Chelsea Ditawarkan Untuk Dapatkan Semula Khidmat Hazard Dengan Harga Tak Masuk Akal

Chelsea ditawarkan untuk mendapatkan semula khidmat Eden Hazard selepas dua tahun mereka melepaskan pemain Belgium itu ke Real Madrid.

Walau bagaimanapun, tawaran yang diberikan oleh Los Blancos kepada The Blues kali ini agak sukar untuk dibawa berunding memandangkan kepada nilai yang diletakkan.

Pemain kebangsaan Belgium itu menyertai Real Madrid pada tahun 2019, namun beliau masih belum mampu untuk memberikan sebarang impak kepada kelab.

Oleh kerana sering diketepikan atas masalah kecederaan, Hazard masih belum mampu untuk memenangi hati para penyokong Los Blancos.

Beliau ketika ini sedang menjalani sesi rawatan berkait masalah kecederaan hamstring, namun media penerbitan Sepanyol, AS melaporkan yang nama Hazard hangat disebut-sebut akan kembali ke London dalam tempoh beberapa hari ini.

Eden Hazard pernah membantu Chelsea memenangi dua kali gelaran premier league dan turut menjulang Europa League sepanjang tujuh tahun kariernya di Stamford Bridge.

Hazard masih gagal meninggalkan impak yang diharapkan sepanjang kariernya di Santiago Bernabeu

Disamping kesemua detik bahagia itu, untuk Chelsea mendapatkan beliau semula adalah satu hal yang sukar kerana Real Madrid meletakkan tanda harga bernilai €60 juta untuk The Blues mendapatkan khidmatnya semula.

Los Blancos sebelum ini membayar €100 juta untuk menandatangani Hazard dan terpaksa membayar nilai tersebut secara ansuran mudah selama lima tahun.

Harga tersebut dianggap sangat tidak masuk akal oleh Chelsea memandangkan mereka sedar dengan tahap persembahan Hazard pada ketika ini.

Thomas Tuchel yang berjaya memimpin Chelsea untuk memenangi gelaran Champions League musim lalu percaya yang beliau sudah mempunyai pemain yang cukup di posisi sayap.

Beliau lebih sanggup menggunakan dana tersebut untuk menandatangani pemain penyerang selepas kejayaannya menggunakan Kai Havertz di posisi false nine sepanjang mengurus Chelsea.

Chelsea ketika ini sedang dalam usaha mereka untuk mendapatkan penyerang sensasi Borussia Dortmund, Erling Haaland.

Mereka juga pada ketika ini sedang berusaha untuk menawarkan kontrak baru dan turut memanggil semula pemain yang telah dipinjamkan keluar pada musim sebelum ini.

Walau bagaimanapun, Erling Haaland sepertinya lebih memilih untuk kekal bersama Borussia Dortmund dan menyebabkan Chelsea mengalihkan perhatian mereka untuk menandatangani Robert Lewandowski.

Menurut laporan dari media UK, Chelsea bersedia untuk menawarkan £50 juta untuk mendapatkan penyerang terhebat dunia yang kini berusia 32 tahun itu.

Laporan lanjut turut menyatakan yang Chelsea telah berunding dengan ejen kepada Lewandowski sendiri, Pini Zahavi berkait masa depan penyerang Poland itu.

Tuchel sebelum ini mendedahkan kepada media pada penghujung musim lalu dengan menyatakan:

“Dua atau tiga sudah menjadi sangat, sangat bagus.”

“Ia merupakan satu lumrah untuk tak menafikan segalanya perlu perubahan. Itu yang sentiasa memberikan kepada kamu satu tenaga baru, orang baru yang akan mempersoalkan kepercayaan lama, seseorang baru yang cuba mencabar semua orang di padang latihan dan dalam perlawanan, jadi saya rasa ia merupakan satu hal yang bagus.”

“Kami tak perlukan lagi tujuh dan seorang yang sudah serba lengkap kerana itu adalah tugas kami untuk sentiasa memperbaiki kelemahan, kerana kami masih ada pemain muda dalam skuad dan ia bukanlah untuk mencuri kesempatan untuk mereka buktikan yang mereka mampu berkembang dan berubah.”

“Tapi kami ada sedikit cadangan, sudah tentu, untuk memastikan skuad semakin kuat dan saya rasa ia akan selalu ada hal positif untuk mencabar kami.”

Walau apa-apa pun, masih terlalu awal untuk katakan yang Chelsea tak mungkin akan menandatangani semula Hazard kerana segalanya boleh berlaku dalam dunia bola sepak.

Sumber: SB

BACA:  Azpilicueta: Piala FA Tidak Cukup Untuk Kelab Sebesar Chelsea