RTM Rakam Detik David Beckham Jatuh Terciduk Di Trek Lumba Sukan Asia Ketika Cuba Timang Basikal

Radio Televisyen Malaysia (RTM) sempat merakam David Beckham yang cuba menimang basikalnya di trek lumba basikal di Huangzhou sebelum jatuh terciduk di khalayak ramai.

Video berdurasi 23 saat itu dikongsi di aplikasi TikT0k disiarkan dengan kapsyen: “Aduh Beckham , Ni bukan bola nak ditimang kan dah terciduk.”

Sejak dikongsikan oleh RTM beberapa hari lalu ia telah mendapat lebih 90,000 tanda suka, 729 komen, dan 638 perkongsian.

Namun demikian David Beckham yang dimaksudkan oleh RTM bukanlah David Beckham yang kita kenali dan popular kerana bermain bola sepak.

David Beckham yang dimaksudkan bukanlah pemain bola sepak tetapi merupakan pelumba basikal India yang melakukan penampilan di Sukan Asia 2023 untuk negaranya.

@radiotelevisyenmalaysia Sejak Sukan Asia 2023 berlangsung, min auto crush kat Beckham ni la ❤️ #SukanAsia2023RTM #DemiMalaysia #SukanAsiaHangzhou #RTMKlik #SukanDiTikTok #SportsOnTikTok ♬ Ini Parah Ni – A Kiil Mustafa

Malah ketika David Beckham original melakukan penampilan di Piala Dunia 2002, Beckham dari India ini belum lagi dilahirkan dan beliau juga baru berusia 20 tahun.

David Beckham ini sebenarnya adalah seorang pelumba basikal trek acara pecut yang berbakat di India.

Beliau mencipta sensasi tersendiri apabila muncul juara Khelo India Youth Games pada 2020 pada usia 17 tahun dengan catatan masa 10.891 saat.

Di kejohanan yang sama David Beckham turut memenangi pingat gangsa untuk acara pecut berpasukan.

Bercerita mengenai namanya yang menarik perhatian ramai, David Beckham dalam satu temubual bersama TimesofIndia mendedahkan bagaimana beliau diberikan nama bekas pemain tengah England yang terkenal dengan sepakan percuma melencong dan hantaran tepat itu.

“Pakcik saya adalah peminat yang begitu gilakan David Beckham. Saya tidak pernah bertemu dengan mana-mana individu lain yang gilakan David Beckham seperti dia,” kongsi Beckham mengenai Beckham.

“Ketika Piala Dunia 2002, mereka menari dan meraikan sepanjang malam apabila David Beckham menjaringkan gol dan England menang.

“Saya dilahirkan pada tahun berikutnya, dan pakcik saya mendesak ibu untuk menamakan saya David Beckham.”

Ditanya mengapa dirinya tidak menceburkan diri di dalam sukan bola sepak, ini jawapan Beckham:

“Memang ramai yang bertanya mengapa saya tidak bermain bola sepak. Jawapan saya mudah. Jika saya bermain bola sepak bagaimana orang ramai mahu membezakan dua orang Beckham.”

David Beckham bukan satu-satunya pelumba basikal dari India yang menarik perhatian ramai kerana persamaan dengan pemain bola sepak.

Selain daripada David Beckham, skuad lumba basikal India turut mempunyai pelumba bernama Ronaldo Singh.

BACA:  Ibrahimovic Dan Beckham Letakkan Pertaruhan Menjelang Pertembungan Sweden-England