“Bukan Pemain Berkelas Dunia”- Beckham Dianggap Tak Setanding Sterling Dan Foden

David Beckham dianggap sebagai bukan pemain berkelas dunia dan tak layak untuk disenaraikan dalam senarai kesebelasan terhebat sepanjang zaman The Three Liones.

Beckham memiliki 115 caps bersama skuad kebangsaan England dengan beliau berjaya menjaringkan 17 gol dan mencatatkan 42 assists di pentas bola sepak antarabangsa bermula pada tahun 1996 hingga 2009.

Beliau sempat bermain di lima kejohanan besar dan antara detik paling dikenang oleh para peminat adalah ketika kejayaan beliau menjaringkan gol di minit akhir ketika bertemu Greece.

Gol jaringannya itu berjaya membawa England ke aksi Piala Dunia 2002 dengan gol sepakan percuma itu juga dianggap antara yang tercantik sepanjang kariernya.

Beliau sememangnya antara pemain paling terkenal dan masih diingati sehingga ke hari ini.

Walau bagaimanapun, bekas pemain pertahanan Chelsea, Jason Cundy telah mengeluarkan dakwaan yang sangat mengejutkan, dengan beliau jelas sekali memandang rendah kemampuan Beckham.

Berbanding bersetuju yang David Beckham merupakan antara pemain yang memiliki hantaran silang terbaik, beliau percaya yang legenda United itu tak layak ada dalam senarai kesebelasan terhebat sepanjang zaman England.

Beliau bahkan percaya Beckham waktu kemuncak kariernya, masih belum tentu untuk mendapat tempat dalam skuad utama England di bawah kendalian Gareth Southgate.

“Karier David Beckham bersama England bertahan agak lama, saya rasa ia bertahan sangat lama.”

Jelas Cundy di talkSPORT ketika bersiaran bersama Andy Goldstein.

“David Beckham, jika dia ada dalam skuad dia berkemungkinan akan bergelut untuk masuk ke dalam skuad sekarang, jika kamu bermain tiga pemain, di mana kamu nak mainkan Beckham?”

“Dia bukanlah salah seorang yang terbaik. Dia antara yang handal dalam membuat hantaran silang yang pernah saya lihat, tapi saya lebih memilih Raheem Sterling. Sterling lebih banyak jaringkan gol dari Beckham.”

“Ketika kemuncak dia, sudah tentu dia ada dalam skuad utama tak kira di mana pasukan dia bermain, tapi saya rasa Beckham bertahan terlalu lama dalam skuad England.”

“Adakah dia lebih bagus dari Foden? Saya rasa Foden lebih kreatif dari Beckham.”

“Kita bahkan belum lihat kemuncak prestasi Foden.”

“Beckham merupakan pemain bola sepak yang menakjubkan untuk England, tapi dia bukan berkelas dunia, dia juga langsung tak layak ada dalam kesebelasan terhebat sepanjang zaman England, tak layak, itu bagi saya.”

Cundy kemudiannya turut mencetuskan kontroversi dengan menganggap Harry Kane memiliki kualiti hantaran yang lebih bagus berbanding Beckham.

Melihat gandingan Kane dan Son Heung-min bersama Tottenham Hotspur, Cundy percaya ketua pasukan England itu memiliki kualiti hantaran silang yang lebih sempurna berbanding Beckham.

“Kane”

Jawab Cundy ketika Goldstein bertanya siapa yang lebih mahir dalam membuat hantaran.

“Saya rasa Kane merupakan salah seorang pemain yang memiliki kualiti hantaran terbaik. Bola hantaran Kane memang menakjubkan.”

“Saya rasa tak ada yang setanding, Kane sebagus itu.”

Beckham berjaya memenangi tempat kedua dalam senarai pemenang anugerah Ballon D’or pada tahun 1999 dengan beliau turut berjaya memenangi enam gelaran Premier League dan turut dinamakan sebagai Hall of Fame dalam sejarah bola sepak Inggeris pada tahun 2008 yang lalu.

Jelas sekali ramai peminat tak akan berpuas hati dengan dakwaan dari Jason Cundy kerana ramai yang percaya David Beckham merupakan antara pemain terhebat dalam sejarah bola sepak Inggeris.

Beckham juga sangat terkenal dengan kemampuan beliau mengambil sepakan percuma dan kualiti hantaran yang sungguh menakjubkan.

Tidak pasti bagaimana Jason Cundy melakukan penilaian, namun memandangkan semua orang berhak memberi pendapat, maka hormati saja pendapat beliau.

Sumber: SPORTbible

BACA:  Beckham Sedia Berbincang Sertai Perikatan dan Pakatan Mengambil Alih Man Utd