Bermula Tengah Malam Ini, Leo Messi Adalah Ejen Bebas dan Bukan Lagi Pemain Barcelona

Pemain terbaik dunia, Leo Messi, secara rasminya akan bergelar pemain bebas, dan bukan lagi pemain Barcelona – sekurang-kurang di atas kertas – di mana kontraknya bersama kelab Catalan tersebut tamat pada 30 Jun 2021.

Penyerang Argentina tersebut difahamkan masih belum mencapai kata sepakat dengan Barcelona tentang kontrak barunya dan sehingga kini masih samar adakah pemain ini akan kekal di Barcelona atau berhijrah ke kelab lain.

Sejak Joan Laporta kembali memegang jawatan sebagai presiden Barcelona pada bulan Mac lalu, sasaran utamanya adalah membuatkan Messi menandatangani kontrak baru, tetapi penjaring terbanyak kelab sepanjang zaman itu masih belum berbuat apa-apa lagi tentang masa depannya.

Sebelum ini, Messi dikatakan telah bersedia untuk meninggalkan bumi Catalan pada musim panas tahun lalu, di mana dia telah menghantar permohonan perpindahan kepada presiden kelab ketika itu, Josep Maria Bartomeu menerusi mesin burofax, tetapi Blaugrana enggan melepaskannya dan menegaskan hanya akan membenarkan perpindahan jika ada kelab yang sudi membayar yuran perpindahan bernilai €700 juta (RM3.5 billion), meskipun kontraknya hanya berbaki 12 bulan.

Selepas kembali memegang tampuk presiden kelab, Laporta sedar tentang permasalahan ini dan cuba untuk memperbaiki keadaan. Jadi sepanjang pilihanraya kelab dia menjadikan Messi sebagai modal kempen dan mengatakan bahawa Messi yakin dengan dirinya kerana dia adalah seorang yang tidak sembang kosong dengan bintang Argentina tersebut ketika menjadi presiden buat kali pertama.

Walaubagaimanapun, empat bulan sudah berlalu sejak Laporta menjadi presiden dan setakat ini masih tiada apa-apa persetujuan antara kelab dan wakil Messi.

Kalau nak ikutkan, Laporta mempunyai hubungan yang baik dengan Messi dan ayahnya – yang sering berkomunikasi dengannya – tetapi dalam bab kontrak baru ini, masih ada beberapa perkara yang belum dapat diselesaikan.

Pertelingkahan ini mungkin akan dapat diselesaikan dalam masa beberapa hari lagi, atau mungkin lebih lama, tetapi Laporta sudah terang lagi bersuluh mahukan penyelsaian segera demi mengelakkan Messi menjadi ejen bebas, walaupun sekadar untuk beberapa hari.

Antara sebab utama Laporta tidak mahu memanjangkan isu dengan Messi adalah kerana ia melibatkan kontrak penajaan.

Setakat ini, terdapat beberapa syarikat yang ingin melabur kepada Barcelona kerana batang tubuh Messi – pemain terbaik dunia.

Tanpa Messi di kelab, jumlah pendapatan Barcelona pada musim akan datang dijangka akan terjejas teruk, sekaligus menambah cuka ke luka yang dalam kepada kelab tersebut di musim-musim gawat seperti sekarang ini.

Tambahan pula, hutang Barcelona dikatakan telah mencecah nilai €1 billion!

Ada kemungkinan Laporta akan cuba untuk selesaikan semua perkara ini dan mencapai kata sepakat dengan Messi menjelang tengah malam 30 Jun, tetapi sumber The Sukan di Sepanyol yang ada bau-bau bacang dalam perbincangan antara dua pihak tersebut megatakan bahawa mustahil sangat kalau kelab dan pemain itu mampu menemukan persetujuan bersama dalam masa beberapa jam, melainkan salah satu pihak mengendur dan mengalah daripada permintaan masing-masing.

Dikhabarkan, antara syarat Messi sebelum menurunkan tandatangan termahal di dunia bola sepak itu adalah dia mahukan Barcelona mempunyai skuad yang kompetitif dan mampu mencabar kejuaraan Eropah, selepas kali terakhir melakukannya pada tahun 2015 ketika mereka menewaskan Juventus di perlawanan akhir.

Sejak musim tersebut, seteru utama Barcelona, Real Madrid telah menggondol piala teragung bola sepak kelab di benua tersebut sebanyak empat kali, dengan pasukan yang diwakili Messi hanya menjadi jaguh kampung di La Liga.

Tambahan pula, kelab tersebut juga dikritik hebat kerana berbelanja mengikut nafsu serakah ketika membeli pemain picisan dan gagal melonjakkan kelab seperti Ousmane Dembele, Philippe Coutinho dan juga Antoine Griezmann, tanpa memikirkan rancangan jangka masa panjang kelab.

Jadi untuk musim baharu ini, Messi mahukan kedatangan seorang pemain yang ‘cerdik’ dan seorang pemain bintang – Erling Haaland.

Pada masa yang sama, Messi juga mahukan kelab memberikan lebih tumpuan kepada pembangunan belia dan menaikkan pemain dari akademi La Masia. Kejuaran UCL terakhir mereka pada 2011 adalah kemuncak kepada generasi produk La Masia, namun selepas itu sukar untuk melihat pemain kelahiran akademi tersohor tersebut yang betul-betul cemerlang pada tahap Barcelona yang sebenar.

Terakhir, pemenang Ballon d’Or enam kali ini mahukan kuasa yang lebih besar dalam berhubung dengan jurulatih, Ronald Koeman dan juga pembesar di Barcelona. Dia dikatakan tidak berapa rapat dengan Luis Enrique dan Quique Setien – yang dilihat sukar untuk didekati, dan mempunyai hubungan yang lebih terbuka dengan Koeman.

Andai kedua-dua pihak gagal mencapai kata sepakat, kita akan melihat buat kali pertama dalam sejarah peradaban bola sepak dunia Messi memakai jersi pasukan lain di pentas domestik. Dengan gaji yang nilai €500,000 seminggu, hanya beberapa kelab sahaja di dalam dunia ini yang mampu membayarnya – Manchester City, Manchester United, Chelsea dan Paris Saint Germain.

Sumber : Marca, 90min

BACA:  Dana Untuk Memulakan Kembali Misi Pencarian Emiliano Sala Hampir Capai Sasaran