Champions League 2021/22: Real Madrid 2-3 Chelsea (Agg. 5-4)

Tugas agak berat untuk Chelsea apabila bertandang ke Santiago Bernabeu untuk perlawanan kedua suku akhir Champions League 2021/22 selepas tewas 3-1 dalam perlawanan pertama di Stamford Bridge.

Dengan peraturan yang baru dikuatkuasakan musim ini di mana tiada lagi peraturan gol tempat lawan digunakan memberi sedikit kelebihan untuk Chelsea bangkit.

Chelsea berada dalam momentum terbaik apabila membelasah Southampton 6-0 selepas tewas perlawanan pertama kepada Real Madrid.

Skuad bimbingan Thomas Tuchel ini tidak boleh dipandang mudah oleh Real Madrid kerana Chelsea merupakan pasukan yang tersakiti lantaran pelbagai masalah berkaitan dengan pemiliknya.

Namun Chelsea langsung tidak seperti terpengaruh dengan apa yang terjadi di kelab apabila masuk ke padang.

Tiada apa yang boleh dilakukan oleh Chelsea dalam perlawanan ini kecuali terus menekan Real Madrid bagi mengurangkan defisit dan itulah dilakukan Chelsea.

Dari awal permainan sangat jelas matlamat Chelsea yang mahukan gol seawal dan sebanyak mungkin.

Pada minit ke-15 Mason Mount berjaya mencari gol pembukaan dengan satu lencongan bola yang cantik selepas menerima hantaran Timo Werner dan berjaya menewaskan Thibaut Courtois.

Gol pertama Mason Mount di Champions League musim ini.

Selepas gol Mason Mount itu, Chelsea telah berkampung di kawasan Real Madrid dan cuba merencanakan serangan demi serangan memaksa Real Madrid bermain secara bertahan.

Rembatan jauh Antonio Ruediger merupakan percubaan paling bahaya dari Chelsea selepas gol Mason Mount tetapi tersasar sedikit dari gawang dan kedudukan 1-0 kekal hingga tamat 45 minit pertama.

Real Madrid bertahan dengan sanga baik dan berdisiplin menyukarkan Chelsea masuk ke kotak melainkan melalui hantaran tinggi yang mudah dikeluarkan.

Separuh masa kedua bersambung, Chelsea sudah membuatkan Thibaut Courtois berkerja keras dan berpeluh teruk.

Sepakan penjuru dari Mason Mount pada minit ke-51 telah disambut dengan satu sundulan tajam dari Antonio Rudiger bagi menyamakan kedudukan secara agregat.

Ini merupakan gol pertama Antonio Rudiger di pentas Eropah dalam karier bola sepaknya yang mungkin menjadi gol terpenting buat Chelsea.

Kedudukan permainan kembali seimbang dan tiada lagi kelebihan buat Real Madrid dari segi agregat yang ada hanyalah kelebihan selaku tuan rumah.

Real Madrid mula memberi reaksi balas untuk mencari gol dan sepakan percuma Toni Kroos telah berjaya diselamatkan oleh Eduoard Mendy.

Chelsea seakan tidak mampu berhenti dan api kebangkitan terus membara.

Kesilapan Ferland Mendy kehilangan bola membolehkan Chelsea melakukan serangan pantas, N’Golo Kante pantas membawa bola ke depan sebelum dilorongkan kepada Marcus Alonso.

Satu rembatan deras lagi cantik dilakukan Marcus Alonso untuk gol ketiga namun selepas penelitian dari Video Assistant Referee gol itu dibatalkan kerana bola terkena tangan Alonso.

Kemudian Benzema hampir menjaringkan gol pertama Real Madrid dengan satu sundulan gelembung buaya namun dinafikan palang.

Perlawanan menjadi seimbang, Chelsea dan Real Madrid mula berbalas serangan bagi mencari gol kemenangan masing-masing bagi memburu slot separuh akhir.

Timo Werner yang seakan mendapat kembali sentuhannya kebelakangan ini menjaringkan gol ketiga Chelsea dengan satu penyudah yang menakjubkan.

Gol Werner pasti meletakkan tekanan yang besar dan tinggi buat Real Madrid dengan perlawanan berbaki 15 minit.

Rodrygo yang masuk menggantikan Casemiro pada minit ke-78 hanya memerlukan kurang dua minit untuk menunjukkan impak kemasukkannya dan menjadi pertukaran yang genius.

Hantaran gelembung buaya genius lagi bijak Luka Modric dengan bahagian luar kaki mencari Rodrygo terus membuahkan hasil apabila mudah pemain gantian itu menolak masuk menyamakan kedudukan secara agregat.

Luka Modric kemudiannya telah membuat satu rembatan jarak jauh namun berjaya diselamatkan Eduoard Mendy.

Serangan demi serangan dilakukan selepas itu terutamanya dari Chelsea tidak membuahkan sebarang gol tambahan dan pemenang ditentukan di masa tambahan.

Pada minit ke-95 masa tambahan, Karim Benzema menjaringkan gol kedua Real Madrid dengan satu sundulan bebas selepas menyempurnakan hantaran Vinicius Jr.

Cantik larian atas garisan dari Vinicius Jr yang memlambungkan bola ke tengah mencari Benzema yang sudah bersedia untuk menyundul.

Gol Karim Benzema itu tidak cukup untuk memberi kemenangan kepada Real Madrid tapi cukup untuk mengecewakan Chelsea yang tersakiti itu terus sakit.

Chelsea menang 3-2 di Bernabeu namun secara agregatnya Real Madrid mara ke separuh akhir dan bakal bertemua Atletico Madrid atau Manchester City.

Maka berakhirlah perjalanan Juara bertahan, Chelsea dalam usaha mempertahankan gelaran juara mereka musim lalu.

Kesebelasan Utama Real Madrid: Courtois, Carvajal, Nacho, Alaba, Mendy, Modric, Casemiro, Kroos, Valverde, Benzema, Vinicius Junior.

Pemain Simpanan: Asensio, Marcelo, Lunin, Jovic, Lucas, Bale, Ceballos, Rodrygo, Mariano, Camavinga, Fuidias, Marin.

Kesebelasan Utama Chelsea: Mendy, James, Thiago Silva, Rudiger, Alonso, Kovacic, Loftus-Cheek, Kante, Mount, Havertz, Werner.

Pemain Simpanan: Arrizabalaga, Christensen, Jorginho, Pulisic, Bettinelli, Chalobah, Saul, Ziyech, Azpilicueta, Sarr, Vale.

Pengadil Perlawanan: Szymon Marciniak (Poland).

Chelsea 1-3 Real Madrid

Perlawanan suku akhir Champions League yang amat menarik pagi ini adalah antara juara bertahan, Chelsea menentang Real Madrid yang merupakan juara 13 kali yang terbanyak dalam sejarah kejohanan.

Chelsea selaku juara bertahan yang dibelenggu masalah berkaitan pemiliknya turun menentang Real Madrid untuk perlawanan suku akhir Champions League bagi meneruskan perjuangan mempertahankan gelaran.

Stamford Bridge menjadi gelanggang untuk suku akhir pertama dan Real Madrid datang tanpa gentar dan sudah pasti Karim Benzema menjadi sandaran.

Seperti diduga Karim Benzema tidak mengecewakan apabila telah menjaringkan dua gol dalam tempoh 3 minit dan kedua-duanya melalui sundulan tajam dan jahat.

Karim Benzema mempamerkan aksi menakjubkan pada separuh masa pertama menentang Chelsea untuk meletakkan Real Madrid mengawal sepenuhnya perlawanan suku akhir pertama Liga Juara-Juara di Stamford Bridge.

Pemain antarabangsa Perancis itu telah menggungguli pusingan sebelumnya di pertandingan teragung Eropah ini apabila menjaringkan hatrik pantas di Bernabeu untuk menyingkirkan Paris Saint-Germain.

Karim Benzema meneruskan aksi berkelas dunia seperti perlawanan menentang PSG, dengan satu lagi aksi masterclass merencanakan gerakan dan sentuhan penyudah ketika menentang Chelsea.

Real Madrid memulakan perlawanan dengan cemerlang dan boleh mendahului lebih awal apabila percubaan pemain masa hadapan, Vinicius Jr terkena palang.

Tetapi pasukan gergasi Sepanyol itu tidak perlu menunggu lama untuk gol pembukaan mereka.

Pada minit ke-21, Vinicius Jr bertukar hantaran satu-dua yang kemas dengan Benzema di sayap kiri sebelum membuat hantaran silang yang sempurna untuk penyerang Perancis itu melakukan satu sundulan yang tidak dapat dihalang dan melepasi penjaga gol Chelsea, Edouard Mendy.

Dua minit kemudian, kedudukan melebar kepada 2-0 buat Real Madrid.

Kali ini, Luka Modric membuktikan otai masih berbisa dengan hantaran lintang dari sayap kanan untuk Benzema melakukan satu sundulan sempurna melintasi gawang dan melepasi layangan badan sehabis daya Mendy.

Pengulas BT Sport Darren Fletcher merumuskan aksi Benzema sebagai:

“Dia tidak dapat dihalang!”

Chelsea tidak mengalah dan terus memberi saingan. Kai Havertz merapatkan kedudukan dengan tandukannya lima minit sebelum rehat.

Bersambung babak kedua Karim Benzema terus melengkapkan hatriknya yang sudah pasti merupakan gol ketiga dalam satu situasi yang agak pelik dan tidak masuk dek akal.

Penjaga gol Chelsea, Edouard Mendy telah melakukan satu kesilapan yang tidak boleh dimaafkan apabila keluar dari kawasan gol untuk menerima bola jauh di atas.

Tiada tekanan yang berat ke atas Edouard Mendy yang kelihatan teragak-agak dan terpinga-pinga ketika membuat keputusan kepada siapa bola perlu dihantar.

Edouard Mendy memilih untuk menghantar kepada Antonio Rudiger, satu keputusan yang tepat apa yang silapnya adalah satu hantaran terlalu lemah dilakukan Mendy.

Karim Benzema pantas menghidu peluang dan ruang yang ada lalu terus mengenakan tekanan dengan segera menerkam laju ke atas bola.

Kelam kabut Ruediger mengejar dan hanya sempat menyentuh bola sebelum Karim Benzema berjaya merampas ketika gawang Chelsea terkangkang luas tanpa penjaga.

Satu peluang percuma dan terlalu mudah untuk disudahkan oleh penyerang yang klinikal lagi tajam serta bertaraf dunia seperti Karim Benzema.

Chelsea membuktikan kenapa mereka mampu bergelar juara apabila mempamerkan semangat tidak mengenal erti putus asa apabila bertali arus melancarkan serangan mencari gol.

Bekas penjaga gol Chelsea yang kini bersama Real Madrid ternyata hebat menafikan setiap serangan dan Romelu Lukaku seperti biasa menafikan sendiri peluang yang ada.

Pada minit ke-85, Karim Benzema yang melakukan back to back hatrik dikeluarkan dan digantikan dengan Gareth Bale.

Perlawanan ini berlangsung dengan begitu sengit lagi menghiburkan dan berbaloi untuk dikorbankan dua jam masa tidur.

Kedudukan 3-1 kekal hingga tamat perlawanan dan Real Madrid membawa bekalan agak selepas untuk perlawanan timbal balik di Barnebeu.

Kesebelasan utama Chelsea: Mendy, Christensen, Thiago Silva, Rudiger, James, Kante, Jorginho, Azpilicueta, Mount, Pulisic, Havertz.

Pemain Simpanan: Arrizabalaga, Alonso, Kovacic, Lukaku, Werner, Loftus-Cheek, Bettinelli, Chalobah, Saul, Ziyech, Kenedy, Sarr.

Kesebelasan utama Real Madrid: Courtois, Carvajal, Eder Militao, Alaba, Mendy, Modric, Casemiro, Kroos, Valverde, Benzema, Vinicius Junior.

Pemain Simpanan: Vallejo, Nacho, Asensio, Marcelo, Lunin, Lucas, Bale, Ceballos, Rodrygo, Mariano, Camavinga, Fuidias.

Pengadil Perlawanan: Clement Turpin (France)

BACA:  Tucel Dedahkan Sebab Kena Dia Hampir Bertumbuk Dengan Conte