Bengang Lihat Salah Dizalimi, Elliott Tolak Tawaran Untuk Bertemu Sergio Ramos

Harvey Elliott menolak kesempatan untuk bertemu Sergio Ramos ketika Real Madrid berusaha mahu menandatangani beliau kerana mengenangkan apa yang dilakukan oleh bintang Sepanyol itu ke atas Mo Salah.

Elliott telah dipantau oleh banyak kelab di Eropah sebelum beliau akhirnya memilih untuk sertai Liverpool pada tahun 2019 yang lalu.

Real Madrid sebelum ini sangat berminat mahu menandatangani bintang muda England itu dan turut telah membawa beliau masuk ke Santiago Bernabeu.

Elliott turut di bawa bersiar-siar dan menjelajah seluruh stadium dalam usaha Real Madrid mahu menarik minatnya untuk sertai mereka.

Mereka bahkan turut membentangkan karpet merah dan mengatur pertemuan antara Elliott dengan bekas ketua pasukan Real Madrid, Sergio Ramos.

Walau bagaimanapun, Elliott pada ketika itu menolak tawaran dari Real Madrid kerana beliau tidak berminat sama sekali untuk bertemu Sergio Ramos.

Beliau terkesan dengan tindakan Ramos yang mengasari Mohamed Salah ketika aksi perlawanan akhir saingan Champions League pada tahun 2018.

“Ada sesi jelajah di Bernabeu dan padang latihan mereka kerana mereka cuba meyakinkan pemain muda yang beraksi dalam saingan Premier League untuk beraksi di Sepanyol.”

Menurut kenyataan yang disiarkan semula oleh The Athletic.

“Ketika mereka sampai ke bahagian jersi Sergio Ramos, ia tergantung di dinding, pegawai dari Real tawarkan macam-macam termasuk mahu mengatur pertemuan antara kami dengan ketua pasukan paling lama kelab.”

“Tidak, saya tak kisah, terima kasih, saya tak suka dia selepas apa dia lakukan ke atas Mo Salah.”

Jelas sekali Mo Salah sampai menangis terpaksa keluar meninggalkan padang kerana mengalami kecederaan bahu selepas dikasari oleh Sergio Ramos.

Elliott tidak lama selepas itu memilih untuk menandatangani kontrak bersama Liverpool dengan yuran perpindahan yang tidak didedahkan.

Beliau turut mengesahkan yang Mo Salah merupakan antara pengaruh mengapa beliau ke Anfield dan beliau turut mengidolakan bintang Mesir itu.

“King, itu lah apa saya boleh katakan.”

Jelas Elliott kepada Liverpool Echo.

“Hanya kerana gaya permainan dia dan siapa dia di dalam mahupun luar padang. Diri saya sendiri banyak mengikuti dia di posisi saya, saya sangat-sangat mengidolakan dia.”

“Untuk turun berdepan dia ketika sesi latihan, saya banyak belajar dari dia. Bahkan di gym juga, dia selalu suruh saya angkat beban lagi berat, paksa diri saya lagi. Untuk dapat dia di sini dan di sekeliling kami pemain muda, dia memang bawa pengaruh yang besar.”

Elliott sepanjang musim ini telah membuat 12 penampilan bersama skuad Liverpool dan beliau turut berjaya menjaringkan satu gol sepanjang tempoh tersebut.

Beliau menderita kecederaan yant agak parah ketika aksi bertemu Leeds United pada September lalu dan ia menyebabkan beliau terpaksa diketepikan selama hampir tiga bulan.

Ramos sementara itu kini sudah beraksi bersama Paris Saint Germain dan tidak akan membuat sebarang penampilan ketika aksi di pentas perlawanan akhir saingan Champions League musim ini.

Liverpool akan turun bertemu Real Madrid dalam aksi perlawanan akhir saingan Champions League, dan Mo Salah sendiri menganggap ia sebagai misi membalas dendam.

Real Madrid sudah mengesahkan gelaran liga mereka musim ini dan tentunya Carlo Ancelotti mahu mengakhiri saingan musim ini dengan menjulang gelaran Champions League.

Jurgen Klopp sementara itu terlepas kesempatan untuk menjulang gelaran Premier League selepas Manchester City berjaya melakukan comeback cukup dramatik bertemu Aston Villa minggu lalu.

Liverpool memburu gelaran quadruple selepas berjaya memenangi dua Piala sebelum ini, namun kerana gagal memenangi gelaran liga, maka mereka kini memburu gelaran treble dan mahu menjulang gelaran Champions League.

Sumber: SPORTbible

BACA:  Gegaran Kepala Punca Karius Lakukan Kesilapan Di Final UCL