafuan selaku kapten, Shahrul Saad, Syahmi Safari, Rizal Ghazali dan juga Junioir Eldstal.

Barisan tengah diperkuatkan oleh Baddrol Bakhtiar, Syafiq Ahmad, Safawi Rasid dan juga Akhyar Rashid dan mereka ditugaskan untuk membantu penyerang tunggal, Guilherme De Paula, yang masih diberikan kepercayaan oleh Tan Cheng Hoe untuk merobek gol lawan meskipun kerap hilang dalam perlawanan-perlawanan sebelum ini.

Pada usia 35 tahun, ini boleh dikatakan peluang terakhir Guilherme De Paula untuk dia membuktikan bahawa dirinya layak untuk menyarung jersi Harimau Malaya.

Tepat jam lima tiga puluh petang, Kemboja dan Malaysia merasmikan perlawanan pembukaan kumpulan B yang turut dihuni oleh Indonesia, Vietnam dan Laos.

Syafiq Ahmad terlebih dahulu mencuba dengan satu tandukan yang berpunca dari sepakan percuma dan Harimau Malaya datang lagi untuk sepakan penjuru pula.

Minit ke-4 menyaksikan aksi keras sudah mula ditunjukkan oleh Kemboja apabila pemain mereka mengasari Akhyar Rashid untuk  membolehkan Malaysia mendapat sepakan percuma kedua.

ATidak lama kemudian, Kemboja datang menyerang dan telah menyebabkan pertahanan Malaysia kelam-kabut dan Kemboja mendapat sepakan penjuru pertama.

Rembatan jauh leret Safawi Rasid telah memaksa penjaga gol Kemboja, Keo Soksela melayangkan badan.

Pemain yang dituduh sebagai pemain pilihan netizen itu telah melakukan satu percubaan bahaya dengan satu acahan badan yang memukau.

Malaysia membuka jaringan pada minit ke-23 apabila dihadiahkan sepakan penalti selepas Akhyar Rashid dikasari pertahanan Kemboja. Safawi Rasid yang ditugaskan untuk mengambil sepakan tersebut, tidak lagi cuba melakukan sepakan Panenka di mana dia dengan tenang melepaskan rembatan ke sebelah kiri gol lawan.

Pasukan negara menggandakan kedudukan pada separuh masa kedua menerusi satu gerakan serangan balas yang pantas di mana Syafiq Ahmad telah menghantar bola ke seberang padang kepada Akhyar.

Akhyar sempat memperdayakan dua pertahanan Kemboja sebelum melepaskan rembatan leret ke dalam gol lawan. Kogi melengkapkan gol kemenangan pasukan Malaysia apabila dia menyudahkan satu lagi serangan balas dan kali ini dimulakan oleh Rizal Ghazali, yang membawa bola masuk ke kawasan Kemboja.

Rizal kemudiannya menolak bola kepada Luqman Hakim, yang kemudiannya melakukan cut-back kepada Kogileswaran. Tanpa ditekan atau dicabar oleh pemain lawan, Kogi melakukan placing tepat ke sebelah kanan gol Kemboja.

Kontroversi tercetus di hujung perlawanan apabila, pengadil perlawanan telah menghadiahkan sepakan penalti kepada Kemboja.

Khairul Fahmi Che Mat yang berjaya menangkap kemas bola pada awalnya, telah dituduh melakukan kekasaran ke atas pemain Kemboja, meskipun bola sudahpun berada kemas di dalam dakapan penjaga gol negara itu.

Kad kuning untuk Khairul Fahmi Che Mat dan Kemboja menjaringkan gol saguhati dari sepakan penalti melalui Sath Rosib.

Walaubagaimanapun, penyerang ‘import’ Malaysia, De Paula, tetap menjadi perhatian para warga netizen meskipun dia tidak menjaringkan gol.

Pertama, De Paula dituduh sentap oleh penyokong Malaysia kerana dia dilihat tidak bersungguh meraikan jaringan Akhyar Rashid pada separuh masa kedua.

Sebaik gol dijaringkan, De Paula dilihat langsung tidak mengangkat tangan bersorak, dan selepas Akhyar berlari ke penjuru padang, pemain berasal dari Brazil ini dilihat sekadar berjalan kaki tanpa rasa teruja langsung.

Sebaik melihat aksi lesu tersebut, warganet dengan pantas memuatnaik ciapan mengutarakan pendapat masing-masing.

Selain ‘enggan’ meraikan gol tersebut, De Paula turut menjadi bahan sembang orang awam di atas talian gara-gara tularnya satu ciapan editor laman sukan berbahasa Inggeris, yang mengatakan terdapat sedikit konflik telah berlaku sebaik sahaja pemain ini dikeluarkan.

Semestinya ciapan seperti ini akan membawa kepada jawapan daripada penyokong bola sepak Malaysia.

Selain daripada dua isu tersebut, nama De Paula menjadi trending di Twitter di atas sebab-sebab lain. Dalam tempoh satu jam selepas aksi Malaysia menentang Kemboja, Twitter melaporkan bahawa ciapan yang mempunyai kandungan atau nama De Paula di Malaysia adalah lebih daripada 14 ribu!

Berikut adalah antara ciapan yang sopan dan lulus lembaga penapisan akhlak The Sukan.

Kalau ikutkan, ada banyak lagi ciapan tentang De Paula ni. Korang nak baca korang search lah sendiri.

Apapun, semoga De Paula mampu meningkatkan prestasi dan buktikan bahawa dia bukanlah seorang penumpang di dalam pasukan Malaysia.

De Paula di Manchester United dah berjaya menjadi kesayangan penyokong, De Paula Malaysia bila lagi?

BACA:  Bengang Akhyar Tak Passing Punca De Paula Merajuk Tak Nak Raikan Gol?