Pemain tengah Juventus, Emre Can nyata tidak berpuas hati dengan keputusan pengadil menunjukkan kad merah kepada Cristiano Ronaldo dalam perlawanan Liga Juara-Juara Eropah menentang Valencia awal pagi tadi.
Dalam insiden yang berlaku pada minit ke-29, Ronaldo dilayangkan kad merah oleh pengadil perlawanan, Felix Brych kerana menarik rambut Jeison Murillo dalam kotak penalti Valencia. Ronaldo tidak berpuas hati dengan tindakan Murillo yang sengaja menjatuhkan badan bagi meraih simpati pengadil supaya memberikan sepakan percuma kepada Valencia.
Pengadil mengambil masa yang lama sebelum membuat keputusan untuk menghantar Ronaldo ke bilik persalinan dan turut meminta nasihat daripada pembantu pengadil yang berada di tepi tiang gol. Ronaldo yang terkejut dengan keputusan tersebut mengalirkan air mata jantannya kerana tidak mempercayai pengadil tergamak melayangkan kad merah atas tindakannya itu.
Rakan sepasukan Ronaldo, Emre Can juga tidak dapat menerima keputusan pengadil memberikan kad merah selepas melihat sendiri ulang tayang kejadian tersebut. Can sempat memerli pengadil dengan berkata pemain yang beraksi di atas padang tadi bukanlah perempuan untuk dikenakan tindakan keras disebabkan kesalahan menarik rambut.
“Adakah kesalahan tersebut wajar dilayangkan kad merah ?” Ujar Can yang terkejut dengan melihat sendiri ulang tayang insiden itu.
“Saya ada terdengar pengadil membuat keputusan tersebut kerana Ronaldo menarik rambut pemain lawan. Kami bukannya perempuan, kami cuma ingin bermain bola sepak.”
“Jika pengadil memberikan kad merah atas kesalahan tersebut, anda akan diperintahkan untuk meninggalkan padang atas setiap kesalahan yang anda lakukan. Saya yakin 100 percent ia bukan kesalahan kad merah.”
Walaupun beraksi dengan 10 orang pemain, Juventus membuktikan mereka adalah pencabar utama Liga Juara-Juara Eropah musim ini dengan mencatatkan kemenangan 2-0 ke atas Valencia. Pengadil menganugerahkan dua penalti kepada Juventus dalam setiap babak permainan dan ia berjaya disempurnakan oleh pemain tengah Bosnia, Miralem Pjanic dengan jayanya.
https://twitter.com/dr7n_/status/1042504139673149440
Sekiranya Ronaldo tidak berjaya dalam rayuannya untuk membatalkan kad merah tersebut, Ronaldo akan menjalani penggantungan automatik 1 perlawanan dalam perlawanan peringkat Eropah. Perlawanan Juventus yang seterusnya adalah menentang Young Boys di gelanggang sendiri dua minggu lagi.
Namun begitu, sekiranya UEFA melihat insiden tersebut sebagai satu kesalahan yang berat dan perlu dihukum lebih keras, Ronaldo berkemungkinan akan terlepas perlawanan menentang kelab lamanya, Manchester United di Old Trafford. Perlawanan tersebut dijadualkan bakal berlangsung pada pertengahan Oktober nanti.
Kad merah yang diterima Ronaldo itu juga merupakan kad merah pertamanya dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah. Ia juga merupakan kejohanan dimana Ronaldo berjaya memenanginya sebanyak 5 kali dan 3 kali berturut-turut bersama Real Madrid sepanjang 3 musim yang lalu.
Ronaldo juga merupakan penjaring terbanyak sepanjang zaman dalam kejohanan Liga Juara-Juara Eropah dengan mengumpul 120 gol, 17 gol melebihi seteru utamanya, Lionel Messi.