Benitez Dakwa Ada Sumber Dalaman Dan Sebab Sebenar Klopp Tinggalkan Liverpool Secara Mengejut

Rafa Benitez mendakwa dirinya mempunyai maklumat dalaman dari Anfield yang mendorong Jurgen Klopp melakukan pengumuman mengejutkan untuk meninggalkan Liverpool pada penghujung musim ini.

Pengurus Liverpool itu mengejutkan dunia bola sepak pada Jumaat lalu apabila mengumumkan musim ini akan menjadi musim terakhir beliau bersama Liverpool seleps sembilan musim bersama.

Tidak ada sesiapa menjangkakan pengumuman mengejutkan itu, apatah lagi Klopp mempunyai baki kontrak selama dua tahun bersama kelab Merseyside itu.

Pengurus berusia 56 tahun itu memberi alasan dia sudah kehabisan tenaga sehingga mendorong dirinya berbuat demikian dan turut memberi gambaran tidak akan terlibat di dalam bola sepak selepas ini.

Turut pernah meninggalkan Borussia Dortmund selepas tujuh musim atas alasan yang sama, keputusannya meninggalkan Liverpool pula dianggap mengejutkan dan tidak disangka sama sekali.

Liverpool masih dalam pemburuan untuk memenangu semua empat trofi yang dipertandingkan pada musim ini, dan kejayaan Klopp membina pasukan baharu pada musim panas lalu dengan deretan pemain tengah baharu dan pemain muda dilihat sebagai era baharu The Reds di bawah kendalian jurulatih dari Jerman itu.

Dan Benitez yang pernah menjuarai trofi Champions League dan Piala FA sepanjang enam musim mengendalikan Liverpol mendakwa keputusan Klopp meninggalkan Liverpool tidak mengejutkan dirinya.

“Saya mempunyai kelebihan, kerana saya mempunyai orang dikenali di Liverpool dan mereka yang berada di dalam kelab,” kata jurulatih dari Sepanyol itu.

“Jadi sedikit sebanyak saya tahu apa yang berlaku sebenarnya. Saya tahu perkara dalaman lain yang tidak diketahui umum, dan ia perkara yang mempunyai merit.

“Dia [Klopp] sudah memaklumkan [keputusannya], memberikan masa kepada kelab untuk bersedia. Daripada perspektif lain, itu tindakan terpaling Jerman. Mereka memang sudah biasa memberi makluman lebih awal.

“Jadi ia berita mengejutkan.”

Benitez bagaimanapun enggan mendedahkan perkara yang diketahuinya yang menjadi punca Klopp melepaskan peranannya bersama Liverpool.

“Saya hanya ada perkara positif untuk dikatakan mengenai Klopp kerana dia adalah sahabat saya dan kami mempunyai hubungan yang baik.

“Dia telah melakukan dan melaksanakan kerja yang sangat bagus. Saya cuma akan mengatakan perkara yang positif mengenai Klopp dan Liverpool,” kata Benitez lagi.

Sepanjang bersama Liverpool, Klopp telah menjuarai Premier League, Champions league dan Piala Carabao.

BACA:  Leicester City Sedekah Dua Gol Untuk Tiga Mata Penuh Buat Liverpool