Benitez Ramal Chelsea Bakal Jadi Pencabar Utama Liga Musim Ini

Pengurus Newcastle, Rafael Benitez meletakkan Chelsea sebagai pasukan yang mampu memberi cabaran serius dalam prebutan takhta kejuaraan Liga Perdana Inggeris musim ini.

Benitez juga meramalkan persaingan untuk bergelar juara liga musim ini bakal melibatkan 3 pasukan iaitu Manchester City, Liverpool dan Chelsea.

Benitez percaya Chelsea mampu beri cabaran serius musim ini

Benitez pernah menguruskan Chelsea selama 6 bulan sebagai pengendali sementara selepas Roman Abramovic memecat Roberto Di Matteo pada pertengahan musim 2012-2013. Walaupun tidak berapa popular di kalangan peminat Chelsea berikutan sejarah beliau dengan Liverpool, Benitez berjaya membawa Chelsea memenangi Europa League dan menamatkan musim di kedudukan ke-3 liga pada musim tersebut.

Untuk saingan Liga Perdana Inggeris musim 2018-2019, Benitez yakin Chelsea akan kembali menjadi pencabar utama selepas semusim menyepi di bawah kendalian bekas jurulatih Napoli, Maurizio Sarri.

Ketika bercakap kepada Sky Sports menjelang pertemuan Newcastle menentang Chelsea hujung minggu ini, Benitez percaya Chelsea mempunyai peluang untuk memenangi liga.

“Saya rasa Chelsea ada peluang untuk menjuarai liga. Buat masa sekarang, ada 3 pasukan yang anda boleh letakkan berada sedikit ke hadapan berbanding pasukan lain iaitu Chelsea, Liverpool dan Manchester City. Ia kerana tahap dan persembahan pasukan tersebut musim lalu dan duit yang telah dibelanjakan sebelum ini.”

Chelsea di bawah Sarri mampu beri cabaran kepada City dan Liverpool

“Bagi Manchester United, Tottenham dan Arsenal pula, mereka perlu kembali ke jalan asal, iaitu menggunakan cara yang mereka biasa lakukan dengan baik. Pasukan ini juga mempunyai kualiti yang baik dalam skuad mereka dan mereka mampu bersaing.”

“Tetapi jika saya perlu memilih 3 pasukan, saya akan pilih Chelsea, Manchester City dan Liverpool. Mereka mempunyai kualiti yang mencukupi untuk beraksi dengan baik.”

Menjelang kunjungan Chelsea ke St. James Park malam esok, Benitez sedar dengan kemampuan Sarri dalam menguruskan pasukan. Sarri merupakan pengurus yang dilantik Presiden Napoli, Aurelio De Laurentiis untuk menggantikan tempat Benitez dan berjaya memacu Napoli berada dalam kelompok 3 terbaik di Serie A untuk 3 musim berturut-turut.

“Kami lakukan apa yang kami perlu lakukan. Sarri melakukan kerjanya dengan sangat baik, bermain bola sepak yang cantik, dan Napoli mempunyai kelompok pemain yang sangat bagus.”

6 bulan sudah mencukupi untuk Benitez memenangi trofi Europa League bersama Chelsea.

“Napoli di bawah saya merupakan pasukan yang suka menyerang dan bermain dengan sangat baik. Sarri menerima kelompok pemain ini dan beliau terus bekerjasama dengan para pemain.”

Newcastle menamatkan kempen Liga Perdana Inggeris musim lalu dengan kemenangan 3-0 ke atas Chelsea, sekali gus mengesahkan kedudukan Newcastle dalam kelompok 10 teratas. Berikutan jendela perpindahan musim panas yang mengecewakan, Benitez sedar beliau berdepan tugas yang sukar untuk mengulangi pencapian yang sama musim ini.

“Kami menamatkan musim di kedudukan ke-10, tetapi kami juga boleh berada di tempat ke-15 atau 17. Satu perlawanan mampu mengubah banyak perkara.”

BACA:  Hantar Gambar Punai Kepada Akak Korea, Chelsea Pecat Pegawai Hanya Selepas 3 Minggu Bekerja