Senarai Individu Yang Dalam Perlumbaan Untuk Membeli Chelsea

Roman Abramovich mungkin sedang berdepan situasi di mana segala assetnya telah dibekukan oleh kerajaan United Kingdom kerana dia disyaki mempunyai hubungan baik dengan presiden Russia, Vladimir Putin. Walaubagaimanapun, kelab yang dibelinya pada awal tahun 2000-an, Chelsea, masih boleh dijual dan pengambilalihan masih boleh dilakukan jika jaminan dan lesen khas daripada kerajaan berjaya didapatkan.

Yang menjadi persoalan adalah, siapakah yang sudi dan mampu membeli kelab yang telah memenangi segala pertandingan yang disertai mereka di atas uka bumi ini. Liga Perdana Inggeris, Piala Liga, Piala FA, Liga Europa, Liga Juara-Juara UEFA dan juga Piala Dunia Kelab FIFA – kesemuanya telah dibawa pulang di bawah pemilikan Abramovich.

Dengan status kelab ini yang begitu berjaya dan juga di kemuncak, maka kelab ini pastinya mempunyai pengaruh dan kuasa yang luar biasa di kalangan para peminat bola sepak atau dalam bidang pemasaran. Tidak hairanlah kelab ini mempunyai nilai penajaan yang sangat tinggi, seperti penajaan jersi daripada Nike yang bernilai hampir satu billion pound sterling selama 15 tahun.

Jadi, di atas reputasi yang sebegini gah, ada beberapa pihak yang sanggup memerah keringat untuk membeli kelab nombor satu di London ini.

Nick Candy

Seorang peminat Chelsea yang tegar, billionair pemaju hartanah ini dikatakan sedang dalam perbincangan dengan para pelabur dari Amerika Syarikat untuk menubuhkan satu konsortium untuk membeli pasukan The Blues.

Cadangannya yang bernilai £2.5 billion (RM13.7 billion) ini adalah termasuk £1.5 billion untuk pembinaan semula stadium keramat Stamford Bridge, selain bercadang untuk meletakkan wakil penyokong untuk memegang jawatan utama di dalam pengurusan kelab.

Suami kepada penyanyi terkenal, Holly Valance, ini memberitahu Sky Sports, tentang sebab utama kenapa dia akan berusaha untuk membeli kelab gah ini.

“Aku telah menyokong kelab ini sejak aku berusia empat tahun. Ayah aku telah diminta untuk bermain buat Chelsea. Aku sayang Chelsea.

“Aku tak kisah ke mana hala tuju [pembelian ini], walaupun bukan aku yang dapat, asalkan kelab berada di tangan yang betul.”

Hansjorg Wyss

Orang kaya yang berusia 86 tahun ini sebenarnya merupakan antara individu yang terawal yang dikatakan mencalonkan diri untuk membeli Chelsea lama sebelum Abramovich mengumumkan keputusannya untuk menjual kelab kesayangannya ini. Wyss menyatakan bahawa dia telah ditawarkan untuk melabur ke atas Chelsea, bersama-sama dengan tiga pihak yang lain.

Wyss yang berasal dari Switzerland ini dikatakan mempunyai nilai kekayaan sebanyak £4.3 billion selepas menubuhkan syarikat perubatan Amerika, Synthess, pernah meminta Abramovich untuk menurunkan harga untuk penjualan Chelsea.

Dia berkata; “Harga yang diminta oleh Abramovich sekarang ni agak tinggi. Kau tahulah, Chelsea hutang dia £2 billion. Tapi Chelsea tak ada duit. Ini maksudnya sesiapa yang beli Chelsea perlu ganti duit Abramovich.

“Setakat ini, kami tak tahu harga jualan yang sebenar. Aku boleh bayangkan memulakan hidup di Chelsea dengan rakan kongsi. Tapi aku kena semak semua syarat am tu dulu.

“Tapi apa yang aku boleh cakap adalah, aku memang tak buat kerja macam ni seorang diri, tapi dengan konsortium yang ada enam ke tujuh pelabur.”

Todd Boehly

Jutawan Amerika Syarikat ini dikatakan antara salah seorang yang dikatakan berminat untuk bergabung dengan Wyss.

Ahli perniagaan yang menubuhkan, pengerusi dan CEO Eldridge Industries dilaporkan mempunyai kekayaan sekitar £4.72 billion, telah menghantar dua bidaan untuk mendapatkan Chelsea pada tahun 2019. Dia adalah seorang peminat sukan yang sangat tegar dan telah memiliki saham dalam pasukan yang bermain di Liga Utama Besbol, Los Angeles DOdgers serta pasukan NBA, LA Lakers.

Conor McGegor

Calon ini mungkin antara yang paling mengejutkan di mana dia telah meluahkan hasrat untuk membeli Chelsea sebaik sahaja Abramovich mengumumkan dia sedang mencari pembeli.

“Aku nak tengok benda ni dengan lebih mendalam, Chelsea,” ciapannya berbunyi.

“Chelsea untuk dijual, £3 billion. Jom beli!”

McGregor sememangnya diketahui merupakan seorang penyokong Manchester United dan sebelum ini dia dilaporkan berminat untuk mengambil kelab Syaitan Merah tersebut daripada keluarga Glazer. Dia juga dikatakan berminat untuk memiliki sebahagian daripada saham di kelab yang bermain di Liga Perdana Scotland, Glasgow Celtic.

Andai McGregor jadi mengambil alih Chelsea, dia pasti akan menjadi pemilik pertama di EPL yang aktif di media sosial. Nanti pasti ada sahaja yang tak kena dengan pasukan lawan akan diciapnya.

Muhsin Bayrak

Ahli perniagaan Turki ini memiliki kekayaan bernilai £8 billion hasil daripada kedudukannya sebagai pengerusi AB Group Holding – sebuah syarikat yang melabur dalam bidang pelancongan, cryptocurrency dan juga pembinaan.

Bayrak dikatakan telah bertemu dengan Abramovich untuk berbincang sebarang kebarangkalian untuk pengambilalihan.

Dia, walaubagaimanapun, agak ragu sama ada dia akan diterima di kelab Barat London tersebut dengan berkata;

“Aku rasa diorang tak nak orang Turki beli kelab ni. Semua orang perlu tahu bahawa Republik Turki adalah satu negara yang sangat besar.

“Ramai ahli perniagaan yang hebat datang dari negara ini, kami wujud serta kami akan berada di seluruh pelusuk dunia.”

Sir Martin Broughton

Broughton difahamkan telah mengadakan perbincangan untuk memainkan peranan dalam sesi pengambilalihan yang disediakan untuk membeli Chelsea.

Dia sebelum ini merupakan antara yang terlibat dalam perjanjian yang menyaksikan Fenway Sports Group membawa penamat kepada pemilikan Tom Hicks dan George Gillet di Liverpool pada tahun 2010.

Broughton yang juga bekas pengerusi British Airways, kini sedang berbincang dengan para pelabur untuk membentangkan tawaran mereka, walaupun dia sebenarnya agak kesuntukan masa untuk meraih jumlah wang yang mencukupi bagi menghantar tawaran.

Jamie Reuben

Reuben merupakan seorang lagi daripada penyokong Chelsea yang berhajat untuk membeli kelab ini. Ayah dan bapa saudara Reuben – yang mempunyai nilai kekayaan sebanyak £12 billion – telah membeli 10 peratus saham dalam Newcastle tahun lalu, ketika kelab tersebut dibeli pada nilai £300 juta oleh orang kaya Saudi.

Pun begitu, Reuben masih mampu untuk berdiri sendiri dengan membeli kelab kesayangannya ini.

Akan tetapi, peluangnya untuk membeli Chelsea agak malap meskipun dia diandaikan mempunyai wang yang mencukupi kerana ikatan keluarganya yang sudah mempunyai saham dalam kelab seteru liga yang berpangkalan di Tyneside tersebut.

Sumber : Goal.com

BACA:  Premier League 2020/21: Manchester City 1-2 Chelsea