Chelsea Berdepan Kemungkinan Bankrap dan Dilelong Gara-Gara Abramovich Terlalu Memilih Pembeli

Semua orang tahu bahawa Chelsea kini ibarat kais pagi makan pagi kais petang makan petang gara-gara sekatan yang dikenakan kerajaan UK terhadap pemilik kelab, Roman Abramovich, selepas dia dikaitkan dengan pemimpin Russia Vladimir Putin yang melakukan operasi ketenteraan terhadap Ukraine.

Chelsea sebelum ini dilaporkan terpaksa menggunakan baki tunai yang mereka ada, £17 juta dan jumlah ini dijangka akan bertahan tidak sampai sebulan dengan gaji pemain sahaja sudah cukup untuk menghabiskan saki baki duit kelab.

Lebih malang lagi, Chelsea dilarang melakukan sebarang urusniaga dengan mana-mana pihak termasuk menjual tiket kepada penyokong dan menambah air limau ke luka yang berdarah, penaja Chelsea seperti Three dan Hyundai telah menarik penajaan mereka kerana tidak mahu dikaitkan dengan Abramovich.

Kerajaan UK telah mengubah sedikit lesen khas yang diberikan kepada kelab London ini demi memastikan kelab mampu berjalan walaupun dalam keadaan tempang.

Pegawai pasukan Chelsea telah mengadakan perbincangan dengan pihak kerajaan UK selama dua hari dan berhasil untuk mendapatkan semakan terhadap beberapa peraturan sekaligus berjaya membolehkan kelab untuk menggunakan wang tambahan bernilai £110 juta, berbanding baki tunai £17 juta sebelum ini.

Wang tersebut adalah jasil daripada royalti hak penyiaran di televisyen serta wang kemenangan – yang sebelum ini telah dibekukan, dan kini sudah pun diberikan kunci kepada Chelsea untuk membuka tabung berkenaan lantas memberikan kemampuan kepada kelab untuk membayar gaji para pemain yang bernilai sekitar £28 juta sebulan, serta perbelanjaan yang lain.

Nilai hasil royalti hak penyiaran adalah £35 juta daripada perlawanan Liga Perdana Inggeris serta perlawanan di Eropah. Sebagai tambahan, mereka juga akan menerima wang kemenangan sekitar £39 juta sekiranya mereka berjaya mengekalkan kedudukan ketiga di dalam liga, serta £36 juta andai sekali lagi menjulang piala Liga Juara-Juara UEFA.

Had maksimum £500,000 daripada kutipan tiket pada hari perlawanan juga telah dinaikkan kepada £900,000, manakala had belanja untuk perjalanan juga dibenarkan melebihi £20,000 selepas berjaya mara ke suku akhir UCL menewaskan kelab Perancis, Lille.

Dengan masalah yang melanda, Abramovich telah mengesahkan bahawa dia akan menjual kelab juara dunia ini dan ada beberapa pihak yang berminat untuk mengambil kesempatan ini.

Antaranya adalah jutawan hartanah Nick Candy, Hansjorg Wyss, Todd Boehly dan juga petarung UFC terkenal, Connor McGregor.

Meskipun telah menyatakan kesudiannya untuk menjual, Abramovich sangat memilih dan teliti untuk menyerahkan kelab yang sudah dijaganya selama hampir 20 tahun ini dan kini dia ingin membalas sokongan para penyokong dengan memilih pembeli yang tepat.

Di bawah penguasaannya, Abramovich telah berbelanja besar membeli pemain dan menjadikan kelab ini sebagai pesaing utama dalam setiap musim Liga Perdana Inggeris.

Malah pada musim panas lalu dia telah membenarkan pembelian Romelu Lukaku dari Inter Milan pada harga £106 juta. Ada kalanya dia enggan berbelanja besar dalam jendela perpindahan, tetapi demi menyaingi kekuatan Manchester City dan Liverpool, Abramovich terus mengeluarkan belanja yang besar semula.

Sebagai sokongan kepada pemilik yang banyak berjasa ini, penyokong Chelsea melaungkan namanya sebelum perlawanan liga bermula tatkala penonton diminta memberikan tepukan selama seminit sebagai tanda bersolidariti bersama rakyat Ukraine.

Dengan masa semakin suntuk dan wang semakin habis, Abramovich tetap dengan pendiriannya tidak akan menjual kelab ini kepada orang sebarangan.

Antara syarat utama adalah dia menolak pembeli yang berasal dari negara yang telah mengenakan sekatan terhadap Russia, seperti dari Britain atau Amerika Syarikat. Malah beberapa pembeli yang berasal dari negara EU juga berkemungkinan besar akan ditolak oleh Abramovich, sekaligus meninggalkan hanya beberapa pihak yang berminat sahaja yang masih di dalam perlumbaan ini.

Sekiranya pembali tidak dapat ditemui, maka Chelsea berpotensi untuk dimasukkan ke bawah pentadbiran, atau sering disebut administration di mana kelab ini akan diuruskan oleh badan bebas dan diisytiharkan bankrap.

Ketika di bawah administration, tiada mana-mana pihak yang boleh mengambil tindakan undang-undang terhadap pasukan ini dan pada masa yang sama, kelab akan dilelong kepada pembeli yang baharu. Lebih parah lagi, kelab yang dimasukkan ke bawah administration ini akan dipotong mata – sepertimana yang berlaku kepada Derby County sekarang ini.

Dalam bahasa mudah, administration adalah ibarat penjara bagi kelab bola sepak!

Antara kelab tersohor yang pernah melalui fasa administration ini adalah Bolton Wanderers, WIgan Athletic, Portsmouth dan juga Rangers di Scotland.

Sumber : SB

BACA:  Christensen Mahu Tinggalkan Chelsea Kerana Kurang Bermain