Peminat Terharu Melihat Perbualan Perpisahan Antara Salah Dan Mane

Sadio Mane dan Mohamed Salah tidak dinafikan lagi telah melalui karier yang sungguh luar biasa menakjubkan bersama Liverpool.

Kedua-dua bintang dari Afrika itu mencipta nama sebagai antara pemain terhebat dalam dunia bola sepak atas aksi hebat dan kecemerlangan mereka bersama di Anfield.

Mohamed Salah dan Sadio Mane berjaya menjaringkan 263 gol bersama sepanjang lima musim karier mereka di Liverpool.

Melihat kepada rekod jaringan mereka, tidak hairanlah keduap-dua pemain itu dianggap sebagai penyerang paling digeruni dalam saingan Premier League sejak beberapa musim kebelakangan ini.

Salah dan Mane juga turut cemerlang membantu Liverpool untuk menjuarai enam Piala seperti Champions League, Super Cup, FIFA Club World Cup, Premier League, Carabao Cup dan FA Cup.

Media dan para peminat sering menganggap yang kedua-dua mereka tidak mempunyai hubungan yang baik terutama selepas melihat insiden panas antara mereka pada 2019 yang lalu.

Liverpool pada ketika itu turun beraksi bertemu Burnley dalam saingan Premier League, dengan Mane ketika itu dilihat sangat bengang dengan Mo Salah yang tidak mahu menghantar bola kepadanya.

Walau bagaimanapun, selepas dari insiden itu, kedua-dua mereka dilihat semakin rapat dan kesefahaman mereka juga semakin baik.

Sejak kebelakangan ini pula, kedua-dua mereka dilihat semakin akrab dengan mereka dilihat saling memuji sesama sendiri.

Sangat jelas sekali yang mereka berdua mempunyai hubungan yang sangat rapat dengan Mane sanggup menolak keraian beliau memenangi gelaran AFCON demi untuk menjaga hati Mo Salah.

Musim hadapan, para peminat tidak akan dapat lagi melihat kedua-dua mereka beraksi bersama sebagai rakan sepasukan di Anfield.

Hal ini kerana Sadio Mane secara rasminya telah melengkapkan perpindahan beliau menyertai Bayern Munich pada minggu ini.

Selepas berita berkait perpindahan Sadio Mane disahkan, Mo Salah dilihat telah memuat naik status untuk mengucapkan selamat tinggal kepada sahabat karibnya itu.

Bintang kebangsaan Mesir itu memuat naik beberapa keping gambar beliau bersama Mane dengan menulis:

“Ia merupakan perjalanan yang agak panjang! Terima kasih atas segala masa yang indah dan saya doakan yang terbaik untuk perjalanan baru kamu! kamu akan dirindui oleh kami semua.”

Mane kemudiannya turut masuk meninggalkan komen pada muat naik tersebut dengan menyatakan:

“Teruskan usaha kamu! Sahabat, kamu sememangnya yang terbaik.”

Para penyokong Liverpool jelas sekali sangat beremosi membaca perbualan perpisahan antara kedua-dua pemain kesayangan mereka itu.

Terdapat begitu banyak komen yang mendoakan kejayaan kedua-dua mereka dan para peminat turut meluahkan rasa gembira mereka melihat hubungan baik Salah dan Mane.

Salah dan Mane akan terus dikenang sebagai antara duo terhebat yang pernah beraksi dalam saingan Premier League.

Saingan Premier League selepas ini sudah tidak akan sama lagi tanpa gandingan dua bintang Afrika itu dan jelas sekali para penyokong akan sangat merindukan aksi gandingan mereka berdua.

Jurgen Klopp turut menghamburkan pujian kepada Sadio Mane dengan bintang Senegal itu sebenarnya merupakan pemain pertama yang beliau beli sebagai pengurus Liverpool.

Klopp turut memberikan ucapan selamat tinggal yang penuh beremosi untuk pemain berusia 30 tahun itu.

“Ia merupakan detik yang hebat. Tak ada sebab untuk sesiapa mempunyai anggapan berbeza. Antara pemain terhebat sepanjang zaman Liverpool dan kita mesti sedar betapa pentingnya peranan dia.”

Jelas Jurgen Kloop kepada laman rasmi Liverpool.

“Dia pergi dengan kerelaan dan kasih sayang dari kami. Dia pergi dengan status sebagai pemain terbaik. Dan ya, dia pergi pada ketika dia sekarang merupakan antara pemain terhebat dalam dunia bola sepak.”

“Tapi kita tak perlu fikir tentang apa kita hilang, sebaliknya kita raikan kelebihan yang kita dapat. Gol yang dia jaringkan, piala yang dia menang, seorang legenda, sudah tentu, dan dia juga ikon bola sepak Liverpool di era modern ini.”

Sumber: GMS

BACA:  Keane Percaya Liverpool Tidak Akan Pernah Rindukan Sadio Mane