Bengang Semua Pemain Sasaran Kena Kebas, Spurs Putuskan Untuk Beli Pemain Non-League

Tottenham Hotspur telah membida salah seorang pemain dari non-league selepas usaha mereka untuk mendapatkan pemain seperti Adama Traore, Luis Diaz dan Franck Kessie berakhir dengan kegagalan.

Apa yang menariknya bidaan mereka untuk mendapatkan pemain tersebut telah diterima dan mereka sedang dalam usaha untuk melengkapkan penandatanganan tersebut.

Spurs sebelum ini mengintai peluang untuk menandatangani Adama Traore, Luis Diaz dan Franck Kessie namun usaha mereka untuk mendapatkan pemain tersebut gagal.

Ketiga-tiga pemain tersebut sepertinya tidak berminat sama sekali untuk melengkapkan perpindahan menyertai Tottenham Hotspur.

​Traore memutuskan untuk kembali ke Barcelona, sementara Luis Diaz pula berkemungkinan besar akan melengkapkan perpindahannya ke Anfield.

Franck Kessie pula beliau pada ketika ini memutuskan untuk kekal di Itali bersama AC Milan dan menolak tawaran dari Tottenham Hotspur.

Melihat kesemua pemain sasaran mereka memutuskan untuk menolak tawaran dari mereka, maka Antonio Conte memutuskan untuk mencari pemain lain untuk ditandatangani sebelum jendela perpindahan Januari ditutup.

Menurut sumber laporan dari The Athletic, Tottenham Hotspur kini sedang dalam usaha mereka untuk menandatangani Ollie Tanner dari salah sebuah kelab yang beraksi di liga bawahan di England, Lewes.

Laporan sama turut mendakwa yang gergasi Premier League itu telah menghantar bidaan rasmi untuk mendapatkan pemain berusia 19 tahun itu, dengan Lewes sendiri turut sudah bersetuju untuk menerima tawaran dari Spurs.

Ia merupakan bidaan enam angka dengan rundingan tersebut turut akan dimasukkan klausa pembelian khas.

Mereka juga sebenarnya berjaya menewaskan Brighton dalam perebutan untuk mendapatkan Tanner dengan beberapa pasukan dari saingan Championship turut sama mencuba nasib.

Tottenham Hotspur ada ketika ini berada di kedudukan ketujuh dalam carta saingan Premier League, dengan mereka merupakan calon kegemaran untuk menamatkan saingan liga di kelompok empat teratas.

Skuad kendalian Antonio Conte itu hanya dua mata sahaja dibelakang Manchester United yang sedang berada di kedudukan keempat, dengan mereka turut ada kelebihan dua perlawanan yang masih belum dimainkan.

Tottenham Hotspur sebelum ini dibelenggu masalah ketiadaan pemain yang disahkan positif C0V-19 dan kerana itu mereka ada baki perlawanan yang belum dimainkan.

Antonio Conte sangat berharap agar beliau akan mampu untuk memperkuat skuad sedia ada dalam usaha untuk mencabar tempat di kedudukan empat teratas dalam saingan Premier League.

Pengurus dari Itali itu mungkin kehilangan pemain sasaran utamanya, namun mungkin beliau akan mampu menjadikan Tanner sebagai bintang satu hari nanti.

Liverpool sailang Tottenham Hotspur untuk dapatkan Luis Diaz

Luis Diaz pada ketika ini semakin hangat dikaitkan dengan bakal menandatangani perjanjian bersama Liverpool.

Beliau dilaporkan hanya mahu menyertai Liverpool sahaja walau ada beberapa kelab lain yang turut berusaha mendapatkan khidmatnya.

Menurut sumber laporan dari Sky Sports, Liverpool pada ketika ini sedang berada dalam situasi terbaik untuk menandatangani bintang Porto itu.

The Reds membuat tawaran bernilai £45 juta untuk mendapatkan pemain sayap Colombia itu, secara tak langsung menyingkirkan persaingan dari Tottenham Hotspur yang terlebih dahulu menghantar bidaan.

Diaz dilaporkan lebih berminat untuk ke Anfield berbanding menyertai Tottenham Hotspur, dengan gergasi Merseyside itu turut sudah menghantar wakil ke Argentina untuk melengkapkan penandatanganan bintang Colombia itu.

Jika tiada masalah, Luis Diaz bakal diumumkan sebagai pemain Liverpool dalam tempoh satu ke dua hari ini sebelum jendela perpindahan Januari ditutup.

Sumber: SPORTbible

BACA:  Arsenal Terlalu Unggul Tidak Mampu Digugat Spurs