David Beckham Diikat Qatar Dengan Bayaran RM855 Juta Je

Bekas pemain bola sepak paling popular di dunia di zaman awal 20-an, David Beckham telah menandatangan perjanjian lumayan bernilai RM855 juta (£150 juta) dengan tuan rumah Piala Dunia 2022, Qatar.

Dengan termeterainya perjanjian lumayan ini maka, David Beckham akan menjadi duta untuk Qatar untuk tempoh 10 tahun dan wajah Beckham akan diguna pakai untuk Piala Dunia 2022.

David Beckham dilaporkan telah terbang ke Doha sebelum ini bagi membincangkan butiran dan perincian yang termaktub dalam kontrak yang bakal ditandatangan.

Untuk tempoh 10 tahun ini Beckham akan bertanggungjawab untuk mempromosikan pelancongan dan kebudayaan Qatar dan untuk masa terdekat sudah pasti Piala Dunia.

Bekas pemain Manchester United dan juga Real madrid itu telah diyakinkan bahawa peminat akan dibenarkan mengibarkan bendera pelangi di kejohanan bola sepak terbesar itu.

Selain itu David Beckham juga dijelaskan bahawa ketika ini jumlah wanita yang terlibat dalam dunia politik Qatar juga semakin bertambah.

Qatar kini dikritik hebat dari segenap penjuru terutamanya dari kumpulan Hak Asasi Manusia kerana dituduh mengabaikan serta mendiskriminasi hak asasi melibatkan golongan perempuan dan golongan sejenis serta songsang.

David Beckham juga telah berbincang dengan isterinya, Victoria Beckham sebelum mengikat perjanjian ini walaupun beras Beckham yang beli.

Pemain sayap itu percaya komitmen Qatar untuk menganjurkan Piala Dunia pertama di Timur Tengah boleh memberi efek positif yang mampu membawa perubahan.

Beckham sangat percaya kuasa bola sepak boleh menjadi jambatan untuk meleraikan perbezaan dan membawa kemajuan dalam isu-isu penting.

Wakil jurucakap kepada David Beckham telah berkata:

“David Beckham sentiasa bercakap tentang kuasa bola sepak sebagai kekuatan untuk kebaikan di banyak peringkat.”

“Dalam tempoh setahun lagi, dia akan menyertai komuniti bola sepak yang lebih luas yang akan datang bersama-sama untuk Piala Dunia 2022 dan dia menantikan apa yang dia fikirkan akan menjadi kejohanan yang hebat.”

Sejurus selepas perjanjian dipersetujui kedua belah pihak, Amnesty International telah mengeluarkan kenyataan menggesa David Beckham untuk bersuara tentang situas hak asasi manusia di negara tuan rumah Piala Dunia itu.

CEO Amnesty International UK, Sacha Deshmukh merupakan individu yang membuat gesaan itu kepada David Beckham:

“Kami menggesa (Beckham) untuk belajar tentang situasi hak asasi manusia yang mendalam di Qatar dan bersedia untuk bercakap mengenainya”

‘Tidak menghairankan bahawa David Beckham mahu terlibat dalam acara bola sepak utama seperti itu, tetapi kami akan menggesa beliau untuk mengetahui tentang situasi hak asasi manusia yang mendalam di Qatar dan bersedia untuk bercakap mengenainya.”

“Rekod hak asasi manusia Qatar membimbangkan – daripada penganiayaan yang berpanjangan di negara itu terhadap pekerja asing, kepada sekatan terhadap kebebasan bersuara dan melabel hubungan sejenis sebagai satu jenayah.”

Betul-betul menggesa ni apabila dua kali mendesak Beckham untuk bersuara tentang situasi semasa di Qatar melibatkan hak asasi manusia.

“Penganiayaan Qatar terhadap pekerja asing – orang yang berkerja keras untuk menjadikan Piala Dunia satu kenyataan – amat mengganggu.”

“Walaupun ada beberapa pembaharuan yang dialu-alukan, pekerja asing masih dibiarkan tanpa gaji, dan pihak berkuasa telah gagal menyiasat beribu-ribu kematian dalam dekad yang lalu walaupun terdapat bukti hubungan antara kematian pramatang dan keadaan kerja yang tidak selamat dalam cuaca panas.”

“Lebih banyak lagi perlu dilakukan untuk Piala Dunia ini untuk meninggalkan legasi positif dan mengubah situasi hak asasi manusia di Qatar.”

Beckham mempunyai hubungan dan tidak asing lagi dengan Qatar setelah menandatangani kontrak dengan Paris Saint-Germain — dimiliki oleh Qatar Sports Investments (QSi) — pada 2013 sebagai kelab terakhir dalam kariernya.

Beckham mempunyai hubungan baik apabila dilihat bergambar bersama presiden PSG dan pengerusi QSi Nasser Al-Khelaifi di Doha semasa Piala Dunia Kelab 2019.

Bekas pemain Manchester United, Real Madrid dan LA Galaxy itu juga terkenal di seluruh dunia, terkenal dengan kerjaya bola sepak dan perniagaannya.

Beliau kini memiliki bersama francais MLS Inter Miami, serta pasukan Liga Dua Inggeris Salford City.

Sejarah Ringkas David Beckham

David Robert Joseph Beckham, lahir 2 Mei 1975 merupakan bekas pemain bola sepak profesional Inggeris. Dia pernah bermain untuk Manchester United, Preston North End, Real Madrid, Milan, Los Angeles Galaxy, Paris Saint-Germain, dan Pasukan kebangsaan England, dimana dia memegang rekod penampilan terbanyak untuk posisi selain daripada penjaga gol.

Dia merupakan pemain Inggeris pertama  memenangi kejuaraan liga di empat buah negara berlainan iaitu England, Sepanyol, Amerika Syarikat dan Perancis. Dia mengumumkan persaraannya di akhir musim 2012–13. Pada 18 Mei 2013, beliau bermain perlawanan terakhirnya sepanjang 20 tahun karier.

Karier profesional Beckham bermula di Manchester United, dimana Beckham membuat penampilan sulung untuk pasukan utama pada tahun 1992 ketika berumur 17 tahun. Bersama United, Beckham memenangi kejuaraan Liga Perdana Inggeris enam kali, Piala FA Inggeris dua kali, dan Liga Juara-Juara Eropah pada tahun 1999. Beliau kemudiannya bermain selama empat musim untuk Real Madrid, memenangi kejuaraan La Liga ketika musim terakhirnya bersama kelab itu.

Pada bulan Julai 2007, Beckham menandatangani kontrak lima tahun bersama kelab Major League Soccer, LA Galaxy. Semasa menjadi pemain Galaxy, dia bermain secara pinjaman di Itali, dua kali bersama Milan pada tahun 2009 dan 2010. Beckham merupakan pemain bola sepak Britain pertama  bermain dalam 100 perlawanan Liga Juara-Juara.

Di peringkat antarabangsa, Beckham membuat penampilan sulung untuk England pada 1 September 1996, ketika berumur 21 tahun. Dia merupakan kapten untuk England selama enam tahun dimana dia bermain 58 kali sepanjang tempoh itu. Secara keseluruhan, dia membuat 115 penampilan, beraksi dalam tiga kejohanan Piala Dunia FIFA (1998, 2002 dan 2006) dan dua kejohanan Piala Eropah UEFA (2000 dan 2004).

Terkenal dengan hantaran bola yang tepat dan sepakan percuma melentur yang mempersonakan, Beckham telah dua kali mendapat tempat kedua untuk Pemain Terbaik Dunia FIFA dan pada tahun 2004 dia dinamakan dalam FIFA 100 sebagai salah seorang pemain terhebat di dunia yang masih hidup.

Secara konsisten disenaraikan sebagai salah seorang ahli sukan dengan pendapatan tertinggi. Pada tahun 2013 Beckham disenaraikan sebagai pemain dengan pendapatan paling tinggi di dunia dengan pendapatan lebih $50 juta dalam tempoh 12 bulan.

Beckham berkahwin dengan Victoria pada tahun 1999 dan mereka mempunyai empat orang anak. Anak sulung Beckham, Brooklyn bermain untuk Arsenal Bawah-16. Pada bulan Februari 2014, MLS mengumumkan Beckham dan sekumpulan pelabur akan memiliki sebuah pasukan di Miami yang akan mula bermain pada tahun 2016 atau 2017.

BACA:  Griezmann Mahu Ke Inter Miami Kerana Beckham