Bruno Fernandes Mengusik Peminat Yang Kaptenkan Salah Dalam ‘FPL’

Salah seorang peminat bola sepak telah bertembung dengan Bruno Fernandes, dan memberitahu bintang Manchester United itu tentang keputusan beliau mengkaptenkan Mohamed Salah dalam Fantasy Premier League.

Bruno Fernandes yang mendengar peminat itu menggunakan Salah sebagai kapten segera menunjukkan reaksi seolah-olah beliau kecewa dengan keputusan itu.

Pemain kebangsaan Portugal itu meraikan penampilan ke-100 beliau bersama Manchester United dengan meledak gol pada aksi babak pertama permainan bertemu Arsenal.

Selepas tamat perlawanan tersebut, Fernandes memandu kereta untuk pulang ke rumah, dan ketika tiba di lampu merah, beliau dilihat bergurau dengan penumpang kereta sebelah.

Penumpang kereta sebelah menurunkan tingkap keretanya lalu mengajak Fernandes untuk berbual, dengan beliau menyatakan bahawa:

“Saya tak miliki kamu dalam fantasy saya.”

Jelas peminat itu.

“Siapa yang kamu ada?”

Soal Fernandes kepada peminat tersebut.

“Sentiasa Salah, saya minta maaf dia ambil semua duit saya.”

Jawab peminat tersebut.

Fernandes kemudiannya menunjukkan reaksi kecewa lalu terus memandu keretanya meninggalkan peminat tersebut.

Pemain itu sempat menyatakan yang:

“Kamu lihat dia semalam.”

Dua kali beliau ulang ayat yang sama sementara Fernandes terus berlalu meninggalkan beliau.

Agak menarik untuk melihat Fernandes boleh meluangkan masa bergurau dengan peminat di tepi jalan seperti itu, dan pujian untuk beliau kerana bersahaja melayan peminat.

Fernandes pada musim ini sudah berjaya menjaringkan tujuh gol dalam semua pertandingan untuk kelab dan negara.

Beliau memainkan peranan penting ketika membantu Manchester United mencatatkan kemenangan tipis 3-2 menewaskan Arsenal.

Ketika temu bual selepas tamat perlawanan, beliau menyatakan yang skuad Manchester United perlu menggunakan momentum sama untuk aksi mereka selepas ini.

“Setiap kemenangan itu istimewa untuk kami pada ketika ini.”

Jelas bintang berusia 27 tahun itu kepada Amazon Prime.

“Kami tahu yang kami sedang melalui turun naik dan ia sangat sukar untuk kami keluar dari situasi itu.”

“Hari ini kami berjaya catatkan kemenangan hebat, tapi kami tak boleh berhenti setakat di sini sahaja dan terlalu cepat berpuas hati selepas menewaskan Arsenal. Perlawanan seterusnya semakin hampir, jadi kami perlu beri tumpuan terus untuk perlawanan itu dan bersedia untuk menghadapinya.”

Beliau turut memberikan ucapan hormat kepada Michael Carrick, yang telah secara rasminya meninggalkan kelab selepas tamat perlawanan bertemu Arsenal itu.

“Saya pernah kata pada dia yang saya memang marah ketika dia ketepikan saya pada perlawanan pertama dia dan saya juga beritahu dia benda sama di penghujung perlawanan hari ini.”

Sambung Bruno Fernandes lagi.

“Tapi sejujurnya, bagi saya saya Michael boleh menjadi seorang pengurus yang sangat hebat di masa hadapan jika dia diberi kesempatan.”

“Dia tahu bagaimana untuk bercakap, dia tahu banyak tentang bola sepak. Dia merupakan seorang pemain hebat yang sering orang-orang perkatakan. Dari apa saya nampak, dia boleh jadi pengurus yang hebat.”

Michael Carrick telah mengundurkan diri dari jawatan sebagai pengurus sementara kelab, dengan Ralf Rangnick bakal menyambung tugasnya untuk mengendalikan kelab selepas ini.

Urusan visa pekerjaan Ralf Rangnick sudah berjaya diselesaikan dengan pengurus dari Jerman itu akan turun mengendalikan kelab untuk aksi bertemu Crystal Palace nanti.

Kem Manchester United tentunya sangat berharap agar mereka mampu untuk mengekalkan momentum kemenangan, dan kembali untuk merebut tempat di kedudukan empat teratas dalam carta liga.

Setan merah pada ketika ini sedang berada di kedudukan ketujuh, dan kehadiran Ralf Rangnick tentunya diharapkan akan mampu untuk menaikkan semula skuad Manchester United.

Sumber: SPORTbible

BACA:  Peminat Terharu Melihat Perbualan Perpisahan Antara Salah Dan Mane