Cech: Arsenal Sudah Lupa Bagaimana Untuk Memenangi Liga Perdana Inggeris

Penjaga gol Arsenal, Petr Cech mengakui Arsenal sudah lupa bagaimana untuk memenangi Liga Perdana Inggeris ketika di bawah Arsene Wenger sambil memberi bayangan Wenger lebih mementingkan gaya permainan dari meraih keputusan.

Selepas tewas dalam dua perlawanan pertama Liga Perdana Inggeris di tangan Manchester City dan Chelsea, Unai Emery berjaya membawa Arsenal kembali ke landasan yang betul apabila merekodkan 5 kemenangan berturut-turut dalam semua pertandingan.

Cech akui Arsenal di bawah Arsene Wenger lupa bagaiman untuk memenangi liga

4 daripadanya diperolehi dari perlawanan liga dengan menewaskan West Ham, Cardiff, Newcastle dan terbaru Everton.

Walaupun baru bergelar pengurus Arsenal beberapa bulan, Emery bertindak cepat untuk memastikan Arsenal bermain dalam cara yang dikehendakinya. Antara perkara paling menonjol adalah Emery mahu anak buahnya merencana serangan bermula dari bawah, bermakna penjaga gol perlu selesa ketika bola berada di kaki.

Walau bagaimanapun, Emery mengambil masa yang lama untuk menerapkan corak permainan yang diingininya dalam pasukan Arsenal dan pada masa yang sama, beliau terpaksa akur tewas di tangan Manchester City dan Chelsea pada permulaan musim.

Permulaan yang buruk berjaya disusuli dengan 4 kemenangan berturut-turut dalam Liga Perdana Inggeris dan pemain Arsenal dilihat sudah mula menyesuaikan diri dengan gaya permainan Emery.

Cech masih belum lupa

Arsenal kini menghuni tangga ke-6 liga dan hanya ketinggalan 6 mata di belakang Liverpool yang mempunyai rekod sempurna setakat ini.

Namun begitu, perkara yang lebih merisaukan Cech ketika ini adalah Arsenal mungkin telah lupa bagaimana untuk memenangi Liga Perdana Inggeris yang mana kali terakhir mereka memenanginya adalah 14 tahun yang lalu.

“Bagi mana-mana kelab yang berjaya memenangi liga beberapa tahun kebelakangan ini, mereka mempunyai pasukan yang tahu bagaimana untuk memenanginya.”

“Anda boleh lihat ia berlaku dalam mana-mana sukan. Lihatlah pada Tiger Woods. Kali terakhir beliau memenangi Kejohanan bertaraf Major adalah 10 tahun yang lalu. Makin lama anda gagal memenanginya, makin sukar untuk menang.”

“Kelab ini [Arsenal] tidak memenangi liga sudah lebih 10 tahun, jadi anda perlu mencari jalan untuk mengetahui cara untuk memenangi pertandingan ini kembali.”

“Kami bermula dari kosong dengan pengurus baru. Kami cuba mencari mentaliti untuk memenangi setiap perlawanan dan progres dalam setiap perlawanan. Kami bekerja keras setiap hari dan berharap mampu memenangi liga secepat yang mungkin.”

“Pada masa lalu, saya boleh kata Arsenal lebih mementingkan gaya permainan dari mendapatkan mata dan ia bukan cara yang betul untuk memenangi liga.”

Arsenal History Channel ?

“Kadang kala anda perlu mencari jalan untuk menang dalam perlawanan yang kotor. Pasukan tidak bermain baik tetapi anda berusaha keras dan menutup segala pintu untuk pihak lawan menjaringkan gol supaya anda mampu menang 1-0 dalam apa jua cara yang ada.”

“Itu yang saya rasa pasukan Arsenal tiada pada masa lalu. Semalam, kami melalui waktu yang sukar tetapi masih mampu meraih kemenangan dan clean sheet. Jadi ia merupakan satu petanda yang positif.”

BACA:  Peminat Tertarik Melihat Aksi Azpilicueta 'Mengejek' Penyokong Leeds United